Inisiatif baru bagi memudahkan pertukaran pengetahuan sejagat tentang membina bandar yang boleh didiami dan mampan telah dilancarkan pada 3 Jun oleh Pusat Bandar Sesuai Didiami (CLC) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).
Digelar Rangkaian bagi Hadiah Bandar Raya Dunia Lee Kuan Yew (Rangkaian LKYWCP), daya usaha itu juga bertujuan memudahkan pertukaran pengetahuan untuk menyumbang ke arah meningkatkan kehidupan rakyat di peringkat sejagat.
Ia diumumkan oleh Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, semasa berucap di Pembukaan Sidang Puncak Bandar Dunia 2024 yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura.
Menurut kenyataan Kementerian Pembangunan Negara pada 3 Jun, rangkaian tersebut bertujuan membawa bersama bandar-bandar untuk menangani cabaran secara kolektif melalui perkongsian antara pegawai pemerintah, jabatan perancangan dengan organisasi pengetahuan
Pengarah Eksekutif CLC, Encik Hugh Lim, berkata penubuhan rangkaian itu adalah tanda komitmen Singapura dalam memupuk kecemerlangan sejagat dalam perancangan bandar dan dasar untuk membina bandar yang boleh didiami dan mampan.
“Melalui pelbagai kegiatan di bawah rangkaian ini, termasuk sesi di Sidang Puncak Bandar Sedunia, kami akan memudahkan bandar-bandar berkongsi penyelesaian, cabaran dan kejayaan bandar yang inovatif, sekali gus meningkatkan pembelajaran dan penyesuaian amalan terbaik dalam kalangan bandar di seluruh dunia,” kata Encik Lim.
Ahli pengasas rangkaian tersebut terdiri daripada wakil tujuh bandar Laureate LKYWCP sejak perasmiannya pada 2010, seperti Bilbao, New York City, Suzhou, Medellin, Seoul, Vienna dan Mexico City.
Ia juga merangkumi organisasi pengetahuan yang dicalonkan dari setiap bandar. Anggota akan mengambil bahagian dalam pelbagai bentuk perkongsian pengetahuan mengenai amalan terbaik dan inisiatif membina keupayaan untuk mengenal pasti penyelesaian bagi cabaran bandar.
Ketua Pegawai Eksekutif, URA, Encik Lim Eng Hwee, berkata bandar-bandar yang diiktiraf oleh LKYWCP menjiwai semangat inovasi dan daya tahan.
“Setelah berjaya melaksanakan penyelesaian praktikal untuk mengubah bandar mereka, mereka menawarkan sumber pengetahuan dan pengalaman yang kaya dalam menangani pelbagai isu dan cabaran bandar.
“Kami berharap pengetahuan yang dikongsi oleh anggota rangkaian dan kerjasama masa depan akan memberi inspirasi kepada lebih banyak bandar untuk berusaha ke arah mewujudkan lebih banyak komuniti yang boleh didiami, inklusif dan mampan di seluruh dunia,” tambahnya.
Sidang Puncak Bandar Dunia adalah acara antarabangsa terkemuka yang mengumpulkan pemimpin bandar, penggubal dasar dan pakar untuk menangani cabaran bandar dan berkongsi penyelesaian inovatif untuk pembangunan mampan.
LKYWCP, yang dianugerahkan setiap dua tahun, memberi penghormatan kepada pemimpin berwawasan dan inisiatif bandar yang telah meningkatkan persekitaran dan mutu hidup bandar dengan ketara.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg