Selepas bertengkar dengan bapanya mengenai wang saku, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun telah menyerang bapanya dengan pisau dan menumbuk muka lelaki itu.
Lebih setahun kemudian, remaja itu mengugut pula bapa saudaranya sebelah ibu dengan pisau kerana enggan memberinya wang.
Pada 5 Januari, pesalah yang kini berusia 17 tahun itu diarah menjalani latihan pemulihan selama sekurang-kurangnya setahun.
Ini selepas dia mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan bagi setiap kesalahan serangan, ugutan jenayah, gangguan dan menipu melalui penyamaran.
Nama remaja itu tidak dapat didedahkan kerana perintah sekatan untuk melindungi identiti mangsa.
Remaja tersebut turut menggunakan kad pengenalan palsu untuk mencuba menuntut sebuah telefon bimbit dari sebuah kedai, berikutan iklan yang menjanjikan ‘duit cepat’, lapor The Straits Times (ST).
Semasa menjalani latihan pemulihan, pesalah remaja akan ditahan di sebuah pusat dan menjalani rutin ketat yang boleh merangkumi latihan fizikal dan kaunseling.
Menurut dokumen mahkamah, pesalah dan bapanya, 51 tahun, berada di sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada 14 Julai 2024, apabila mereka bertengkar mengenai jumlah wang saku.
Ketika bertengkar, remaja tersebut masuk ke biliknya, mengambil sebilah pisau karambit dan menyerang bapanya.
Pisau karambit adalah senjata tajam berbilah melengkung.
Lelaki itu sempat merampas pisau itu daripada anaknya, namun remaja itu kemudian menumbuk muka bapanya.
Pada 8 Mac 2025, kedua-duanya bertengkar mengenai penggunaan penyaman udara. Remaja itu kemudian mengambil pisau berbilah 23 sentimeter dari biliknya.
Dia memegang pisau tersebut, berdiri dekat dengan bapanya dan berdiam diri.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Vishnu Menon, berkata: “Tertuduh membuat tindakan yang menimbulkan ancaman itu supaya mangsa rasa takut.”
Pada 25 Oktober 2025, remaja itu, ketika tinggal bersama bapa saudaranya, meminta $30, tetapi ditolak.
Remaja itu kemudian mengambil sebilah pisau karambit daripada biliknya dan meletakkan senjata itu di leher bapa saudaranya, sambil bertanya sama ada lelaki itu “tahu beliau boleh dibunuh”.
ST sebelum ini melaporkan peningkatan dalam bilangan jenayah melibatkan pisau.
Terdapat 75 kejadian sebegini yang dilaporkan pada separuh pertama 2025, meningkat daripada 59 kejadian dalam tempoh yang sama pada 2024.
Bagi keseluruhan 2024, 131 kejadian melibatkan pisau telah direkodkan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg