Rang Undang-Undang Perlindungan dan Keselamatan Makanan (FSSB) yang akan menjadi perundangan utama yang menyediakan rangka kerja kawal selia meliputi sektor makanan di Singapura, telah diluluskan di Parlimen pada 8 Januari.
Memperluas skop semasa daripada sekadar jualan, rang undang-undang itu kini merangkumi pengedaran makanan dalam semua bentuk, sama ada melalui penjualan, pergerakan barangan makanan atau diberikan secara percuma, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu.
Beliau menjelaskan perluasan skop ini penting kerana risiko keselamatan makanan wujud bukan sahaja dalam makanan yang dijual.
“Makanan yang diberi secara percuma juga boleh menjadi tidak selamat justeru penting untuk melindungi penerima makanan yang telah disumbangkan,” kata Cik Fu.
Pendekatan peraturan semasa akan dipiawaikan untuk memastikan konsistensi merentas komoditi makanan yang berbeza dan mengurangkan kerumitan kawal selia untuk peniaga makanan yang mengimport atau mengeksport jenis makanan yang berbeza.
Namun Cik Fu berkata terdapat pengecualian bagi makanan yang diimport untuk kegunaan peribadi.
“FSSB akan menetapkan jumlah maksimum makanan yang boleh dibawa masuk oleh individu dari luar negara tanpa memerlukan lesen dan permit, dengan syarat makanan tersebut tidak diniaga atau disumbang,” katanya.
Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) turut prihatin dalam mencapai keseimbangan antara memastikan keselamatan makanan dengan mengurangkan kos pematuhan bagi perniagaan.
Daripada menetapkan keperluan di seluruh konteks operasi perniagaan yang berbeza, setiap perniagaan akan mempunyai fleksibiliti untuk merancang dan melaksanakan langkah pencegahan yang sesuai dengan model operasi mereka untuk memastikan makanan dan makanan haiwan yang selamat dan sesuai untuk tujuan.
Demikian dibenarkan di bawah Pelan Kawalan Makanan dan Pelan Kawalan Makanan Haiwan yang akan diperkenalkan sebagai syarat lesen di bawah FSSB, kata Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon.
Dr Koh menambah FSSB akan dilaksanakan secara berperingkat menjelang 2028, bermula dengan makanan yang ditentukan dan air minuman bukan berbungkus pada separuh kedua 2025.
“Industri dan orang awam akan dimaklumkan lebih awal mengenai pelaksanaan peruntukan yang berkaitan untuk memberi masa kepada mereka membuat persediaan bagi perubahan tersebut,” kata Dr Koh.
FSSB juga menggariskan tanggungjawab menteri antara MSE dan Kementerian Kesihatan (MOH) dengan lebih jelas.
Ia mengandungi peruntukan yang berkaitan dengan promosi kesihatan yang membolehkan MOH mengeluarkan, mentadbir dan menguatkuasakan peraturan berkaitan makanan untuk tujuan mempromosikan kesihatan yang lebih baik bagi orang awam.
Walaupun tujuan utama FSSB adalah untuk perlindungan dan keselamatan makanan, adalah wajar bagi FSSB juga untuk menyokong kesihatan dan pemakanan populasi yang lebih baik, memandangkan hubungan rapat antara makanan, kesihatan dengan pemakanan.
Demikian dikongsi Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, di Parlimen.
“FSSB akan memberikan kuasa berkanun kepada MOH untuk membuat peraturan berkaitan makanan bagi tujuan promosi kesihatan.
“Pada masa ini, peraturan tersebut ditadbir dan dikuatkuasakan oleh MOH, tetapi dibuat dengan kuasa yang diberikan kepada MSE di bawah Akta Jualan Makanan (Sofa).
“FSSB akan membolehkan pemisahan tanggungjawab Menteri yang lebih jelas antara MSE dan MOH dan membolehkan kededua menteri mengawal selia rantaian bekalan makanan untuk tujuan masing-masing di bawah satu rejim kawal selia yang sama,” kata Cik Rahayu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg