Ekoran kurangnya perancangan legasi, kes pertikaian tentang pembahagian harta semakin berleluasa dalam masyarakat Melayu Islam kita.
Pertikaian bukan sahaja tentang pembahagian harta antara ahli keluarga bahkan juga tentang bagaimana wang pusaka yang dikhaskan untuk kebajikan dipersoalkan.
Menurut peguam, Encik Imran Rahim, pertikaian harta pusaka kerap berlaku dan boleh menjadi serius dengan pantas sekiranya tiada perancangan legasi yang jelas.
“Saya pernah menyaksikan bagaimana kurangnya perancangan dan dokumen yang teratur telah mencetuskan konflik yang memecahbelahkan keluarga.
“Perancangan yang bijak, terutamanya dalam perjanjian pemilikan rumah, amat penting bukan sahaja untuk menjaga keharmonian keluarga bahkan memastikan keadilan.
“Malangnya, saya juga pernah melihat wang pusaka yang diniatkan untuk kebajikan menjadi punca pertikaian jika tidak dirancang dengan teliti,” kata Encik Imran, yang juga Naib Pengerusi Kumpulan Kerja Perancangan Legasi Islam (ILPW).
Kumpulan kerja itu ditubuhkan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) bagi tujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang perancangan harta dan legasi serta meneroka peluang untuk masyarakat mempertimbangkan membuat sumbangan amal jariah menerusi Wakaf Masyarakat Singapura (WMS).
Perancangan legasi semakin perlu diutamakan dengan meningkatnya pendapatan dan kemewahan dalam masyarakat Melayu Islam di Singapura.
Berdasarkan kutipan zakat oleh Muis pada 2023, masyarakat Melayu Islam memiliki lebih $2.7 bilion dalam aset cair.
Jumlah itu lebih tinggi berbanding sekitar $2.6 bilion pada 2022 dan $2.38 bilion pada 2021.
Menurut Banci Singapura 2020, median pendapatan bulanan isi rumah untuk setiap ahli isi rumah bagi orang Melayu meningkat 3 peratus dari 2010 hingga 2020 iaitu pertumbuhan tertinggi dalam kalangan kumpulan etnik utama.
Anjakan demografi dan cabaran yang mengiringinya seperti penduduk yang semakin menua, generasi terhimpit (sandwiched generation) dan unit keluarga yang pelbagai, membuat perancangan legasi semakin penting.
Ini terbukti daripada kes berikut apabila ‘Cik Jamariah’ dan ‘Encik Abdullah’, kedua-dua bukan nama sebenar, telah mengambil langkah awal dan terperinci dalam pembahagian harta pusaka mereka.
Cik Jamariah, 68 tahun, tinggal bersendirian dan tidak mempunyai anak. Beliau mempunyai seorang adik perempuan yang masih hidup dan seorang abang yang sudah meninggal dunia.
Beliau rapat dengan anak-anak adiknya yang menjaganya tetapi terputus hubungan dengan dua anak lelaki abangnya.
Sebagai pemilik tunggal sebuah rumah berhalaman (landed property), beliau pada awalnya tidak pasti bagaimana menguruskan rumahnya.
Beliau telah mendapatkan nasihat Muis kerana ingin melaksanakan wakaf menerusi WMS.
Cik Jamariah telah mencalonkan adiknya, seorang kawan rapatnya, dan sebuah masjid tempatan sebagai penama CPF-nya.
Untuk menjadikan masjid sebagai penama, beliau mencalonkan Muis dan memaklumkan badan berkanun itu tentang niat beliau menjadikan masjid tersebut sebagai benefisiarinya.
Bagi insuransnya pula, Cik Jamariah telah menamakan anak-anak adiknya dan memaklumkan kepada mereka, agar mereka boleh membuat tuntutan kelak.
Sebagaimana yang telah ditentukan, rumahnya akan diagih mengikut faraid dengan adik perempuannya dan anak lelaki abangnya merupakan waris faraid beliau.
Bagaimanapun, anak-anak adik perempuannya bukan waris faraid beliau.
Dengan itu, Cik Jamariah memutuskan untuk menulis wasiat yang membolehkannya memperuntuk sehingga satu pertiga keseluruhan hartanya kepada mereka yang bukan waris faraid beliau.
Dalam wasiatnya, Cik Jamariah menamakan anak-anak adik perempuannya, WMS, serta badan-badan amal tempatan pilihannya.
Beliau turut mencalonkan adiknya sebagai pentadbir wasiatnya bagi memastikan pelaksanaan dan pengurusan harta pusakanya dapat dijalankan dengan betul, dan untuk membantunya menyelesaikan sebarang hutang, pinjaman, tanggungjawab berterusan, dan mengelakkan sebarang pertikaian.
Bagi Encik Abdullah pula, beliau yang berusia 59 tahun, mempunyai seorang pasangan hidup yang merupakan perkahwinan keduanya.
Beliau mempunyai anak lelaki daripada perkahwinan pertama, seorang anak tiri dan seorang anak perempuan daripada perkahwinan keduanya.
Bagi rumahnya, Encik Abdullah tidak menggunakan perjanjian pemilikan bersama (joint tenancy) apabila setelah kematian, pemilikan rumah secara automatik akan dipindahkan secara mutlak kepada pemilik bersama mengikut peraturan right of survivorship (hak yang hidup).
Sebaliknya, memandangkan beliau dan pasangannya menyumbang kepada pembelian rumah itu, beliau menamakan pasangannya sebagai pemilik bersama dalam perjanjian pecah milik (tenancy-in-common).
Selepas kematiannya, hanya bahagian beliau – iaitu 70 peratus – akan diagihkan kepada waris faraidnya, manakala pasangannya memegang baki 30 peratus hak pemilikan pada rumah itu.
Bagi perjanjian pecah milik, apabila seseorang pemilik bersama meninggal dunia, bahagian hartanah yang dimiliki menjadi sebahagian harta pusaka si mati yang perlu diagihkan.
Meskipun hartanah tidak semestinya dijual, pertikaian terhadap cara hartanah diuruskan atau cara aset diagihkan sering kali memerlukan aset itu untuk dijual bagi memudahkan penyelesaiannya.
Dalam keadaan sebegini, mereka yang menetap di rumah tersebut perlu mencari rumah lain.
Encik Abdullah tidak menggunakan wasiat untuk memberikan sehingga satu pertiga keseluruhan aset peninggalannya kepada mereka yang bukan ahli faraidnya.
Sebaliknya, beliau menulis wasiat bagi menamakan seorang pentadbir, dan menyenaraikan segala harta miliknya, semua hutang dan pinjaman, serta meninggalkan peringatan dan ucapan terakhir untuk orang tersayang.
Bagaimanapun, Encik Abdullah membuat pencalonan CPF dan insurans untuk melaksanakan wakafnya melalui WMS.
Beliau juga menggunakan instrumen pencalonan itu untuk menghibahkan sebahagian aset CPF dan hasil tuntutan insurans beliau kepada adik-beradik serta anak tirinya.
Perancangan yang teliti serta keberadaan dokumen yang jelas sebegini bukan sahaja boleh mengelakkan pertikaian antara waris dengan ahli keluarga lain kelak, bahkan membina saham akhirat Encik Abdullah menerusi sedekah jariah yang dibuatnya bersama WMS.
RANCANG LEGASI ANDA
Anda boleh merancang legasi anda hari ini untuk persaraan, akhirat dan orang tersayang dengan menggunakan kit Sumber Perancangan Legasi Islam Muis di https://go.gov.sg/plan-ilp.
Anda juga boleh mengimbas kod QR yang disediakan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg