Pengendali rangkaian kedai roti perata Srisun Express Food Holding dihadapkan ke mahkamah pada 23 September atas kesalahan gagal membayar caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) pekerjanya.

Mahkamah Negara dimaklumkan bahawa syarikat berkenaan mempunyai tunggakan caruman CPF berjumlah kira-kira $30,000.

Menurut kertas tuduhan yang dilihat oleh The Straits Times (ST), Srisun Express gagal membayar caruman CPF enam pekerjanya pada Januari 2026.

Semasa perbicaraan pada 23 September, mahkamah memberikan tempoh empat minggu kepada syarikat itu untuk melunaskan baki jumlah tunggakan tersebut. 

Bayaran itu sepatutnya dilunaskan pada 15 September.

Wakil syarikat yang hadir di mahkamah berkata Srisun Express akan membuat pembayaran sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Ketika menjawab pertanyaan ST, pengasas Srisun Express, Cik Jayanthi Elan Goven, berkata syarikat itu masih mempunyai baki $23,000 yang perlu dibayar.

Beliau menambah bahawa perniagaan bagi rangkaian kedai roti perata tersebut tidak begitu rancak. 

“Kami menjangkakan perniagaan akan menjadi lebih baik selepas separuh pertama tahun ini (2026), tetapi malangnya ia kekal lembap,” katanya.

Srisun Express, yang ditubuhkan pada 2014, mempunyai lima cawangan di serata Singapura – iaitu di Serangoon Gardens, Hougang, Bishan, Tampines dan Bukit Batok.

Restoran berkenaan beroperasi 24 jam sehari serta menyajikan hidangan India Muslim seperti perata golden tissue, martabak, mi goreng dan butter chicken.

Kesemua cawangan mempunyai sijil halal sah daripada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

“Kami sedang cuba menguruskan situasi ini. Malangnya, perkara sebegini berlaku,” kata Cik Jayanthi, sambil menambah bahawa operasi di semua cawangan masih berjalan seperti biasa.

Penyata daripada Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra) menunjukkan Srisun Express mempunyai modal berbayar sebanyak $100,000 dengan pemegang saham tunggal. 

Penyata kewangan terkini syarikat itu tidak disediakan.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti