Hukuman yang dikenakan Hakim Daerah ke atas Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) yang juga Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, pada 17 Februari telah “mengabaikan bukti penting” berkaitan dua perkara kritikal, kata peguam belanya, Encik Andre Jumabhoy.
Dalam perbicaraan rayuan di Mahkamah Agung pada 4 November, Encik Jumabhoy berkata perkara pertama melibatkan anak guamnya yang menafikan beliau memberitahu bekas Anggota Parlimen (AP) WP, Cik Raeesah Khan, untuk menutup pembohongannya.
Encik Pritam menegaskan beliau tidak pernah menyatakan hal sedemikian kepada Cik Raeesah, tetapi Hakim Daerah Luke Tan semasa menjatuhkan hukuman pada Februari mendapati Encik Pritam telah berbohong kepada jawatankuasa Parlimen selepas beliau memberitahu Cik Raeesah agar meneruskan helahnya.
Perkara kedua, kata Encik Jumabhoy, adalah berkenaan ungkapan kata Encik Pritam kepada Cik Raeesah pada 3 Oktober 2021.
Beliau menjelaskan ungkapan “saya tidak akan menghakimi anda” yang dikatakan Encik Pritam kepada Cik Raeesah difahami pihak pendakwa sebagai andaian bagi Cik Raeesah meneruskan pembohongannya.
Namun, Encik Jumabhoy berkata Encik Pritam memberi maksud beliau tidak akan menghakimi Cik Raeesah sekiranya bekas AP itu bertanggungjawab atas pembohongan sendiri.
Cik Raeesah mengakui di Parlimen pada 1 November 2021 beliau telah berbohong di Parlimen pada 3 Ogos dan 4 Oktober 2021.
Ia berkaitan kenyataannya menemani mangsa kes rogol ke balai polis.
Beliau telah mengundurkan diri sebagai AP pada hujung November 2021 dan didenda $35,000 oleh Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP) – yang bersidang pada November untuk meneliti kontroversi pembohongan melibatkan dirinya.
COP mendapati beliau menyalahgunakan hak istimewa Parlimen.
Encik Pritam tampil di Mahkamah Agung pada 4 November bagi perbicaraan rayuan terhadap hukumannya selepas beliau didenda $14,000 kerana didapati bersalah pada Februari atas dua tuduhan berbohong semasa menjawab soalan yang dikemukakan kepada sebuah jawatankuasa Parlimen.
Beliau merupakan individu pertama sejak kemerdekaan Singapura pada 1965 yang didakwa dan didapati bersalah di bawah Seksyen 31(q) Akta Parlimen (Hak Istimewa, Kekebalan dan Kuasa) atau PPIPA.
Di bawah PPIPA, adalah menjadi satu kesalahan untuk berbohong semasa menjawab soalan yang dikemukakan oleh Parlimen atau jawatankuasanya.
Selain Encik Jumabhoy, Encik Pritam turut diwakili Encik Aristotle Emmanuel Eng Zhen Yang – kededuanya peguam daripada firma guaman Andre Jumabhoy LLC.
Mereka tiba bersama di pekarangan mahkamah sekitar 9.40 pagi.
Bapa Encik Pritam, Encik Amarjit Singh – mantan Hakim Daerah dan pendakwa raya – turut hadir semasa perbicaraan dalam bilik yang padat dengan orang awam dan pihak media.
Perbicaraan rayuan bermula pada 10 pagi, dengan pihak pembelaan membentangkan hujah selama lebih kurang dua setengah jam di hadapan Hakim Rayuan, Hakim Steven Chong.
Berkenaan ungkapan “saya tidak akan menghakimi anda” oleh Encik Pritam kepada Cik Raeesah, Tuan Hakim menyoal maksud sebenar di sebalik kata-kata tersebut.
“(Adakah ungkapan kata) ‘saya tidak akan menghakimi anda’ (memberi erti) anda (Raeesah) meneruskan naratif (pembohongan ini)?
“Atau ‘saya tidak akan menghakimi anda’ jika anda bertanggungjawab ke atas anekdot palsu itu,” ujarnya.
Tuan Hakim turut menyoal pihak pembelaan berkenaan ketiadaan tindakan selama lapan minggu lamanya – antara Ogos dengan Oktober 2021 – selepas Cik Raeesah ketengahkan pembohongannya. Ini memandangkan helah Cik Raeesah amat serius, katanya.
“Apa yang saya dapati amat luar biasa adalah ia sudah sedia maklum tiada tindakan diambil semasa tempoh lapan minggu yang kritikal ini,” kata Tuan Hakim.
Beliau mengetengahkan perbezaan antara tempoh ketiadaan tindakan dengan kegiatan seterusnya.
Ini termasuk sembilan draf kenyataan penjelasan Cik Raeesah dan beberapa pertemuan secara bersemuka, tambahnya.
Tuan Hakim berkata beliau boleh menerima Encik Pritam mengambil pendekatan “sensitif” mengenai keadaan itu, memandangkan ia melibatkan pengalaman penderaan seksual yang dialami Cik Raeesah.
Sebagai respons, Encik Jumabhoy menunjukkan kalendar yang padat bagi WP dan Encik Pritam sebagai Ketua Pembangkang.
Cik Raeesah juga menghidap penyakit kayap (shingles) dan tidak menghadiri sidang Parlimen pada September (2021).
Namun demikian, beliau berkata ini tidak bermakna anak guamnya “begitu sibuk, sehingga tidak dapat menangani perkara ini”.
“Saya fikir pendiriannya mempunyai sedikit unsur nuansa… (iaitu) saya (Encik Pritam) sibuk dan saya terlepas pandang perkara ini,” katanya.
Tuan Hakim menjawab: “Anda telah menjelaskan sebahagian daripadanya.”
Pihak pendakwa kemudian membentangkan lima bukti penting bagi kededua pertuduhan yang dikenakan ke atas Encik Pritam di hadapan Tuan Hakim selepas rehat pada 2.15 petang.
Ini termasuk tindakan Encik Pritam yang tidak mengambil sebarang tindakan berhubung pembohongan Cik Raeesah dan tidak menegurnya apabila bekas AP itu mengulangi pembohongan tersebut di Parlimen pada Oktober 2021.
Namun, Tuan Hakim mempersoalkan kerelevanan beberapa bukti yang diketengahkan.
Pihak pendakwa diketuai Timbalan Peguam Negara (DAG) Goh Yihan; bersama Timbalan Ketua Pendakwa Raya Wong Woon Kwong; Timbalan Peguam Negara Kanan Sivakumar Ramasamy; Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Ben Tan Mathias dan Cik Lu Huiyi.
Antara bukti yang diketengahkan DAG Goh termasuk keputusan Encik Pritam untuk tidak mengambil apa-apa tindakan di Parlimen pada 4 Oktober dan 5 Oktober 2021, selepas Cik Raeesah berbohong lagi dalam sidang Parlimen.
Tuan Hakim berkata ia sesuatu luar biasa Encik Pritam tidak tampil di Parlimen untuk menegakkan kebenaran kerana ia “tidak realistik bagi mengharapkan beliau (Encik Pritam) memberi tindak balas dengan segera”.
“Seperti yang ditunjukkan oleh peristiwa (yang berlaku) kemudian, kenyataan tersebut memerlukan beberapa penggubalan serius.
“Anda perlu berfikir dan memberi pertimbangan secara tepat terhadap apa yang ingin dikatakan, bagaimana ia akan dikatakan,” ujarnya.
Awal dari itu sebelum sesi perbicaraan ditangguhkan untuk rehat tengah hari, Tuan Hakim mengajukan pertanyaan kepada pihak pendakwa sebab pertuduhan kedua Encik Pritam diolah dan diperkata sedemikian rupa.
Pertuduhan tersebut berkaitan bagaimana Encik Pritam telah memberi keterangan palsu kepada COP.
Apabila beliau bercakap dengan Cik Raeesah pada 3 Oktober 2021, beliau ingin menyampaikan kepadanya bahawa Cik Raeesah perlu berterus terang tentang pembohongannya itu jika perkara tersebut timbul di Parlimen pada keesokan hari (4 Oktober).
Dalam jawapan ringkasnya terhadap perkara ini, DAG Goh berkata ia adalah cara “paling terus dan langsung”.
Beliau berkata ia merupakan cara terbaik bagi mengolah dan memperkata sedemikian rupa untuk pertuduhan itu setelah membaca testimoni COP dan menambah bahawa Encik Pritam tidak pernah mengadu tentang perkara ini.
Tuan Hakim melabuhkan tirai perbicaraan sekitar 4.15 petang selepas bersidang hampir lima jam secara keseluruhan dan menambah keputusan akan dimaklumkan kelak.
Laporan tambahan oleh LUQMANUL HAKIM ISMAIL


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg