Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang didakwa menceroboh landasan kereta api antara stesen MRT Simei dengan Tanah Merah telah didakwa pada 3 Julai.
Remaja itu berdepan satu tuduhan membahayakan keselamatan penumpang dengan sengaja dan satu lagi tuduhan melakukan pencerobohan jenayah.
Identiti remaja itu tidak boleh didedahkan kerana dia berusia 16 tahun ketika didakwa melakukan kesalahan tersebut pada Mac.
Individu di bawah umur 18 tahun dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (CYPA), lapor The Straits Times (ST).
Remaja itu hadir di mahkamah melalui pautan video dan pihak pendakwaan berjaya memohon agar dia ditahan reman di Institut Kesihatan Mental (IMH) untuk penilaian psikiatri.
Hakim Daerah Brenda Tan bertanya sama ada ibu bapa remaja itu hadir di mahkamah.
Soalan itu kemudian diajukan kepada mereka yang berada di galeri mahkamah, namun beliau tidak mendapat sebarang respons.
Hakim kemudian bertanya sama ada ibu bapanya telah dimaklumkan mengenai pertuduhan tersebut dan remaja itu menjawab bahawa dia telah menghubungi mereka.
Menurut kertas pertuduhan, remaja itu didakwa melakukan pencerobohan jenayah pada 27 Mac sekitar 8.15 malam, dengan memanjat sebuah perancah di Upper Changi Road untuk memasuki landasan kereta api semasa waktu operasi.
Pada awal Jun, SMRT berkata ia telah membuat laporan polis selepas rakaman video yang dipercayai diambil dari landasan MRT telah dimuat naik di media sosial.
Video tersebut dirakam dalam keadaan pencahayaan malap dan menunjukkan sebuah kereta api sedang melalui landasan berdekatan.
Individu yang merakam video itu kemudian dilihat bergerak lebih dekat ke arah kereta api itu sebelum melintasi landasan.
Remaja itu turut didakwa kerana dengan sengaja membahayakan keselamatan penumpang yang menggunakan perkhidmatan kereta api melalui perbuatan menceroboh ke atas landasan semasa perkhidmatan itu sedang beroperasi.
Kesnya telah ditangguhkan ke 17 Julai.
Mereka yang disabitkan kesalahan melakukan pencerobohan jenayah boleh dipenjara sehingga tiga bulan, didenda sehingga $1,500, atau kedua-duanya sekali.
Mereka yang sengaja melakukan perbuatan yang membahayakan keselamatan penumpang di sepanjang landasan kereta api boleh dipenjara sehingga lima tahun, didenda sehingga $10,000, atau kedua-duanya sekali.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg