Topik diikuti
Pergi ke BHkuRelawan lebih sedar tugas sebagai ayah selepas hadiri bengkel kebapaan
Relawan lebih sedar tugas sebagai ayah selepas hadiri bengkel kebapaan
Program Bapa Sepanjang Hayat main peranan penting bantu golongan bapa menerusi sokongan berterusan
Relawan lebih sedar tugas sebagai ayah selepas hadiri bengkel kebapaan
Ketika Encik Bramsha Osman mula menjadi seorang bapa, beliau menganggap peranannya ditentukan oleh kemampuan menyediakan keperluan dari segi kewangan dan memastikan anak-anak mempunyai segala yang diperlukan.
Namun, saban tahun pandangan bapa lima anak itu berubah apabila beliau menyedari peranan keibubapaan bukan sekadar tentang memberi, tetapi tentang kehadiran dalam kehidupan anak-anak sebelum menyediakan segala bentuk barangan.
Mengimbas kembali perjalanan peribadinya, bapa berusia 46 tahun itu tidak menafikan proses menjadi seorang bapa tidak selalunya mudah.
“Perjalanan keibubapaan saya tidak sentiasa positif. Ada masa saya cepat marah, tegas berlebihan dan mudah hilang sabar di rumah.
“Anak-anak mungkin pernah melihat saya sebagai ‘bapa yang menakutkan’ ketika itu. Itulah realitinya,” katanya yang ditemu ramah sempena Hari Bapa Sedunia yang jatuh pada 21 Jun.
Namun, perubahan mula berlaku apabila beliau menyertai bengkel kebapaan ‘iCAN Fathering Workshop’ beberapa tahun lalu anjuran Bapa Sepanjang Hayat (BSH), hasil daripada nasihat penyelianya yang menyedarkan beliau terhadap kesan emosi tingkah lakunya terhadap anak-anak.
Bengkel tersebut memperkasakan golongan bapa agar dapat mengenali semula peranan mereka, merenungkan jenis bapa yang diinginkan mereka, serta mengukuhkan ikatan kekeluargaan berharga yang dikongsi bersama anak-anak.
“Bengkel itu membuatkan saya benar-benar merenung semula jenis bapa yang saya ingin jadi, bukan sekadar penyedia di rumah, tetapi seseorang yang anak-anak rasa selamat untuk berkongsi dan berbual bersama.
“Melalui proses muhasabah mendalam, perbualan jujur dan bermakna, serta strategi keibubapaan yang praktikal, para bapa diberi peluang untuk membina semula hubungan, bimbingan, serta sokongan yang lebih kukuh dalam kehidupan anak-anak mereka,” kata jurutera eksekutif itu.
Perubahan yang dialami hasil penyertaannya dalam bengkel itu tidak berlaku secara serta-merta, namun dapat dilihat oleh keluarga beliau sendiri, dedah Encik Bramsha.
Daripada seorang yang mudah marah, beliau mula menjadi lebih sabar, lebih hadir dan lebih berhati-hati dalam tindak balasnya.
Bagi beliau, kesan program tersebut tidak berhenti pada dirinya sahaja.
Ia turut memberi kesan kepada keluarga, termasuk anak-anak yang kini melihat nilai dalam kerja kesukarelawanan beliau.
Sejak menyertai bengkel tersebut, beliau turut mula melibatkan diri sebagai sukarelawan bersama BSH, peranan yang diteruskannya sehingga kini selama hampir sembilan tahun.
Kini, beliau sendiri mengendalikan bengkel ‘iCAN Fathering Workshop’ di penjara sebanyak dua kali sebulan pada hujung minggu bersama BSH.
Pengalaman itu bukan sahaja mengubah cara beliau melihat peranan seorang bapa, malah memperkukuhkan komitmennya dalam kerja sukarelawan bersama BSH.
Encik Bramsha kini berperanan sebagai ketua sukarelawan BSH dan bertanggungjawab bekerjasama dengan institusi pendidikan, pertubuhan Melayu/Islam (MMO), serta pihak penjara.
Dalam peranannya, beliau turut bertindak sebagai penyelaras program, memberi sokongan kepada peserta, menggalakkan penglibatan aktif, serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat dan inklusif.
Antara pengalaman paling bermakna baginya ialah bekerja dengan banduan yang bergelar bapa di penjara, yang cuba membina semula hubungan dengan anak-anak mereka.
Beliau turut menyaksikan detik penuh emosi seperti pertemuan semula selepas 19 tahun antara seorang bapa yang dipenjara dengan anak perempuannya, serta kisah seorang isteri yang hampir bercerai tetapi mengubah keputusan selepas melihat perubahan sebenar suaminya.
Semua pengalaman itu menguatkan keyakinan beliau bahawa hubungan keluarga boleh dipulihkan dan perubahan ke arah positif boleh berlaku.
Ketika ditanya tentang cabaran yang dihadapi oleh para bapa masa kini pula, beliau berkata ramai berkongsi dengannya tentang tekanan kerja, kekangan masa, kesukaran berkomunikasi dengan anak remaja, serta kurangnya ruang untuk berkongsi emosi.
“Justeru, BSH memainkan peranan penting melalui bengkel, kumpulan sokongan bapa, serta program bimbingan untuk membantu bapa berkembang dalam perjalanan keibubapaan mereka,” tambahnya.
Encik Bramsha turut merakamkan penghargaan yang amat mendalam kepada Allahyarham Encik Eruandee Prayitna, pengasas bersama BSH dari 2016 hingga 2026 yang telah meninggal dunia pada 12 Februari.
“Allahyarham bukan sekadar seorang pemimpin, tetapi individu yang membina asas kuat kepada BSH dengan penuh rendah hati, kepercayaan dan kasih sayang.
“Beliau memberi ruang kepada sukarelawan untuk berkembang, mengambil inisiatif dan memimpin program walaupun masih di peringkat awal.
“Ramai bapa dan keluarga hari ini meraih manfaat daripada visi dan usaha Allahyarham,” kenang Encik Bramsha.
Encik Bramsha turut menyatakan Allahyarham dikenang sebagai seorang pemimpin yang tenang tetapi berpengaruh besar, sentiasa meletakkan kepentingan bapa dan keluarga sebagai keutamaan.
Walaupun beliau telah tiada, legasinya terus hidup melalui setiap bapa yang berubah, setiap keluarga yang kembali bersatu dan setiap anak yang kembali merasai kasih seorang ayah.
“Anak-anak tidak memerlukan kesempurnaan. Mereka memerlukan masa anda, perhatian, pengiktirafan, dorongan, dan kasih sayang.
“Bersedia untuk belajar, bertanya, mencari sokongan dan berkembang bersama anak-anak anda.
“Keibubapaan bukan satu destinasi, tetapi satu perjalanan sepanjang hayat,” akhiri beliau, yang turut mengajak para bapa untuk mengambil langkah pertama dalam melibatkan diri dengan kerja sukarelawan.
