Melihat cara pembuangan sampah dilakukan di estet perumahan awam yang ‘menyakitkan mata’, ia telah memberi inspirasi kepada pengasas Declutter.sg, Encik Khairul Anwar Ahmad Mahbob, 37 tahun, untuk menawarkan huraian lebih tersusun dan mampan.
Declutter.sg ditubuhkan bagi mereka yang ingin membuang barangan mereka yang tidak diingini secara bertanggungjawab.
“Saya terjumpa gambar di media sosial yang menunjukkan pembuangan barangan tidak bertanggungjawab di estet HDB.
“Jadi saya mahu menyediakan perkhidmatan yang membantu pengguna menyelesaikan masalah secara bertanggungjawab dan mampan,” jelasnya.
Dengan Declutter.sg, individu kini mempunyai cara yang mudah diakses dan beretika untuk mengurus barang-barang mereka yang tidak diingini.
“Selepas berpindah ke unit BTO (Bina Ikut Tempahan) saya, saya dapati bilik stor saya mempunyai barang yang tidak digunakan lagi, alat tulis, barang yang sudah pecah atau rosak yang masih boleh dibaiki.
“Jika ini berlaku untuk hanya satu isi rumah, bayangkan skalanya jika sejuta rumah di Singapura.
“Banyak barangan ini boleh memberi manfaat kepada mereka yang kurang bernasib baik,” ujarnya.
Kadangkala, badan amal menganjurkan kutipan derma, tetapi Encik Khairul memerhatikan penyusunan barangan yang diderma boleh menjadi sesuatu yang rumit bagi organisasi ini.
Ramai penderma mengambil jalan mudah dengan menderma barangan yang tidak lagi boleh digunakan atau diperlukan.
Penyalahgunaan ini telah menimbulkan beban tambahan kepada badan amal yang sudah bergelut dengan sumber yang terhad.
“Untuk menangani perkara ini, kami memperkenalkan perkhidmatan berbayar yang lebih berstruktur di mana pelanggan tidak perlu risau tentang mendapatkan atau menyusun barang mereka sendiri.
“Sebaliknya, kami mengkategorikan barangan berdasarkan kebolehgunaan sama ada ia boleh digunakan semula, dikitar semula atau memerlukan pembuangan yang betul.
“Barangan yang tidak boleh diselamatkan, dilupuskan secara bertanggungjawab di pusat yang ditetapkan seperti di Sungei Kadut,” kongsinya.
Pelanggan Declutter.sg terutamanya terdiri daripada penduduk kondominium yang mempunyai pilihan pembuangan yang terhad.
“Ramai pelanggan kami terdiri daripada golongan ekspatriat atau kaum wanita yang mungkin tidak mempunyai masa atau tenaga untuk menguruskan sendiri,” ujarnya.
Beliau juga bekerjasama dengan badan amal dan rumah jagaan warga emas, walaupun tidak semua barangan yang disumbangkan boleh diterima.
“Walaupun sesuatu barang itu yang didermakan berada dalam keadaan baik, pilihan peribadi si penerima derma akan diutamakan.
“Matlamat kami adalah untuk mengembangkan rangkaian kami supaya kami dapat memadankan barang yang didermakan dengan mereka yang benar-benar memerlukannya.”
Encik Khairul turut menambah:
“Agama kita mengajar kita untuk berhati-hati dan menjaga baik alam sekitar yang sering disebut dalam khutbah.
“Namun, masih ramai yang bergelut dengan penimbunan, terutama golongan orang tua, yang mementingkan nilai sentimental pada harta benda mereka.
“Kita perlu menanamkan tabiat pembuangan secara bertanggungjawab, untuk mengelakkannya daripada mengancam keselamatan terutama jika kejadian kebakaran terjadi.”
Semasa Ramadan dan Hari Raya, penggunaan berlebihan membawa kepada peningkatan kekacauan dan pembaziran.
“Ironinya, pembaziran makanan meningkat semasa Ramadan, walaupun ia bertujuan untuk menjadi masa yang sederhana.
“Begitu juga, orang ramai cenderung untuk membeli lebih banyak barangan rumah tanpa mengambil kira sama ada mereka benar-benar memerlukannya,” tambahnya lagi.
Memandang ke hadapan, Encik Khairul berhasrat untuk meluaskan jangkauan Declutter.sg.
“Kami sedang dalam proses mendapatkan ruang khusus dan bekerjasama dengan lebih banyak vendor dan rakan kongsi pengumpulan.
“Kami juga merancang untuk mengupah individu kurang upaya untuk membantu menyusun barangan ini,” kongsi Encik Khairul.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg