Selepas hampir empat dekad menjadi pencari nafkah utama sebagai pengurus perkhidmatan kereta api di syarikat pengendali pengangkutan SMRT, Encik Hamzah Suria, 66 tahun, akhirnya memilih untuk bersara pada 2024.
Namun, beliau berdepan dengan persoalan yang sering dipertimbangkan ramai yang di ambang persaraan: “Adakah wang simpanan cukup untuk menampung persaraan?”
Dalam satu wawancara podcast Berita Harian (BH), NoTapis, Encik Hamzah, menjelaskan beliau sebenarnya telah melakukan perancangan awal sebelum bersara.
“Walaupun saya mempunyai simpanan sendiri, saya selalu berfikir sekiranya ia mencukupi.
“Jika ada sumber kewangan gantian atau alternatif yang dapat membantu menampung kos bersara saya dan isteri, ia boleh menjadi pendapatan tambahan kepada simpanan yang kami miliki,” jelas bapa dua orang anak berusia 32 dan 23 tahun.
Isterinya, Cik Noraini Bakri, 66 tahun, merupakan suri rumah sejak 1992.
Sebelum itu, beliau pernah bertugas selama tiga tahun sebagai juruwang di gedung beli-belah.
Encik Hamzah teringat ucapan Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, yang memperkenalkan Skim Beli Balik Pajakan (LBS), semasa beliau masih lagi menggalas amanah sebagai Perdana Menteri Singapura pada Rapat Hari Kebangsaan pada 19 Ogos 2007.
LBS, yang kemudian dimulakan pada 2009, membolehkan warga emas menambah pendapatan persaraan mereka dengan menjual sebahagian baki pajakan flat kepada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) sambil terus tinggal di rumah tersebut.
Di bawah skim itu, isi rumah yang layak menyertai skim tersebut boleh memilih untuk mengekalkan tempoh pajakan, antara 15 dengan 35 tahun – kenaikan lima tahun – selagi tempoh itu meliputi usia pemilik termuda hingga sekurang-kurangnya 95 tahun.
Mengambil kesempatan untuk memanfaatkan skim tersebut pada Disember 2024, Encik Hamzah memutuskan untuk menjual balik pajakan 30 tahun bagi flat empat biliknya.
Sehingga 30 Jun 2025, Encik Hamzah merupakan antara 14,904 isi rumah yang telah menyertai LBS.
Daripada jumlah itu, kira-kira sembilan daripada 10 isi rumah memilih mengekalkan pajakan 20 hingga 30 tahun, manakala selebihnya dibahagikan sama rata, antara 15 dengan 35 tahun, kata HDB.
Hampir sembilan daripada 10 isi rumah menerima hasil antara $100,000 dengan $300,000 sebelum ditokok ke Akaun Persaraan Tabung Simpanan Pekerja (CPF).
Jumlah itu bergantung pada nilai pasaran flat dan tempoh pajakan yang dikekalkan.
Menurut Encik Hamzah, tindakannya itu telah menambah simpanan CPF persaraan baginya serta isteri, dan membolehkan mereka menerima bayaran bulanan seumur hidup di bawah CPF LIFE (Pendapatan Sepanjang Hayat Bagi Orang Yang Lanjut Usia).
“Isteri saya tidak kerja lebih 30 tahun, jadi simpanan CPF beliau kurang.
“Dengan LBS, saya dapat membantu menokok akaun beliau juga.
“Kini, kami berdua dapat tokokan CPF LIFE setiap bulan,” jelasnya.
Selain menerima bayaran bulanan seumur hidup, Encik Hamzah berkata LBS turut memberinya ketenangan.
Setakat ini, beliau masih mempunyai anak bongsu yang masih tinggal bersama.
Oleh itu, Encik Hamzah berkata penting baginya melakukan perancangan awal.
“Anak bongsu saya pun tidak lama lagi akan bernikah dan merancang memohon flat Bina Ikut Tempahan (BTO).
“Akhirnya di rumah saya nanti, tinggal saya dan isteri saja,” katanya.
“Dengan menyertai skim ini, saya dan isteri dapat berdikari dan tidak perlu bergantung kepada anak-anak,” tambahnya.
Walaupun beliau memahami manfaat yang diterima daripada skim itu, Encik Hamzah mengakui masih ramai dalam kalangan rakan sebaya yang salah faham tentang LBS.
“Ada kawan-kawan fikir apabila kita jual pajakan balik, HDB akan mengambil duit kita atau kita tidak akan ada tempat tinggal apabila tempoh pajakan habis,” kongsinya.
Mengulas tentang perkara itu, Pengurus Kanan Estet HDB, Cik Nurul Nadirah Khalid, yang turut menyertai podcast tersebut, berkata kebimbangan dan keprihatinan seperti itu biasa diluahkan.
Menurutnya, soalan lain yang kerap ditanya oleh warga emas juga adalah berapakah jumlah wang yang mereka akan terima dalam Akaun Persaraan CPF, berapakah bayaran bulanan CPF LIFE dan berapakah jumlah yang boleh diterima dalam bentuk tunai.
“Bagi mereka yang ingin tahu lebih lanjut tentang LBS, mereka boleh mengunjungi ibu pejabat HDB dan membuat janji temu di cawangan HDB kami.
“Semua butiran berkenaan soalan yang mereka ada akan diterangkan sekiranya warga emas itu ingin memanfaatkan LBS,” tambahnya.
Ditanya tentang perbezaan LBS dengan skim lain yang sedia ada, Cik Nurul berkata terdapat skim lain yang juga membantu warga emas menjana pendapatan untuk kegunaan hari tua.
Antaranya termasuk Bonus Perumahan untuk Warga Emas (SHB) yang memberi mereka bonus tunai sehingga $30,000 apabila mereka menjual flat sedia ada dan menggunakan hasil daripadanya untuk menambah Akaun Persaraan CPF atau pilihan menyewa bilik yang tidak digunakan.
Cik Nurul menekankan manfaat LBS tidak hanya berbentuk kewangan semata-mata.
“Ia juga memberi ketenangan kerana warga emas tahu mereka akan mendapat bayaran tetap sepanjang hayat, sambil terus tinggal di rumah dan persekitaran yang sudah mereka kenali,” ujarnya.
“
“Isteri saya tidak kerja lebih 30 tahun, jadi simpanan CPF (Tabung Simpanan Pekerja) beliau kurang. Dengan LBS (Skim Beli Balik Pajakan), saya dapat membantu menokok akaun beliau juga. Kini, kami berdua dapat tokokan CPF LIFE (Pendapatan Sepanjang Hayat Bagi Orang Yang Lanjut Usia) setiap bulan.”“
“Ia (Skim Beli Balik Pajakan) juga memberi ketenangan kerana warga emas tahu mereka akan mendapat bayaran tetap sepanjang hayat, sambil terus tinggal di rumah dan persekitaran yang sudah mereka kenali.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg