Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Raya pertama di rumah sendiri selepas 20 tahun inap di rumah sewa

Mendapat rumah ibarat simbol ketabahan, penamat kepada perjalanan penuh cabaran
Mar 30, 2025 | 5:30 AM
Setelah hampir 20 tahun tinggal di beberapa rumah sewa, Encik Mean Wongsodinomo (kiri) dan isterinya, Cik Fauziah Shaharuddin, serta anak mereka, Encik Muhamad Imran Mean, akan menyambut Hari Raya di rumah sendiri buat kali pertama.
Setelah hampir 20 tahun tinggal di beberapa rumah sewa, Encik Mean Wongsodinomo (kiri) dan isterinya, Cik Fauziah Shaharuddin, serta anak mereka, Encik Muhamad Imran Mean, akan menyambut Hari Raya di rumah sendiri buat kali pertama. - Foto BM oleh IZWANDI AZMAN
Di luar rumah mereka, Encik Muhamad Imran Mean (kiri) menyediakan meja kecil dan beberapa kerusi untuk tetamu ‘lepak’ dan bersembang.
Di luar rumah mereka, Encik Muhamad Imran Mean (kiri) menyediakan meja kecil dan beberapa kerusi untuk tetamu ‘lepak’ dan bersembang. - Foto BM oleh IZWANDI AZMAN

Bagi Encik Mean Wongsodinomo dan Cik Fauziah Shaharuddin, Disember sentiasa menjadi bulan yang istimewa untuk meraikan ulang tahun pernikahan mereka.

Namun, Disember 2024 lebih bermakna buat mereka berdua kerana ia juga menandakan ulang tahun menerima berita yang sangat menggembirakan – bahawa mereka akhirnya akan memiliki rumah sendiri.

Setelah sekitar 20 tahun tinggal dalam beberapa rumah sewa, 2025 menjadi lebih istimewa dan bermakna bagi Encik Mean, 69 tahun, dan Cik Fauziah, 60 tahun, apabila mereka bersiap menyambut Hari Raya di rumah milik sendiri.

Pada 14 Januari, Encik Mean dan Cik Fauziah berpindah ke rumah baru mereka, sebuah flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dua bilik fleksi di Champions Way, Woodlands, bersama dua anak lelaki mereka, Encik Muhamad Imran Mean, 24 tahun, dan Encik Muhamad Ismail Mean, 19 tahun.

Encik Mean, yang telah sekian lama bekerja sebagai pegawai keselamatan, juga mempunyai anak perempuan hasil perkahwinan terdahulu, Cik Nur Aslinda Mean, 44 tahun, yang sudah berkahwin dan tinggal bersama suaminya.

“Akhirnya, kami ada tempat yang boleh kami panggil rumah kami. Pada usia saya, rasa lega kerana keluarga saya mempunyai tempat untuk tinggal, tidak kira apa yang berlaku.”

“Alhamdulillah, selepas lama menunggu, kami akhirnya dapat rumah sendiri. Mesej teks saya terima pada awal Disember yang mengesahkan kelulusan rumah ini ibarat hadiah ulang tahun pernikahan kami,” kongsi Encik Mean.

Selepas bernikah pada 1994, pasangan itu menjual rumah di Singapura dan tinggal di rumah sewa di Johor Bahru antara 2005 hingga 2014 kerana sudah lama ingin menetap di seberang Tambak.

Namun, Encik Mean masih bekerja di Singapura, dan ketika itu Encik Imran serta Encik Ismail tetap bersekolah di Singapura.

Encik Mean dan Cik Fauziah memutuskan berpindah kembali ke Singapura untuk memudahkan perjalanan anak mereka ke sekolah. Mereka tinggal di Johor Bahru sehingga Encik Imran di menengah tiga, dan Encik Ismail di menengah satu.

“Pada mulanya, kami tak kesal berpindah ke Johor Bahru, tetapi lama-kelamaan, perasaan menyesal mula muncul kerana komitmen kerja saya dan komitmen sekolah anak,” singkap Encik Mean.

Pasangan itu meminta bantuan daripada Pejabat Khidmat Sosial (SSO) untuk mendapatkan flat sewa di Singapura. Sementara menunggu, mereka tinggal di rumah perlindungan, iaitu rumah tiga bilik yang dikongsi bersama keluarga lain selama enam bulan pada 2014.

Mereka juga menumpang di rumah saudara mara selama dua tahun selepas itu, tambah Encik Mean.

Ketika itu, Encik Mean merupakan pencari nafkah tunggal keluarganya. Encik Imran dan Encik Ismail masih kecil untuk bekerja.

“Pada masa itu, saya dan adik saya bergantung kepada skim bantuan kewangan sekolah kerana ayah dan ibu tidak mampu memberi kami wang saku,” kongsi Encik Imran, pelajar Politeknik Ngee Ann tahun ketiga.

Mereka akhirnya berjaya mendapat rumah sewa di Woodlands pada Mac 2016, dan tinggal di sana hingga mereka berpindah ke rumah baru ini pada 14 Januari 2025.

Namun, perjalanan untuk memiliki rumah sendiri bukanlah mudah.

Menurut Encik Mean, beliau telah memohon kepada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) sebanyak tiga kali sejak 2015, namun hanya menerima kelulusan pada Disember 2019. Penundaan pembinaan flat yang disebabkan oleh pandemik Covid-19 hanya menambah kesulitan.

Mengulas mengenai perbezaan antara flat sewa dan rumah baru mereka, Cik Fauziah berkata:

“Alhamdulillah, rumah kami sekarang lebih luas sedikit… jarak antara unit pun tidak begitu dekat jadi ada privasi.

“Di rumah sewa dulu, pintu kami dan pintu jiran saling bersentuhan jika dibuka. Kami boleh dengar kekecohan di rumah jiran jika mereka ada tetamu.

“Kami juga boleh pasang penghawa dingin di rumah baru. Dulu, kami tidak boleh pasang kerana rumah itu bukan milik kami.”

Encik Imran, yang juga Pengasas dan Ketua Penyelaras rangkaian sukarelawan belia, Rangkaian Sukarela Imran atau IM Volunteers Network SG (IMVNSG), sering menganjurkan acara seperti acara berbuka puasa dan acara masyarakat.

Justeru, beliau menghargai rumah barunya yang mempunyai bilik stor bagi menyimpan barang-barang yang digunakan pada setiap acara seperti sepanduk dan papan kadbod.

“Semasa kami masih tinggal di rumah sewa, saya simpan di koridor rumah, kadang kala orang nak jalan pun susah kerana terlalu banyak barang,” katanya.

Kini, dengan rumah baru, Encik Mean sekeluarga bukan hanya menantikan untuk meraikan Hari Raya pertama mereka di rumah sendiri buat kali pertama dalam kira-kira 20 tahun, tetapi juga teruja untuk menjemput sanak saudara dan rakan-rakan merasai kegembiraan bersama mereka.

“Kami tidak sabar buat ‘open house’ dan jemput semua orang ke rumah kami. Saya pun sudah menghantarkan undangan kepada saudara mara menerusi kumpulan WhatsApp keluarga,” ujar Encik Mean dengan senyuman lebar.

Mencelah dengan kegembiraan, Encik Imran berkata:

“Saya sediakan meja kecil, beberapa kerusi, dan hamparkan tikar di ruang depan rumah. Tempat ini khas untuk kawan dan sepupu saya lepak apabila mereka datang nanti.

“Saya mahu rumah ini jadi tempat yang selesa untuk semua. Hari Raya bukan sekadar tentang baju baru dan makanan, tapi juga tentang berkumpul dan eratkan silaturahim.”

Rumah baru mereka juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, seperti kedai serbaneka di kolong blok, menjadikannya lebih mudah untuk membeli barang keperluan dan menghiburkan tetamu.

Mereka telah pun ke Johor Bahru baru-baru ini untuk membeli keperluan Hari Raya, termasuk kuih-muih, permaidani baru, dan baju raya baru.

Rumah baru mereka itu bukan sekadar sebuah kediaman, malah ibarat simbol kepada tahun-tahun ketabahan dan penamat kepada perjalanan yang penuh cabaran.

“Saudara mara kami tumpang gembira apabila kami beritahu mereka berita gembira ini, mereka pun tidak sabar nak beraya di rumah kami.

“Hari Raya tahun ini (2025) benar-benar bermakna buat kami sekeluarga,” ujar Cik Fauziah.

Akhirnya, kami ada tempat yang boleh kami panggil rumah kami. Pada usia saya, rasa lega kerana keluarga saya mempunyai tempat untuk tinggal, tidak kira apa yang berlaku. Alhamdulillah, selepas lama menunggu, kami akhirnya dapat rumah sendiri. Mesej teks saya terima pada awal Disember yang mengesahkan kelulusan rumah ini ibarat hadiah ulang tahun pernikahan kami.
Encik Mean Wongsodinomo, yang sekitar 20 tahun tinggal dalam beberapa rumah sewa.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg