Parti Titik Merah Bersatu (RDU) mahu memberi tumpuan kepada “soalan-soalan penting” seperti kos sara hidup dan perwakilan saksama oleh Anggota Parlimen (AP) pada pilihan raya umum yang akan datang, kata Setiausaha Agungnya, Encik Ravi Philemon, pada 3 April.
Bercakap kepada wartawan sebelum berjalan-jalan di Pusat Penjaja Yishun Park, beliau berkata ini adalah perkara-perkara “penting kepada orang ramai di Nee Soon dan di Singapura”.
RDU telah menyatakan ia akan bertanding di GRC Nee Soon pada pilihan raya akan datang.
Ditanya sama ada beliau akan mengetuai calon partinya di GRC itu, Encik Philemon tidak memberi jawapan secara langsung, lapor The Straits Times (ST).
Beliau juga tidak mengesahkan barisan RDU untuk Nee Soon, tetapi memperkenalkan wajah baru, Dr Syed Alwi Ahmad, 57 tahun. Guru sekolah swasta itu adalah ketua dasar RDU dan biro Melayu parti tersebut.
Encik Philemon berkata beliau mendengar tentang keluarga yang bergelut dengan harga makanan dan yuran tuisyen anak-anak mereka, dan RDU akan mengetengahkan “masalah paling penting” itu semasa kempen mereka.
Parti itu juga akan mendesak supaya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dikembalikan kepada 7 peratus agara rakyat ada lebih banyak wang dalam poket, dan cukai karbon Singapura dihapuskan.
Isu lain yang akan diketengahkan RDU ialah sama ada AP di Nee Soon benar-benar menjaga keperluan penduduk, tambahnya.
Encik Philemon berkata terdapat “maklum balas” mengenai Encik Derrick Goh yang dinaikkan pangkat ke jawatan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan DBS Bank pada Februari, dan “kebimbangan sesetengah penduduk” mengenai masa yang akan Encik Goh luangkan sebagai AP kawasan itu.
Encik Goh adalah AP di kawasan Nee Soon Link, dan pengerusi Majlis Perbandaran Nee Soon.
Encik Philemon juga menyebut Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, dan bekas Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Dr Syed Harun Alhabsyi.
Penampilan Prof Faishal pada satu acara berjalan di Pasar dan Pusat Makanan Eunos Crescent pada 30 Mac telah menimbulkan spekulasi beliau mungkin bertanding di GRC Marine Parade-Braddell Heights yang baru, manakala Dr Syed Harun dilihat bersama wajah-wajah baru Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Nee Soon pada 27 Mac.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg