Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

RDU bakal tanding di GRC Holland-Bukit Timah, perkenal tiga calon

Apr 11, 2025 | 3:09 PM
Parti Titik Merah Bersatu (RDU) memperkenalkan tiga calon yang dikatakan akan menerajui pasukan GRC Holland-Bukit Timah – (dari kiri) perunding kewangan, Encik Fazli Talip; pemilik perniagaan, Encik Patrick Tan; dan penolong jurutera, Encik Sharad Kumar.
Parti Titik Merah Bersatu (RDU) memperkenalkan tiga calon yang dikatakan akan menerajui pasukan GRC Holland-Bukit Timah – (dari kiri) perunding kewangan, Encik Fazli Talip; pemilik perniagaan, Encik Patrick Tan; dan penolong jurutera, Encik Sharad Kumar. - Foto ST

Parti Titik Merah Bersatu (RDU) pada 10 April mengumumkan hasrat bertanding di GRC Holland-Bukit Timah pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Parti pembangkang itu turut memperkenalkan tiga calon yang dikatakan akan menerajui pasukan GRC empat anggota itu.

Mereka adalah perunding kewangan, Encik Fazli Talip, 43 tahun; penolong jurutera, Encik Sharad Kumar, 25 tahun; dan pemilik perniagaan, Encik Patrick Tan, 70 tahun.

Anggota keempat pasukan itu masih belum diperkenalkan.

Encik Sharad dan Encik Tan adalah muka baru dalam arena politik, manakala Encik Fazli pernah bertanding di GRC East Coast pada GE2011 di bawah pasukan Parti Pekerja (WP), lapor The Straits Times (ST).

Para calon diperkenalkan oleh setiausaha agung RDU, Encik Ravi Philemon, pada malam 10 April di Pusat Penjaja Senja. 

Beliau turut mengumumkan bahawa tema kempen RDU bagi GRC Holland-Bukit Timah adalah ‘Nilai Adil untuk Semua’.

GRC Holland-Bukit Timah mempunyai 122,891 pengundi, dan sebahagian besar penduduknya menetap di hartanah berhalaman serta estet privet.

Seorang jurucakap RDU berkata parti itu berjanji untuk memperjuangkan “sistem yang lebih adil” yang mana “setiap warga Singapura, bukan hanya golongan yang paling kaya, dapat merasa selamat dan dihargai”.

Ini kali pertama RDU akan bertanding di GRC ini.

Ini bermakna parti itu akan menyertai gelanggang yang sebelum ini menyaksikan pertembungan antara Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Parti Demokratik Singapura (SDP) buat tiga pilihan raya berturut-turut.

GRC tersebut juga bukan antara enam kawasan undi – iaitu GRC Nee Soon, GRC Jurong East-Bukit Batok, GRC Tanjong Pagar, serta SMC Jurong Central, Jalan Kayu dan Radin Mas – yang sebelum ini RDU umumkan akan bertanding dalam GE2025.

“Secara strategik, adalah wajar bagi kami untuk bertanding di GRC Holland-Bukit Timah. Ini akan memudahkan aliran logistik dan pentadbiran,” kata Encik Philemon.

Jika RDU bertanding di GRC ini, mereka tidak akan meletakkan calon di GRC Tanjong Pagar dan SMC Radin Mas, jelas Encik Philemon.

Encik Philemon menambah, parti tersebut merancang untuk berbincang dengan penduduk, serta SDP untuk memahami isu-isu perbandaran di kawasan tersebut.

Pengumuman RDU itu dibuat selepas Pengerusi SDP, Profesor Paul Tambyah, berkata pada 8 April bahawa partinya masih belum pasti sama ada mereka akan bertanding di GRC Holland-Bukit Timah.

Encik Philemon berkata partinya telah berbincang dengan kepimpinan SDP apabila mendengar bahawa mereka masih ragu untuk bertanding di GRC tersebut, tetapi menegaskan bahawa perundingan masih berjalan.

Beliau berkata: “Jika SDP tidak bertanding di sini... ia bermakna mereka menyerahkan tanggungjawab kepada kami, dan kami berhasrat untuk bertanding dengan baik.”

RDU adalah parti politik termuda di Singapura semasa GE2020 dan hanya bertanding di GRC Jurong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg