Seandainya seorang arwah telah mencalonkan isteri dan seorang anak perempuannya untuk menerima wang Tabung Simpanan Pekerja (CPF) tetapi beliau mempunyai dua lagi anak lelaki, perlukah isteri dan anak perempuan arwah itu mengagihkan wang CPF arwah kepada anak-anak lelakinya menurut faraid?
Jawapannya – jika arwah memberi arahan secara lisan kepada isteri atau anak perempuannya untuk menghadiahkan wang simpanannya kepada anak lelakinya, amanah itu perlu dilaksanakan.
Sekiranya tidak, pencalonan CPF terikat secara sah dan tidak boleh dipertandingkan. Maka, isteri dan anak perempuan itu tidak perlu mengagihkan bahagian masing-masing menurut faraid. Ini kerana wang tersebut telah dihibah, atau dihadiahkan, kepada isteri dan anak perempuannya.
Soalan demikian merupakan antara pertanyaan yang biasa diajukan kepada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) berkenaan faraid atau pengagihan harta pusaka dalam kalangan masyarakat Islam Singapura.
Dalam tempoh lima tahun yang lalu, Muis telah menyaksikan pertanyaan berkenaan faraid dan harta pusaka meningkat melebihi 67 peratus, mencerminkan kesedaran masyarakat yang semakin meluas berkenaan perancangan legasi.
Antara tiga pertanyaan yang sering diajukan mengenai faraid atau urusan harta pusaka adalah mengenai perumahan atau hartanah, pengagihan atau ketetapan faraid, dan berkenaan CPF.
Antara faktor peningkatan pertanyaan berkenaan faraid dan harta pusaka itu boleh dikaitkan dengan perubahan pada nukleus keluarga Melayu Islam di Singapura dalam sedekad yang lalu.
Berdasarkan Banci Penduduk 2020, keluarga Melayu terus menunjukkan kecenderungan untuk berbilang generasi hidup serumah berbanding etnik lain.
Ahli warga emas berumur 65 tahun ke atas yang tinggal di sesebuah isi rumah Melayu juga telah meningkat dari 22.3 peratus pada 2010 kepada 29.7 peratus pada 2020, sekali gus mencerminkan trend nasional penduduk yang semakin berusia.
Dalam pada itu, berdasarkan kutipan zakat yang dilihat Muis, kadar simpanan wang dalam masyarakat Islam setempat sepanjang tempoh setahun lalu juga semakin meningkat, daripada anggaran $1.7 bilion pada 2018 kepada lebih $2.7 bilion pada 2023.
Justeru, bagi memastikan keluarga Islam di sini dapat menguruskan harta mereka, khususnya harta pusaka setelah pemergian mereka, dengan lebih teratur dan mengikut syarak, Muis telah menganjurkan pelbagai daya usaha pendidikan awam bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang perancangan legasi Islam yang betul, mengikut konteks di Singapura.
Antara daya usaha yang dianjurkan termasuk Forum Faraid dan Perkampungan Legasi yang menggabungkan beberapa agensi pemerintah yang turut menyediakan khidmat perancangan legasi seperti Lembaga CPF dan Pejabat Penjaga Awam.
Menurut Eksekutif Kanan, Dana Masyarakat, Muis, Cik Addin Suraiya Ismail, usaha tersebut bagi menggalak perbincangan yang lebih luas mengenai perancangan legasi Islam khususnya bagi golongan masyarakat yang inginkan lebih banyak maklumat mengenai faraid serta alat-alat perancangan legasi lain yang sesuai untuk masyarakat Islam di negara ini.
Peningkatan soalan tentang faraid dan perancangan legasi itu juga telah mendorong Pejabat Mufti (OOM) melancarkan siri buku kompilasi kedua berjudul Fatwa Singapura, Jilid 2: Pewarisan dan Perancangan Estet, bagi membantu masyarakat memahami pelbagai fatwa yang telah dikeluarkan bagi membimbing masyarakat menghuraikan sebarang permasalahan mereka berhubung hal tersebut.
Buku itu diterbitkan dalam bahasa Melayu dan Inggeris.
Merujuk kepada fatwa Singapura tentang pencalonan CPF, sistem pencalonan CPF adalah bentuk pembahagian harta kontemporari yang tidak terdapat dalam tulisan dan karya ilmiah ulama silam.
Justeru, setiap pencarum CPF bertanggungjawab untuk menilai pilihan yang paling sesuai dan memenuhi keperluan dan melindungi kebajikan keluarganya dalam pentadbiran simpanan CPF-nya.
Bagi membantu masyarakat merancang legasi mereka, Muis juga telah menghasilkan Kit Sumber Perancangan Legasi Islam yang boleh didapatkan menerusi laman webnya.
Kit dalam talian ini menawarkan panduan langkah demi langkah untuk seseorang Muslim mempertimbangkan pelbagai instrumen perancangan legasi, termasuk memahami tentang wasiat berdasarkan prinsip syariah.
“Melalui usaha pendidikan awam Muis tentang Perancangan Legasi Islam, seperti siri Forum Faraid, kami mendapati corak soalan yang serupa turut muncul dalam pertanyaan dalam talian. Ini menunjukkan masih wujud kurang pemahaman asas tentang faraid dan Perancangan Legasi Islam.
“Kit sumber dalam talian ini menyediakan panduan tentang fungsi asas dan langkah-langkah menggunakan alat Perancangan Legasi Islam seperti wasiat, penamaan CPF, perancangan pemilikan rumah, dan praperancangan.
“Kami menggalak semua pihak meneroka Kit Sumber Perancangan Legasi dalam talian agar anda semua dapat merancang legasi anda dengan lebih baik atau membantu golongan warga emas dalam keluarga anda merancang legasi mereka,” kata Cik Addin.
Dalam merancang legasi mereka, masyarakat Islam dialu-alukan membuat sumbangan wakaf kepada Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) menerusi laman wakaf.sg, sebagai sedekah jariah, dengan mereka diberi pilihan untuk membuat sumbangan sekarang atau masa depan.
Mereka boleh menyumbang secara langsung kepada WMS menerusi wang tunai berjumlah serendah $10 hingga $1,000 sekali sahaja, atau lebih kerap secara bulanan atau tahunan menerusi laman itu.
Mereka yang mahu menyumbang pada masa akan datang atau mengikrar sumbangan mereka kepada WMS boleh berbuat demikian dengan menamakan Muis sebagai calon dalam penamaan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) atau bayaran insurans dan menghubungi Muis untuk menetapkan pengagihan itu kepada WMS.
Mari merancang untuk orang tersayang, persaraan dan akhirat anda. Layari laman web, https://go.gov.sg/plan-ilp, bagi Kit Sumber Perancangan Legasi dalam talian.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg