Rangka kerja pengiktirafan yang dipertingkat bagi Badan Pensijilan Halal Asing (FHCB), merangkumi proses yang diperkukuh, telus dan cekap dalam menilai serta memantau badan pensijilan asing, telah dilancarkan.
Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) akan melaksanakan rangka kerja tersebut mulai 1 Oktober.
Ia akan memberi pengguna keyakinan lebih tinggi terhadap kewibawaan produk bersijil halal yang diimport dan tersedia di sini.
Rangka kerja yang dipertingkatkan disokong oleh peruntukan baru di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla).
Permohonan pengikitrafan FHCB boleh dilakukan melalui satu wadah digital bersepadu, yang akan memudahkan proses pengiktirafan, sekali gus meningkatkan kecekapan dan ketelusan bagi semua pihak dalam ekosistem halal Singapura.
Pembaharuan tersebut diumumkan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim di Seminar Halal Antarabangsa Singapura, yang berlangsung di Hilton Singapore pada 24 September.
Dr Faishal berkata, rangka kerja baru itu akan memperkenalkan proses yang lebih kukuh untuk memastikan produk halal yang memasuki pasaran Singapura memenuhi piawaian halal Muis.
“Justeru, perniagaan dan pengguna setempat boleh kekal yakin apabila mereka membeli atau menggunakan produk import halal yang diiktiraf Muis.
“Kami mahu memastikan pengguna dapat terus membuat pilihan dengan maklumat yang betul, yakin serta pada masa yang sama memberikan perniagaan kelebihan daya saing yang diperlukan untuk berkembang maju dalam pasaran hari ini,” kata beliau.
FHCB ialah rangka kerja pengiktirafan rasmi yang dibangunkan Muis pada 2011 untuk memastikan badan pensijilan halal yang mengeksport produk halal ke Singapura memenuhi piawaian Muis.
Skim itu merangkumi proses pensijilan halal bagi makanan, ramuan, dan barangan lain yang memerlukan status halal dan ditujukan untuk diimport ke Singapura.
Antara pembaharuan utama ialah penghantaran permohonan secara digital tanpa dokumen fizikal, rangka yuran berstruktur bagi kelestarian jangka panjang untuk pemohon FHCB, penilaian kecekapan dalam talian yang ketat untuk meningkatkan mutu profesional, serta penjejakan permohonan secara masa nyata bagi memantau status pengiktirafan.
Bermula 1 Oktober, peniaga boleh menghantarkan permohonan pengiktirafan mereka ke portal https://fhcb.muis.gov.sg
Setakat ini, 101 badan pensijilan halal asing telah diiktiraf Muis.
Dr Faishal menambah, masyarakat Islam di sini memerlukan bekalan makanan halal yang stabil kerana Singapura merupakan sebuah negara kecil dengan tanah dan sumber yang terhad.
“Realiti ini menjadikan pensijilan halal kritikal kepada keselamatan makanan kita,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg