LONDON: Manchester United mungkin terlepas pandang apabila membenarkan bintang muda, Angel Gomes, meninggalkan kelab itu.
Gomes, 24 tahun, pemain midfield berbakat besar yang dibimbing dalam akademi United, dilepaskan untuk beraksi dalam liga Perancis, kini bakal menyertai Marseille, yang akan beraksi dalam Liga Juara-Juara, musim panas ini.
Dalam satu temu bual eksklusif bersama BBC Sport, Gomes mendedahkan bahawa tekanan menyarung jersi United mungkin telah mempengaruhi sesetengah pemain.
Namun, beliau menolak ia sebagai faktor penentu mengapa ramai memilih untuk meneruskan kerjaya di tempat lain.
Gomes, yang kini dipanggil untuk mewakili pasukan England, adalah antara pemain yang memilih jalan lain untuk mengembangkan kerjaya bola sepaknya.
Setelah menyertai United pada usia enam tahun, Gomes mempamerkan kemampuannya di peringkat junior dan dianggap sebagai salah seorang bakat muda paling menyerlah dalam bola sepak England.
Apabila beliau membuat penampilan sulung di peringkat senior – menggantikan Wayne Rooney, sebagai pemain gantian pada usia 16 tahun 263 hari – beliau menjadi pemain termuda mewakili Manchester United sejak Duncan Edwards pada 1953.
Sejak itu, skrip kejayaan Gomes seakan sudah tertulis.
Jangkaan terhadapnya sangat tinggi.
Namun selepas lapan tahun, Gomes memilih laluan berbeza, selepas hanya membuat lima penampilan sebagai pemain gantian dalam Liga Perdana England sebelum berpindah ke Lille pada musim panas 2020.
Dalam wawancara bersama, BBC Sport, Gomes bercakap, antara lain, mengenai pengalamannya dibimbing di United, dan mengapa beliau serta beberapa pemain lain memilih meninggalkan Old Trafford.
“Dari saat anda melangkah ke tempat itu, jurulatih akan memberitahu tentang sejarah kelab,” kata Gomes sambil merenung kembali masanya di United.
“The Busby Babes. Mereka menunjukkan gambar George Best dan Bobby Charlton. Budaya di United dibentuk sejak awal.
“Anda tahu segala-galanya tentang kelab dan apakah yang diwakilinya. Ia adalah sesuatu yang anda bawa bersama dalam diri anda.”
Ingatan Gomes terhadap United sangat jelas.
Beliau berkongsi tentang ‘dasar but hitam’ – peraturan dalam akademi yang melarang pemain memakai but berwarna-warni.
“Anda akan bermain menentang pasukan lain dan mereka memakai but berwarna-warni yang anda juga mahu pakai, kerana idola anda memakainya.
“Tetapi apabila difikirkan semula, ia langkah yang bijak kerana mereka mahu semua orang berada pada tahap yang sama,” kata Gomes.
Gomes dikelilingi rakan-rakan berbakat selama bertahun-tahun dalam sistem remaja, dengan Marcus Rashford, Mason Greenwood, Scott McTominay dan Brandon Williams, antara nama-nama yang bermain bersamanya.
Nasihat yang berguna juga sentiasa tersedia.
Bapanya, Gil, ialah bekas pemain bola sepak yang membuat 19 penampilan bersama Portugal Bawah-21.
Kemudian ada bapa angkatnya, Nani – pemenang lapan trofi utama bersama United.
“Ketika membesar, saya sentiasa mendapat sokongan daripada keluarga.
“Tetapi apabila saya berbual dengan Nani dan Ayah, ia berbeza kerana saya tahu mereka pernah melalui perjalanan itu,” kata Gomes.
“Melawat rumah Nani, melihat cara hidupnya, bagaimana beliau berinteraksi dengan orang, dan sikapnya di luar padang – apabila saya kenang semula, saya sedar banyak yang saya pelajari daripadanya.”
Ketika Gomes semakin hampir ke pasukan utama, tekanan semakin meningkat.
Latihan bersama skuad utama United terkenal dengan intensiti, kejujuran dan kekuatan fizikal.
“Saya berusia 16 tahun dan berlatih bersama pemain seperti, Rooney, (Michael) Carrick, (Juan) Mata dan Ander Herrera,” ujar Gomes.
“Saya biasa bermain (permainan elektronik) Fifa (Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa) bersama mereka. Kini saya berada di sebelah mereka – ia satu pengalaman nyata. Sukar untuk menyesuaikan diri dan memahami bahawa anda kini sebahagian daripada pasukan.”
“Saya masih ingat ketika di akademi, kami sering mendengar: jika Michael Carrick menghantar bola ke arah anda, adakah anda mampu mengawalnya?” tambah beliau.
Kehidupan sebagai pemain United rata-rata tidak mudah.
Banyak yang berkisar mengenai ‘tekanan menyarung jersi’ pasukan.
McTominay, misalnya, mengalami nasib tidak menentu di United – kadangkala diturunkan dalam skuad utama, ada kalanya tidak – sebelum berpindah ke Napoli pada 2024.
Setahun kemudian, pemain Scotland itu menjadi wira di Naples – membantu pasukan jurulatih, Antonio Conte, memenangi kejuaraan Serie A dan membina reputasi sebagai salah seorang pemain tengah terbaik di Italy. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg