Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Remaja didakwa miliki vape berisi bahan berkaitan kanabis

Sep 3, 2025 | 5:50 PM
vape, kanabis
Dokumen mahkamah menyatakan kedua-dua remaja tersebut berada berhampiran Blok 94, Lorong 4 Toa Payoh, sekitar 5 petang pada 18 Februari apabila mereka dikatakan mengedar beberapa jenis dadah. - Foto ST

Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dihadapkan ke mahkamah daerah pada 3 September selepas dikatakan memiliki alat rokok elektronik (e-rokok) atau vape yang mengandungi bahan berkaitan kanabis pada 18 Februari.

Remaja tersebut dan seorang lagi remaja lelaki, yang juga berusia 17 tahun ketika itu, turut dituduh bekerjasama pada hari tersebut untuk mengedar dadah termasuk methamphetamine dan kanabis.

Remaja kedua tersebut kini berusia 18 tahun.

Kedua-dua remaja warga Singapura itu tidak boleh dinamakan kerana individu yang dikatakan terlibat dalam satu kesalahan sebelum mencapai usia 18 tahun dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (CYPA), lapor The Straits Times (ST).

Pada 3 September, remaja lelaki lebih muda itu dikenakan tujuh pertuduhan – berkaitan vape dan beberapa pertuduhan pengedaran dadah.

Dokumen mahkamah menyatakan kedua-dua remaja tersebut berada berhampiran Blok 94, Lorong 4 Toa Payoh, kira-kira 5 petang pada 18 Februari apabila mereka dikatakan mengedar beberapa jenis dadah.

Antara lain, mereka dituduh memiliki dua paket yang kemudian didapati mengandungi hampir 26.3 gram methamphetamine.

Kedua-dua mereka turut dikatakan memiliki 25 paket ‘bahan sayuran’, yang mengandungi lebih 31 gram kanabis.

Secara berasingan, remaja lebih muda tersebut berada di sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Jurong West sekitar empat jam kemudian, apabila dia dikatakan memiliki alat vape berisi bahan berkaitan kanabis.

Dia dijangka mengaku bersalah pada 13 Oktober, manakala kes remaja lebih tua itu akan disebut semula di mahkamah pada 8 September.

Dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan pada 17 Ogos, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata pemerintah akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap penggunaan vape dan menganggapnya sebagai isu dadah, dengan hukuman lebih berat akan dikenakan.

Mulai 1 September, individu yang ditangkap memiliki, menggunakan atau membeli vape akan menghadapi hukuman lebih berat.

Pengguna berulang mungkin dikehendaki menjalani pemulihan.

Pengguna vape akan dikenakan denda lebih tinggi, iaitu $500 bagi individu di bawah 18 tahun; dan $700 bagi orang dewasa, naik daripada $300 dan $500 sebelum ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg