Skuadron (SQN) 142 Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF), yang dipimpin oleh Mejar Muhammad Iskandar Dzulfadhli Abdul Rahman, telah memenangi anugerah Skuadron Pejuang Terbaik 2025.
Ia merupakan tahun kedua berturut-turut skuadron itu meraih anugerah tersebut sejak 2024.
Sepanjang 2024, skuadron pejuang itu telah memberi respons pantas kepada pelbagai insiden udara.
Antaranya ialah respons terhadap dakwaan ancaman bom pada penerbangan Air India Express AXB684.
Di luar latihan harian dan tugas operasi, ia turut menyertai dalam pelbagai latihan dalam dan luar negara untuk mempertajam kelebihan pertempurannya, mengukuhkan operasi bersepadu di seluruh Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), dan mengasah kecekapan profesional kakitangannya.
Semasa bertemu media di Pangkalan Udara Paya Lebar, Mejar Iskandar, 37 tahun berkata kesiapsiagaan operasi sepanjang masa dan dorongan untuk terus mencabar batas kemampuan adalah ciri yang tidak boleh dipisahkan dalam pasukan itu.
“Saya percaya kami menerima penghargaan ini kerana pasukan kami sentiasa bersiap sedia dari segi operasi dan komited mengekalkan standard yang tinggi dalam operasi dan pentadbiran.
“Kami dikenali dengan budaya pemilikan yang kuat di mana setiap anggota berbangga dengan peranan mereka dan sentiasa berusaha mencapai kecemerlangan.
“Pada masa yang sama, kami sedar bahawa semua skuadron berusaha keras untuk misi bersama mempertahankan Singapura dan kami berbangga dapat berkhidmat bersama.
“Sempena ulang tahun ke-60 Singapura dan langkah ke bab seterusnya, saya berharap (kemenangan) ini dapat memberi inspirasi kepada yang lain untuk mempercayai kekuatan misi bersama dan tanggungjawab kita semua dalam mempertahankan serta membentuk masa depan Singapura.”
Anugerah itu adalah anugerah tahunan yang diberikan dalam Pertandingan Unit Terbaik SAF.
Mejar Iskandar memimpin SQN 142 sebagai Pegawai Komand (CO) sejak Januari 2025.
Beliau akan dinaikkan pangkat ke Leftenan-Kolonel (LTC) pada 1 Julai, sempena Hari SAF.
Beliau juga akan mengetuai segmen pertunjukan terbang lalu jet pejuang dalam Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2025.
“Saya berbangga dengan warisan saya sebagai seorang Melayu/Islam dan saya melihat pencapaian ini sebagai satu peringatan mengenai pentingnya membina sebuah angkatan bersenjata di mana setiap orang tanpa mengira latar belakang mempunyai peluang untuk menyumbang secara bermakna,” ujar anak ketiga dalam keluarga empat beradik itu.
Mejar Iskandar merupakan antara pegawai kanan Melayu/Islam dalam RSAF dan SAF serta mempunyai pengalaman luas dalam bidang operasi dan kepimpinan.
Selepas menjalani Perkhidmatan Negara (NS) bersama SAF pada 2007, juruterbang jet pejuang F-15SG itu memulakan kerjayanya sebagai juruterbang pesawat F-5 di Skuadron 144 dari 2011 hingga 2015.
Sebagai penerima Biasiswa Akademik SAF, beliau kemudian melanjutkan pelajarannya di luar negara dari 2015 hingga 2019.
Mejar Iskandar memperoleh ijazah Kepujian Kelas Pertama dalam Sains Politik dengan Hubungan Antarabangsa dari University of British Columbia, dan juga meraih ijazah Sarjana dalam Dasar Awam dari Universiti Oxford.
Beliau kemudian dilantik sebagai Pegawai Memerintah (OC) Skuadron 149, dan kemudian menghadiri kursus bersama Angkatan Pertahanan Australia (ADF) pada 2024.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg