Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Taman Tugu Pengasas akan telan kos $335j

Sep 10, 2024 | 5:46 PM
Dijadual dibuka pada penghujung 2028, Taman Tugu Pengasas akan didedikasikan kepada perintis Singapura.
Dijadual dibuka pada penghujung 2028, Taman Tugu Pengasas akan didedikasikan kepada perintis Singapura. - Foto GARDENS BY THE BAY dan LEMBAGA WARISAN NEGARA

Taman Tugu Pengasas yang akan datang di Taman Bay East, Gardens by The Bay, akan menelan belanja $335 juta untuk dibina.

Menjawab soalan Encik Louis Chua (GRC Sengkang), Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, memberitahu Parlimen pada 9 September bahawa kos pembangunan adalah berdasarkan prospek dan unjuran semasa.

Jumlah itu “merangkumi pembinaan bangunan dan kos pemasangan untuk galeri pameran, galeri tontonan dan amfiteater luar, ruang dan kemudahan pendidikan dan keluarga, dan taman awam luar seluas 5 hektar”, kata Encik Tong dalam jawapan bertulis.

Beliau menambah bahawa kos operasi tahunan tugu peringatan itu “sedang diusahakan seiring dengan pembangunan rancangan operasi”, lapor The Straits Times.

Dijadual dibuka pada penghujung 2028, tugu peringatan itu – yang dicadangkan pada 2015 berikutan kematian Perdana Menteri Pengasas, Encik Lee Kuan Yew – akan didedikasikan kepada perintis Singapura dan nilai teladan yang mereka paparkan.

Tarikh upacara pecah tanah taman itu pada 5 Jun lalu mempunyai makna penting kerana ia bersempena tarikh angkat sumpah pegang jawatan Kabinet pertama Singapura yang mentadbir negara sendiri pada 5 Jun 1959.

Mereka yang menyertai upacara pecah tanah itu turut menanam anak pokok yang dicantumkan daripada pokok yang ditanam oleh pemimpin Singapura pada tahun-tahun awal perjalanan penghijauan negara.

Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, yang merasmikan upacara pecah tanah itu, berkata tugu tersebut akan menceritakan bagaimana para pemimpin pengasas negara “mengatasi cabaran untuk membina Singapura yang kukuh, bersatu dan merdeka”.

Encik Tong berkata tugu peringatan itu “akan menawarkan pengalaman galeri dan taman bersepadu”, sambil menambah bahawa ia akan menjadi ruang “untuk mengecap semangat negara kita dan menyatukan rakyat Singapura”, dengan membolehkan mereka merenung masa lalu dan mendapat inspirasi untuk masa depan.

Bangunan dua tingkat berkembarnya, yang akan dihubungkan dengan ruang bawah tanah yang sama, direka oleh firma seni bina Jepun, Kengo Kuma & Associates, yang bekerjasama dengan firma Singapura, K2LD Architects.

Pembukaan tugu peringatan itu asalnya dirancang pada 2025 – tepat pada hari lahir Singapura yang ke-60 – tetapi tarikh siap tersebut diundurkan kerana kerja-kerja infrastruktur meluas yang sedang berjalan di tapak Taman Bay East.

Tarikh siap 2027 yang diselaraskan kemudiannya disemak berikutan pandemik Covid-19.

Stesen MRT Founder’s Memorial di Laluan Thomson-East Coast akan dibuka seiring dengan tugu peringatan itu pada 2028.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg