Dengan hujan lebat berterusan akibat lonjakan monsun baru-baru ini, Singapura telah mencatat curahan air hujan tertinggi, dengan hujan paling lebat direkodkan di Pulau Tekong pada 10 Januari.
Curahan hujan di pulau itu melebihi dua kali ganda purata hujan yang turun pada 10 Januari di Singapura, dan telah mencapai jumlah tinggi sejak rekod mula dicatat pada 1980.
Catatan setinggi 241.8 milimeter (mm) di Pulau Tekong pada 10 Januari mengatasi rekod 238.2mm yang dirakam di Pulau Ubin pada 30 Januari 2011, kata Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) pada 14 Januari sebagai jawapan pertanyaan The Straits Times (ST).
Bahagian utara dan timur Singapura biasanya mencatatkan jumlah air hujan tertinggi, tambah MSS.
Hujan berterusan yang melanda Singapura dari 10 Januari hingga 13 Januari adalah ekoran lonjakan monsun, iaitu fenomena cuaca bermusim yang menyebabkan lebih banyak curahan hujan di kawasan tropika.
Menurut MSS, sepanjang tempoh itu, purata jumlah hujan harian di serata Singapura adalah daripada 44.4mm kepada 120.2mm.
Fenomena cuaca sebegitu adalah perkara biasa semasa tempoh Monsun Timur Laut yang lazimnya berlaku dari Disember hingga Januari.
Namun, menurut MSS lagi, lonjakan monsun baru-baru ini adalah “salah satu peristiwa yang (berlaku) lebih lama dan lebih banyak dalam beberapa tahun kebelakangan ini”.
Secara purata, Singapura mengalami dua hingga empat lonjakan monsun setiap tahun, dan setiap fasa boleh berterusan antara satu dengan lima hari.
Antara 10 dengan 13 Januari, suhu seluruh pulau telah mencecah paras rendah daripada 21.9 darjah Celsius di Newton hingga 22.8 darjah Celsius di Changi, lapor ST.
Jumlah hujan yang turun dalam tempoh itu turut melebihi purata hujan bulanan bagi Januari.
Lonjakan monsun baru-baru ini telah berakhir, tetapi keadaan cuaca akibat Monsun Timur Laut masih berterusan, kata MSS.
Profesor Winston Chow dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) berkata, walaupun lonjakan monsun baru-baru ini bukanlah luar biasa, Asia Tenggara dijangka mengalami lebih banyak hujan buat jangka panjang akibat perubahan iklim.
“Suhu yang semakin tinggi, meningkatkan kemungkinan berlakunya banjir di kawasan monsun di Asia Selatan, Asia Tenggara, dan Asia Timur,” kata Profesor Chow.
Keadaan cuaca lebih lembap dan lebih dingin mungkin berterusan selepas Januari, dengan fenomena iklim La Nina – penyejukan suhu permukaan laut pada skala besar di khatulistiwa pusat dan timur Laut Pasifik – dijangka kembali antara Januari dengan Mac.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg