Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Speaker: Pritam Singh kekal layak kerusi Parlimen selepas didenda

Feb 18, 2025 | 6:52 PM
Ketua Pembangkang dan Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, dikenakan denda sebanyak $14,000 bagi dua tuduhan berbohong kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP).
Ketua Pembangkang dan Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, dikenakan denda sebanyak $14,000 bagi dua tuduhan berbohong kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP). - Foto ST

Ketua Pembangkang dan Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, kekal memegang kerusi GRC Aljunied selepas dikenakan denda kerana kesalahan berbohong di Parlimen, kata Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng, pada 18 Februari.

Encik Seah memberitahu Parlimen bahawa menurut panduan yang diberikan Pejabat Peguam Negara (AGC), seorang Anggota Parlimen (AP) boleh digugurkan daripada kerusinya jika beliau dikenakan denda sebanyak $10,000 atau lebih, namun kriteria itu merujuk kepada denda bagi satu kesalahan, bukan jumlah keseluruhan denda bagi dua kesalahan.

Pada 17 Februari, Encik Pritam dikenakan denda keseluruhan $14,000 bagi dua tuduhan berbohong kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP) yang menyiasat kes bekas AP, Cik Raeesah Khan.

Di Parlimen pada 18 Februari, Ketua Dewan, Cik Indranee Rajah, mengedarkan nota yang mengingatkan AP tentang kewajipan mereka “untuk bercakap benar dalam prosiding Parlimen”.

Dalam nota itu beliau berkata: “Adalah satu penghinaan besar terhadap Parlimen bagi seorang Anggota membuat kenyataan palsu atau mengelirukan secara sengaja kepada Parlimen atau jawatankuasanya.”

Mengemukakan kenyataan palsu atau memberi keterangan palsu dengan sengaja, merosakkan integriti proses Parlimen, tambah Cik Indranee, yang juga Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO) serta Menteri Kedua bagi Kewangan dan Pembangunan Negara.

Cik Indranee berkata: “Semua Anggota dikehendaki mengekalkan piawaian tertinggi dalam kejujuran dan integriti serta mematuhi peraturan tingkah laku Parlimen, supaya orang awam terus mempunyai keyakinan penuh terhadap Parlimen kita dan wakil-wakilnya.”

Kenyataan Encik Seah itu mengulangi penjelasan yang dikeluarkan Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada 17 Februari, lapor The Straits Times (ST).

ELD menyatakan Encik Pritam tidak akan kehilangan kerusinya atau dihalang daripada bertanding dalam pilihan raya umum akan datang kerana hukuman yang dijatuhkan tidak mencapai kriteria yang ditetapkan.

Encik Seah turut menyatakan semula keputusan Pendakwa Raya yang tidak akan meneruskan tuduhan terhadap seorang lagi AP GRC Aljunied, Encik Faisal Manap, kerana enggan menjawab soalan yang dikemukakan jawatankuasa Parlimen sama yang menyiasat kes Cik Raeesah.

Menurut Encik Seah, Encik Faisal telah menerima nasihat daripada Pendakwa Raya untuk membiasakan diri dengan “tingkah laku yang dikehendaki daripada AP”, di bawah Akta (Keistimewaan, Kekebalan dan Kuasa) Parlimen dan untuk mengelakkan daripada melakukan tindakan yang mungkin melanggar Akta tersebut.

Encik Seah juga mengumumkan kekosongan kerusi dua Anggota Parlimen Dilantik (NMP), yang sebelum ini diisi peguam, Encik Raj Joshua Thomas dan pakar psikiatri, Dr Syed Harun Alhabsyi.

Encik Thomas dan Dr Syed Harun telah meletak jawatan pada 14 Februari dan menyatakan dalam hantaran media sosial masing-masing bahawa mereka berhasrat meneruskan khidmat politik dalam saluran lain. 

Langkah itu menimbulkan spekulasi mengenai kemungkinan mereka akan dinamakan sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg