Satu lagi kedai makan menjadi sasaran pesanan pukal besar dan ini mengakibatkan jumlah kes pesanan palsu yang dilaporkan dalam tempoh lebih seminggu meningkat kepada enam.
Kes terbaru membabitkan restoran Hapiha Mediterranean Taverna, yang terletak berhampiran Holland Road, melibatkan seorang individu menyamar sebagai seseorang dari Sekolah Perempuan Cina Singapura.
Pemilik bersama Hapiha, yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Ali, berkata seorang lelaki menghubungi restoran tersebut pada 10 September sekitar 3.45 petang, mendakwa dirinya dari Sekolah Perempuan Cina Singapura dan “sektor pendidikan”.
Pemanggil tersebut ingin membuat tempahan di restoran itu, yang menghidangkan makanan tidak halal, antara 3 petang dengan 6 petang untuk 30 orang setiap hari dari 12 hingga 14 September, kata Cik Ali.
Nilai tempahan tersebut, termasuk kos operasi, adalah lebih $3,000, katanya.
“(Pemanggil tersebut) memberitahu kami dia pernah datang ke restoran kami sebelum ini.
“Seolah-olah dia cukup kenal dengan restoran ini,” tambahnya.
Restoran tersebut, yang telah beroperasi selama dua tahun di kondominium Ridgewood Close, di kawasan Mount Sinai, boleh memuatkan sehingga 30 orang, lapor The Straits Times (ST).
Menerima tempahan tersebut bermakna restoran tersebut perlu ditutup selama tiga jam pada ketiga-tiga hari itu, kata Cik Ali.
Beliau berkata perniagaan agak perlahan pada tempoh ini, “jadi mana-mana restoran pasti gembira dengan tempahan besar sebegini”.
“(Sebuah restoran) tidak akan menyusahkan pelanggan dengan bertanya terlalu banyak soalan, terutama apabila mereka membuat tempahan besar,” tambah Cik Ali.
Semasa panggilan awal, pemanggil tersebut bercakap dalam bahasa Mandarin.
Namun, memandangkan Cik Ali tidak fasih berbahasa Mandarin, beliau memintanya menghantar mesej teks kepadanya, supaya beliau boleh menterjemah mesej tersebut ke dalam bahasa Inggeris.
Namun, tanda-tanda mencurigakan mula muncul.
“Dia kemudian meminta saya membeli tilam bagi pihaknya untuk satu (acara) mengumpul dana bagi rumah warga emas dan berjanji akan membayar semula harga (tilam) bersama deposit (tempahan restoran).
“Saya rasa sangat pelik apabila dia meminta sebuah restoran membelikan tilam untuknya,” kata Cik Ali.
Restoran tersebut berasa curiga dan membatalkan tempahan itu.
Walaupun ia tidak mengalami kerugian kewangan, restoran tersebut kehilangan masa merancang menu, memeriksa stok, selain terpaksa menolak tempahan lain, kata Cik Ali.
Menjawab pertanyaan media, Pengetua Sekolah Perempuan Cina Singapura, Cik Linda Chan, berkata pihaknya sedar tentang kes penyamaran melibatkan individu yang mendakwa membuat pembelian bagi pihak sekolah itu dan telah membuat laporan polis.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg