Keluarga yang berdepan pelbagai masalah serentak – daripada kesulitan kewangan dan keibubapaan hingga keganasan rumah tangga – bakal menerima bantuan yang lebih terselaras tanpa perlu mendapatkan khidmat daripada pelbagai agensi secara berasingan mulai 2029.

Ini menyusuli saranan yang dikemukakan Jawatankuasa Semakan Khidmat Keluarga (FSRC) di mana satu model baru diberi nama Satu Khidmat Keluarga (OFS) bakal diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

FSRC ditubuhkan pada Jun 2024 bagi menyemak dan memperkukuh sistem khidmat keluarga di Singapura untuk memenuhi keperluan keluarga yang berubah dan semakin rumit.

Malah kes rumit atau berisiko tinggi meningkat daripada 25 peratus pada 2019 kepada 30 peratus pada 2025, kata MSF.

Cabaran yang dihadapi keluarga seperti tekanan kewangan, konflik rumah tangga dan masalah tingkah laku belia, sering saling berkait dan memerlukan sokongan jangka panjang serta penyelarasan lebih rapat antara pelbagai agensi, tambah MSF.

Saranan tersebut, yang dibentangkan MSF menerusi satu kenyataan media pada 26 November, memberi peluang kepada golongan tersebut pelan bantuan bersepadu serta seorang pekerja kes utama yang menyelaraskan sokongan kepada mereka mengikut keperluan keluarga.

OFS bakal menyatukan sembilan program sokongan keluarga, perlindungan kanak-kanak dan khidmat belia yang dibiayai MSF di bawah satu rangka kerja bersepadu.

Ia merangkumi program di bawah Pusat Khidmat Keluarga (FSC), pusat pakar perlindungan kanak-kanak, khidmat Program Pengukuhan Keluarga (FAM) dan program YouthGO!.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Sembilan program itu dikendalikan oleh 26 agensi khidmat sosial (SSA) termasuk pertubuhan Melayu/Islam seperti PPIS.

Ini bermakna keluarga sedemikian tidak perlu ‘melayari’ pelbagai perkhidmatan yang diperlukan, menjalani penilaian yang berasingan atau bekerjasama dengan para pakar di tempat berbeza bagi menangani isu yang bertindih.

Selain itu, setiap keluarga akan mempunyai seorang pekerja kes utama (PCW) yang bertindak sebagai penghubung mereka.

PCW menyelaraskan bantuan daripada golongan profesional seperti pakar psikologi, kaunselor dan pekerja belia bagi memastikan masalah yang dihadapi keluarga ditangani secara menyeluruh.

Pelan bantuan akan dibangunkan bersama keluarga berkenaan dengan mengambil kira kekuatan, keperluan dan matlamat mereka, termasuk menentukan masalah yang perlu diberi keutamaan.

Ia juga akan disemak dari semasa ke semasa agar bantuan yang diberikan dapat disesuaikan dengan perubahan keadaan keluarga, kata MSF.

Maklumat akan dikongsi antara pekerja khidmat sosial menerusi satu platform digital bersama, iaitu CaseCentral.

Menerusi platform itu, pekerja khidmat sosial yang diberi akses boleh mendapatkan maklumat mengenai keperluan keluarga, bantuan yang telah diberikan serta perkembangan mereka berdasarkan satu pelan kes bersepadu.

Ini sekali gus mengurangkan keperluan keluarga mengulangi maklumat yang sama kepada pekerja khidmat sosial daripada agensi berbeza, di samping mengurangkan beban pentadbiran pekerja tersebut, kata MSF.

Platform itu juga bakal membantu agensi mengenal pasti jurang dalam penyediaan khidmat serta merancang pengagihan tenaga kerja dan sumber dengan lebih berkesan. 

Namun, di bawah sistem sedia ada, keluarga yang memerlukan pelbagai bentuk bantuan mungkin perlu menjalani penilaian berasingan, mengikuti beberapa pelan tindakan dan berurusan dengan pakar berbeza.

Sebagai contoh, pasangan yang berdepan konflik rumah tangga mungkin mendapatkan bantuan daripada FSC, manakala anak remaja mereka yang mengalami masalah tingkah laku menerima bantuan daripada pekerja belia secara berasingan.

Meskipun masalah yang dihadapi ibu bapa dan anak mereka mungkin saling berkait, bantuan yang diberikan berpandukan penilaian dan pelan tindakan yang berbeza.

Beliau berkata meskipun Singapura telah lama memperkenalkan pelbagai program bagi memenuhi keperluan keluarga berisiko, bantuan yang diberikan lebih tertumpu kepada pelaksanaan setiap program berbanding keperluan keluarga secara menyeluruh.

Dalam satu kenyataan media pada 26 November, Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Undang-Undang), Encik Eric Chua, yang juga pengerusi bersama FSRC, berkata:

“Apabila sesebuah keluarga mendapatkan bantuan, usaha mendapatkan khidmat yang diperlukan tidak seharusnya menjadi satu lagi cabaran bagi mereka.

“Satu Khidmat Keluarga memanfaatkan kepakaran, hubungan yang dibina atas dasar kepercayaan serta rangkaian masyarakat yang telah dibangunkan agensi khidmat sosial selama ini untuk menyediakan sokongan yang bersesuaian kepada setiap keluarga.”

Presiden Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Tan Tai Yong, yang juga pengerusi bersama FSRC, menjelaskan bahawa penyepaduan khidmat itu tidak bermakna seorang pekerja sosial perlu memenuhi setiap keperluan keluarga.

“Sebaliknya, ia adalah tentang menggabungkan kekuatan dan kepakaran golongan profesional daripada pelbagai bidang agar mereka dapat bekerjasama sebagai satu pasukan untuk menyokong keluarga,” katanya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti