Penggunaan taktik membuang masa dan mereka dakwaan untuk menangguhkan prosiding jenayah akan dianggap sebagai menghina mahkamah di bawah rang undang-undang baru, dengan pesalah berdepan dengan kemungkinan dijatuhi hukuman penjara dan denda.
Pindaan yang dicadangkan itu dibuat susulan beberapa kes penyalahgunaan proses mahkamah di Singapura, dengan pihak memfailkan tuntutan yang tidak wajar untuk menindas orang lain, atau untuk tujuan tersembunyi, kata Kementerian Undang-Undang (MinLaw).
Menteri Negara (Undang-Undang merangkap Pengangkutan), Encik Murali Pillai, memperkenalkan Rang Undang-Undang Pentadbiran Keadilan (Perlindungan) (Pindaan) di Parlimen pada 14 Oktober
Jika diluluskan, rang itu akan menjelaskan kepada orang ramai bahawa kes-kes penyalahgunaan proses yang teruk akan dianggap sebagai menghina mahkamah di bawah undang-undang.
Contoh kelakuan sedemikian termasuk pihak yang memulakan prosiding sivil untuk mendapatkan ganti rugi kewangan, dalam usaha menindas defendan walaupun mengetahui tuntutan itu tanpa asas.
Undang-undang juga akan melihat kelakuan memfailkan tuntutan rekaan untuk menangguhkan prosiding jenayah, dan secara berterusan membuat permohonan yang nyata tidak berasas, sebagai menghina mahkamah.
Adalah dianggap menghina mahkamah juga jika seseorang individu memulakan prosiding mahkamah walaupun mengetahui ia adalah rekaan atau “merupakan satu penipuan semata-mata”.
MinLaw menyatakan pindaan itu bertujuan menghalang penyalahgunaan proses mahkamah secara proaktif, untuk melindungi pentadbiran keadilan di Singapura.
Ia menambah bahawa peguam dan pihak yang bertindak dengan berhati-hati dan dengan niat baik tidak akan dihukum.
“Akhirnya, mahkamah akan dapat meneliti keadaan kes itu, apabila mempertimbangkan sama ada kelakuan itu menghina,” jelas MinLaw.
Mereka yang melakukan penghinaan terhadap mahkamah, termasuk mereka yang menyebabkan atau bersubahat dengan kelakuan sedemikian, akan dikenakan hukuman.
Hukuman yang dijatuhkan bergantung pada tahap mahkamah di mana penghinaan itu berlaku.
Jika ia berlaku di Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Rayuan, individu itu boleh didenda sehingga $100,000 dan dipenjara sehingga tiga tahun.
Mereka yang dinilai telah melakukan penghinaan mahkamah semasa prosiding di Mahkamah Negeri atau mahkamah lain boleh didenda sehingga $20,000 atau dipenjara sehingga setahun.
MinLaw berkata kes serius penyalahgunaan proses mahkamah akan menjejaskan kuasa mahkamah dan menghalang pentadbiran keadilan.
“Ini boleh memberi kesan kepada reputasi sistem perundangan Singapura dan membawa kepada penghakisan kepercayaan dalam sistem mahkamah kita.
“Kes sebegini juga menyebabkan kemudaratan kewangan dan psikologi kepada individu yang terpaksa mempertahankan tuntutan yang tidak wajar,” tambah MinLaw.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg