Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun meninggal dunia pada Ahad selepas satu kebakaran berlaku di sebuah unit flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Yishun sehari sebelum itu.
Menurut akhbar The Straits Times, seorang jurucakap polis pada Ahad berkata remaja itu tidak sedarkan diri apabila dibawa ke Hospital Khoo Teck Puat (KTPH).
Dia kemudian meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami. Kebakaran berlaku di Blok 783 Yishun Ring Road.
Dalam satu catatan Facebook pada Sabtu, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata pihaknya menemui remaja itu tidak sedarkan diri dalam unit tingkat 12 itu yang diselaputi asap.
Dia kemudian diangkat keluar daripada unit tersebut oleh para pegawai bomba dan dibawa ke tingkat pertama.
Kakitangan perkhidmatan kecemasan SCDF melakukan Bantuan Pernafasan Kecemasan (CPR) dan membawanya ke hospital.
SCDF berkata ia diberitahu tentang kebakaran itu pada 8.55 malam pada Sabtu.
Sejurus tiba, api dikatakan marak dalam unit tersebut dan para pegawai bomba terpaksa memecah masuk unit itu.
Kebakaran menjejas kandungan dalam bilik tidur dan dipadamkan oleh SCDF dengan jet air.
Sekitar 50 orang daripada unit berdekatan telah juga dipindahkan.
Siasatan polis sedang berjalan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg