Sebagai seorang pelajar kesenian, Cik Lea (bukan nama sebenar) amat meminati seni lukisan Jepun dan terpesona dengan tatu sebagai salah satu wadah seni untuk berkarya.
Lukisan Jepun terkenal, ‘The Great Wave off Kanagawa’ oleh Katsushika Hokusai, menjadi sumber ilham Cik Lea, dan ia adalah salah satu tatu yang dilukisnya sendiri di lengan ketika berusia 20-an tahun, menggunakan mesin tatu yang dibelinya daripada Shopee dengan harga tidak lebih daripada $80.
“Pada masa itu, saya rasa membuat tatu di kedai profesional amat mahal dan saya ingin mencuba membuatnya sendiri.
“Jadi saya mendapatkan mesin pembuat tatu itu yang lengkap dengan jarum dan dakwatnya,” terang Cik Lea kepada wartawan Berita Minggu (BM).
Kini berusia 31 tahun dan bekerja sebagai pereka grafik, Cik Lea berkongsi bahawa harga membuat tatu di kedai profesional boleh mencecah $100 ke atas, bergantung kepada saiz dan coraknya.
“Mesin tatu itu amat mudah untuk didapati di dalam talian. Sesiapa saja boleh membelinya,” tambahnya sambil menceritakan betapa mudah untuk mendapatkan alat tersebut.
Untuk melatih membuat lukisan tatu, pereka seni tatu selalunya berlatih pada kulit babi sebelum membuat tatu di kulit manusia, kongsi Cik Lea mengenai kajiannya dalam seni tatu.
“Bayangkan bagaimana saya ingin mendapatkan kulit babi atau membawanya pulang, jadi saya cuba pada diri sendiri.”
Cik Lea mengaku membuat tatu pada dirinya sendiri mudah tetapi pada bahagian sensitif seperti jari-jemari agak menyakitkan.
“Saya di rumah seorang diri ketika membuat tatu itu. Ada kalanya, bila warna pada lukisan tidak cukup gelap, saya mengulanginya lagi untuk mendapatkan warna yang lebih ketara.
“Ada juga kawan-kawan saya yang meminta saya membuatkan tatu untuk mereka, tetapi saya tidak berani membuatnya pada orang lain,” jelas Cik Lea.
Selama beberapa tahun, Cik Lea cuba menyembunyikan tatu-tatunya daripada penglihatan keluarga.
“Saya akan memakai baju lengan panjang atau berhati-hati apabila duduk berdepan dengan mereka dan posisikan lengan saya supaya tatu tidak terlihat.”
Jika ditanya, beliau akan berkata tatu itu adalah sementara dan mudah pudar dengan sendirinya.
Namun, pada suatu hari, beliau membuat keputusan untuk berterus-terang kepada ibunya.
“Susah betul hendak sembunyikan tatu daripada ibu saya.
“Namun apabila saya memberitahunya, saya tahu beliau sangat kecewa, tetapi beliau cuma beri nasihat agar saya tidak membuatnya lagi.
“Pada usia semuda itu, saya tidak terfikir tentang dosa. Saya hanya berfikir, nanti boleh taubat lah,” kata Cik Lea sambil tersenyum.
Lebih 10 tahun telah berlalu dan Cik Lea kini sudah dewasa serta berumah tangga.
“Saya membuat tatu ini semasa saya muda, saya tidak menyesali perbuatan saya dulu, tetapi saya tidak akan mengulanginya lagi,” katanya.
Apabila ditanya sama ada beliau akan membuang tatu-tatunya dengan adanya kemudahan untuk berbuat demikian, beliau berkata:
“Saya pernah melihat teman saya sendiri yang membuang tatu nama teman lelakinya yang sudah tidak lagi bersamanya.
“Proses itu sangat sulit dan panjang dan saya melihat sendiri betapa peritnya untuk membuang tatu, jadi saya berkeberatan untuk melaluinya buat masa ini.”
“
“Pada masa itu, saya rasa membuat tatu di kedai profesional amat mahal dan saya ingin mencuba membuatnya sendiri. Jadi saya mendapatkan mesin pembuat tatu itu yang lengkap dengan jarum dan dakwatnya.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg