Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Relawan Siglap hasilkan beg ‘tote’ untuk projek amal sokong warga emas

Beg tote akan dijual dengan harga $10 hingga $100; sasar kumpul $60,000 jelang akhir 2025
Feb 14, 2025 | 11:56 AM
Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman, melancarkan inisiatif ‘Our Tote-rific Community’ di Kelab Masyarakat Siglap pada 14 Februari.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman, melancarkan inisiatif ‘Our Tote-rific Community’ di Kelab Masyarakat Siglap pada 14 Februari. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA
Cik Siti Rahmah, 65 tahun, merupakan antara 100 sukarelawan tukang jahit dalam inisiatif ‘Our Tote-rific Community’.
Cik Siti Rahmah, 65 tahun, merupakan antara 100 sukarelawan tukang jahit dalam inisiatif ‘Our Tote-rific Community’. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Lebih 100 sukarelawan dari kawasan kejiranan Siglap berganding bahu bagi satu inisiatif baru dalam menyokong sekitar 60 penduduk berkeperluan khas di kawasan tersebut.

Inisiatif ‘Our Tote-rific Community’, dilancarkan secara rasmi oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman, di Kelab Masyarakat Siglap pada 14 Februari.

Dana akan dikumpul melalui penjualan beg tote dan dijual pada acara-acara kemasyarakatan di Siglap, dengan harga dari $10 hingga $100.

Projek ini menetapkan sasaran untuk mengumpul dana sebanyak $60,000 menjelang akhir 2025.

Setakat ini, jumlah sebanyak $41,000 telah dijana.

Bercakap kepada media selepas acara pelancaran tersebut, Dr Maliki berkata sekurang-kurangnya 60 peratus penduduk daerah itu merupakan warga emas.

Menurutnya, golongan ini memerlukan perhatian khusus dari masyarakat meluas.

“Walaupun kita telah mencapai kemajuan dalam menyokong kanak-kanak berkeperluan khas, kita juga harus beri sokongan kepada golongan warga emas yang mungkin hadapi kesulitan disebabkan usia, ketidakupayaan untuk bekerja, dan kesulitan menjana pendapatan.

“Sambil memperingati 60 tahun pembinaan negara (SG60), adalah tepat pada masanya kita merenung dan memberi perhatian kepada mereka yang masih memerlukan penjagaan dan sokongan dalam masyarakat kita,” ujar beliau.

Dr Maliki, turut menekankan kepentingan inisiatif seperti ini dalam menyatukan penduduk dengan aktiviti bermakna.

“Keamanan dan kestabilan yang kita ada di sini adalah sesuatu yang patut kita hargai.

“Inisiatif seperti ini menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan warga Singapura sambil memperingati 60 tahun pembinaan negara,” ujar Dr Maliki.

Antara mereka yang terlibat dalam inisiatif ini adalah Pengerusi Jawatankuasa Changi/Pulau Ubin, Cik Siti Rahmah, 65 tahun. Beliau telah berkhidmat sebagai sukarelawan di kawasan Siglap sejak 2009.

Baginya, khidmat sukarela merupakan salah satu cara menyumbang kepada masyarakat selepas beliau bersara daripada sektor perkhidmatan sosial dan kini menjadi suri rumah sepenuh masa.

Bersama sukarelawan lain, Cik Siti Rahmah, telah memulakan usaha menjahit beg-beg tote ini sejak awal Januari dan telah menghasilkan sebanyak 500 beg dalam masa 300 jam.

“Setiap beg yang kami hasilkan adalah bukti semangat dan dedikasi sukarelawan yang terlibat.

“Saya berharap orang ramai dapat menyumbang kepada inisiatif ini, sebagai satu tanda usaha kami beramai-ramai berhasil sambil melakukan amal baik untuk masyarakat,” ujar beliau.

Ini merupakan kali kedua kawasan Siglap mengadakan acara masyarakat sempena meraikan kemerdekaan negara ke-60 atau SG60, selepas inisiatif ‘Siglap Plate It Forward’ pada Januari lalu.

Inisiatif tersebut menyediakan subsidi makanan bulanan kepada warga emas bagi membantu meringankan beban kewangan sambil memupuk hubungan sosial dengan menggalak penduduk makan di luar serta melibatkan diri dengan masyarakat. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg