Majikan digesa supaya melihat lebih daripada sekadar kelayakan akademik dan jawatan kerja terdahulu apabila mengambil dan menaikkan pangkat pekerja.

Hal tersebut susulan pelancaran rangka kerja baharu yang bertujuan menjadikan kemahiran sebagai pertimbangan lebih utama dalam keputusan tenaga kerja.

Rangka Kerja Tindakan Mengutamakan Kemahiran atau Skills-First Framework for Action yang dilancarkan oleh Institut Pembelajaran Dewasa (IAL) pada 19 Oktober ini mencadangkan 12 inisiatif rintis untuk membantu syarikat mengenal pasti, membangun dan menggunakan kemahiran pekerja dengan lebih baik, di samping membuka lebih banyak peluang kerjaya bagi warga Singapura.

Berucap semasa majlis pelancaran itu di Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands, Pemangku Menteri Tenaga Manusia, Cik Jasmin Lau, berkata majikan lazimnya mula menilai pemohon kerja dengan bertanya tentang peranan terdahulu dan kelayakan pendidikan mereka.

Beliau menambah, maklumat sedemikian mendedahkan “lebih banyak tentang di mana seseorang itu pernah berada, berbanding ke mana seseorang itu boleh pergi”.

Pendekatan “mengutamakan kemahiran” sebaliknya akan memberi tumpuan kepada apa yang mampu dilakukan pekerja, serta kemahiran baharu yang boleh mereka pelajari, kata Cik Lau, yang juga merupakan Menteri Kedua di Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital.

Walaupun amalan sedemikian bukanlah baharu, ia menjadi lebih penting hari ini dengan pekerjaan yang kian berubah, kemahiran yang cepat menjadi lapuk dan pertukaran kerjaya yang semakin biasa, satu proses yang akan dipercepat oleh kecerdasan buatan (AI), tambah beliau.

Rangka kerja tersebut telah diasaskan bersama oleh Agensi Pembangunan Kemahiran dan Tenaga Kerja (SWDA), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef) dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), berikutan penyelidikan selama dua tahun dan perbincangan dengan pihak berkepentingan industri.

Cadangannya merangkumi inisiatif bagi majikan merangka semula pekerjaan dan amalan pengambilan pekerja berdasarkan kemahiran yang mereka perlukan, serta menggalakkan pekerja untuk menyemak semula kemahiran dan matlamat kerjaya mereka secara berkala.

Idea yang dicadangkan itu akan diuji dengan pihak berkepentingan yang berkaitan, manakala IAL akan mengkaji pelaksanaan dan keberkesanan amalan “mengutamakan kemahiran” itu.

“Setiap idea tidak semestinya akan berjaya, dan sepanjang perjalanan itu, lebih banyak idea mungkin timbul.

“Namun, apa yang penting ialah kita mencuba bersama-sama, kita belajar bersama-sama dan kita membina kejayaan berdasarkan apa yang terbukti berkesan,” kata Encik Terence Ho, Pengarah Eksekutif dan Profesor Madya (Amalan) di IAL.