Ramadan 2026 dalam suasana berbeza, namun harapan tetap sama
Ramadan 2026 dalam suasana berbeza, namun harapan tetap sama
Ramadan 2026 di Masjid Alkaff Kampung Melayu hadir dalam suasana yang sedikit berbeza.
Seiring dengan fasa Projek Peningkatan Masjid (MUP) yang sedang rancak dijalankan, beberapa ruang terjejas dan aliran pergerakan jemaah kerap berubah, menjadikan pengalaman Ramadan kali ini unik dan luar biasa.
Namun, di sebalik segala perubahan, semangat untuk menghidupkan bulan penuh keberkatan ini tetap utuh dan tidak pernah pudar.
Walaupun ruang dan susun atur menjadi cabaran buat masa ini, ia adalah sebahagian daripada proses penambahbaikan jangka panjang demi keselesaan jemaah pada masa hadapan.
Ramadan kali ini memberi ruang kepada jemaah memperlahankan langkah, menyesuaikan diri dengan keadaan, serta menghayati ibadah dengan lebih sabar dan mendalam.
Keterbatasan ruang yang dialami hari ini diyakini akan membuahkan hasil yang lebih besar pada masa hadapan, insya-Allah.
Dalam suasana yang lebih sederhana, jemaah digalakkan kembali kepada inti sebenar ibadah; keikhlasan, kesabaran, dan rasa syukur.
Ramadan juga menjadi waktu untuk saling menguatkan antara satu sama lain, bukan sahaja melalui kehadiran fizikal, malah melalui doa dan sokongan berterusan terhadap usaha masjid.
Infak Ramadan terus memainkan peranan penting sebagai lambang kebersamaan masyarakat.
Ia bukan sekadar sumbangan kewangan, bahkan satu tanda kepercayaan jemaah terhadap masjid dalam memastikan pengurusan Ramadan berjalan lancar, walaupun dalam keadaan mencabar.
Pihak masjid turut menyatakan keterujaan akan membuka semula masjid sepenuhnya pada 2027.
Dengan siapnya kerja penambahbaikan, Masjid Alkaff Kampung Melayu berharap dapat menyambut jemaah dalam kapasiti penuh dan menghidupkan kembali suasana Ramadan yang lebih selesa, teratur, dan meriah, sebagai ganjaran kepada kesabaran jemaah hari ini.
Mudah-mudahan Ramadan pada 2026 ini, walaupun berbeza dari segi suasana dan ruang, menjadi saksi kekuatan sebuah masyarakat yang memahami bahawa setiap usaha dan pengorbanan hari ini adalah pelaburan untuk generasi akan datang.
Penulis merupakan Pegawai Pemasaran dan Komunikasi di Masjid Alkaff Kampung Melayu.
SEKILAS:
Cara menderma bagi Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu:
* Untuk keterangan lanjut, hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244. Untuk menderma, anda boleh membuat pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 581-608668-001. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ pada ruangan ‘Rujukan’, dan e-melkan tangkap layar transaksi kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.
* Atau PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.
* Cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek dan kirimkan kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.
* Langsung ke pejabat masjid dari Isnin hingga Khamis, 9 pagi hingga 5.30 petang. Pada Jumaat pula, waktu operasi dari 9 pagi hingga 5 petang.
* Ikutilah Masjid Alkaff Kampung Melayu di TikTok: @alkaffkm. Facebook: Masjid Alkaff Kampung Melayu dan Instagram: @alkaffkgmelayumosque.


