Makan mana hari ini?
Soalan ini bukan sahaja dalam kalangan individu, tetapi juga sering menjadi ‘perkara utama’ yang timbul apabila berjalan bersama sekumpulan rakan — satu dilema kecil yang mungkin dapat dikaitkan ramai orang.
Bagi Muhammad Arish Dani Muhammad Nazrie, 17 tahun, dan rakan-rakan sebayanya, mencari sajian yang dapat menepati cita rasa beliau dan rakan-rakannya bukan sekadar mengenai mengenyangkan perut, tetapi juga satu usaha untuk menyokong sajian setempat serta terutamanya perniagaan kecil di Singapura.
Penuntut tahun pertama Institusi Raffles berkata:
“Sebelum ini, saya telah terlibat dalam pelbagai acara di sekolah dan mahu mencuba sesuatu yang baru seperti Young Founders Summit (YFS). Ini kerana keusahawanan memberi saya peluang untuk mengubah visi kepada tindakan.”
Bersama beberapa rakannya, anak bongsu dua beradik itu kemudian mengambil keputusan untuk menghasilkan satu aplikasi yang mampu memberi saranan tentang tempat makan yang sesuai.
Aplikasi itu bertindak berdasarkan beberapa pilihan di daerah terdekat atau yang diingini pengguna dan jenis pilihan makanan mereka – yang menunjukkan tempat makan setempat.
Diberi nama Cravinz, aplikasi tersebut masih di peringkat percubaan.
Anggota lain kumpulannya itu terdiri daripada Nadya Vitalyevna Zagorodnova 17 tahun dari Singapura, Kairi Mohamed 17 tahun dari Jepun, Ian Vergara 20 tahun dari Filipina dan Ly Sing Cheng 17 tahun dari Kemboja.
Aplikasi tersebut merupakan ciptaan kumpulannya yang menyertai satu program yang diberi nama Puncak Pengasas Muda (YFS) yang berlangsung dari 16 Disember 2024 hingga Jun ini.
Menurut kenyataan media YFS, program itu merupakan satu platform pendidikan keusahawanan untuk belia usia 15 hingga 20 tahun, dan disokong oleh Majlis Belia Kebangsaan Singapura (NYC).
Misi utamanya adalah untuk membentuk pemikiran keusahawanan dan kemahiran untuk Generasi Z.
Menerangkan lebih lanjut mengenai aplikasi mereka itu, Arish Dani berkata:
“Seperti contoh, mungkin mereka yang berjalan secara berkumpulan hadapi masalah pilih tempat makan bagi memenuhi cita rasa semua rakan mereka itu.
“Justeru menerusi aplikasi ini, mungkin anda dapat penuhi cita rasa semua anggota kumpulan anda, dengan lebih tepat.”
Menurut Arish, kumpulan mereka menghabiskan tempoh selama enam bulan untuk menghasilkan aplikasi tersebut – bermula daripada tempoh mencetuskan idea, mencuba aplikasi tersebut, membuat penyesuaian sebelum akhirnya terlahir aplikasi tersebut.
Menariknya aplikasi tersebut juga mempunyai reviu daripada orang ramai mengenai tempat makan yang dilawati.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg