Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Ramai mula berbelanja guna baucar CDC

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ramai mula berbelanja guna baucar CDC

Jan 05, 2024 | 05:56 PM



Para penjaja dan peniaga di Pusat Makanan dan Pasar Geylang Serai telah mula menyaksikan lebih ramai pelanggan mereka mula berbelanja menggunakan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) di kedai mereka sejak ia dilancarkan pada 3 Januari.

Mereka yang ditemui Berita Harian (BH) berkata, secara purata seramai lima hingga 10 pelanggan sehari yang akan menggunakan Baucar CDC 2024 semasa berbelanja.


Dalam pada itu, para peniaga juga menzahirkan rasa gembira kerana perniagaan mereka telah meningkat sejak baucar CDC diperkenalkan.

Pemilik gerai runcit Haron Groceries, Encik Haron Amat, berkata perniagaan beliau bertambah rancak dengan adanya baucar itu.

“Pada hari pertama pemerintah mengumumkan bahawa Baucar CDC 2024 sudah pun boleh mula ditebus dan digunakan, ramai pelanggan saya yang tidak membuang masa untuk menggunakannya.

“Saya dapat lihat mereka sangat gembira apabila dapat memanfaatkan baucar ini,” kata beliau yang mengambil bahagian sejak Skim Baucar CDC mula diperkenalkan kepada para peniaga setempat pada 2021. 

Selain pelanggan yang ke gerainya secara fizikal, Encik Haron berkata pelanggan yang memesan barangan dari mereka untuk dihantar ke rumah juga dapat menggunakan kaedah bayaran ini.

Dengan kaedah pembayaran secara digital, beliau berkata pelanggannya hanya perlu berkongsi tangkapan skrin kod QR apabila mereka membuat pembayaran.

“Dengan adanya baucar CDC ini, ia memudahkan kami sebagai peniaga dan juga pelanggan kami,” tambah beliau. 

Tahun ini, pemerintah Singapura telah memperuntukkan sebanyak $500 untuk setiap isi rumah Singapura yang layak, untuk digunakan bagi perbelanjaan harian mereka.

Baucar terbaru ini dibahagikan kepada dua – dengan sebanyak $250 boleh digunakan di lebih 23,000 kedai dan gerai makanan di kawasan kejiranan, sementara $250 lagi di lapan pasar raya utama dengan 415 cawangan di serata Singapura yang mengambil bahagian dalam skim itu.

Sementara itu, pemilik gerai TakdeNama, Encik Mohammad Noorham Noordin, pula berkongsi pemerhatian beliau tentang bilangan pelanggan yang menggunakan baucar CDC. 

Menurut beliau jumlah pelanggan beliau yang membayar menggunakan baucar tersebut akan meningkat selepas pemerintah mengumumkan pelancaran baucar terbaru.

“Daripada pengalaman yang lalu, saya dapat lihat ramai rakyat Singapura tidak akan menunggu lama untuk menggunakan baucar CDC untuk membeli makanan ataupun barangan keperluan rumah.

“Kadar mereka yang menggunakan baucar ini di kedai saya akan meningkat pada sekitar dua hingga tiga bulan pertama, lalu jumlah itu akan turun sedikit,” kata Encik Noorham yang telah menyertai Skim Baucar CDC sejak 2021.

Meskipun begitu, rata-rata peniaga yang ditemui bersependapat mereka telah menyaksikan peningkatan dalam bilangan pelanggan baru ke kedai mereka, sekali gus membantu meningkatkan perniagaan. 

Ini termasuk gerai-gerai yang baru memulakan perniagaan seperti gerai makanan Rosie’s Kitchen yang baru dibuka pada 2023 dan telah menyertai Skim Baucar CDC ini sejak itu. 

Encik Jamal Yusoff yang membantu dalam menguruskan perniagaan milik keluarganya itu berkata: 

“Gerai kami tidak sampai dua tahun, tetapi kami lihat ramai juga yang akan datang ke gerai kami untuk membeli makanan. Hampir 40 peratus daripada pelanggan kami akan membayar menggunakan baucar CDC ini. 

“Bagi saya, ini merupakan satu benda yang saling menguntungkan atau ‘win-win situation’ untuk kedua-dua pelanggan dan juga peniaga seperti kami. 

“Kami sangat berbesar hati dengan pemerintah kerana memberi peluang kepada peniaga baru seperti kami dengan adanya inisiatif seperti ini.” 

Beberapa penduduk Singapura yang ditemui akhbar ini juga berkata mereka gembira kerana pemerintah telah meningkatkan nilai Baucar CDC 2024 sambil menambah ia akan membantu dengan peningkatan kos sara hidup di sini, terutama dengan kenaikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST). 

Cik Siti Hanifa Ahmudon, suri rumah berusia 68 tahun merasakan sokongan daripada pemerintah ini dapat meringankan beban sara hidup keluarganya.

Beliau yang tinggal berdua bersama suami, berkata: “Nilai yang diberikan kali ini, alhamdulillah dapat bantu saya dan suami dengan perbelanjaan keperluan rumah… suami pun seorang yang bekerja, jadi saya akan gunakan baucar CDC ini untuk membeli barang-barang dapur.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >