Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), Kementerian Tenaga Manusia (MOM), dan dua agensi di bawah Pejabat Perdana Menteri – Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF) – pada 16 September membentangkan adendum (kenyataan tambahan) mereka yang berkongsi rancangan bagi rakyat dan perniagaan merebut peluang baru dan kekal berdaya saing secara global. Berikut tujuh perkara utama dalam adendum mereka.
Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) akan terus merebut peluang dalam bidang pertumbuhan baru, seperti ekonomi hijau dan digital, di samping memperkukuh perkilangan maju dengan memanfaatkan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), robotik dan bioteknologi.
Dalam usaha menggalak inovasi dan memperkenalkan produk serta perkhidmatan baru dalam pasaran dengan lebih pantas, pelaburan dalam pengembangan dan pembangunan (R&D) akan diteruskan.
MTI juga akan memperdalam hubungan dengan ekonomi utama sebagai sebahagian langkah menangani ketidaktentuan global dan membuka peluang baru bagi syarikat Singapura.
Ia juga akan terus memperdalam penyepaduan ekonomi serantau dalam Asean, dan memperkukuh kerjasama Asean dengan ekonomi utama dan blok ekonomi lain seperti Kesatuan Eropah (EU) dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Selain itu, hubungan perdagangan dengan pasaran baru, seperti Amerika Latin, Asia Selatan, Timur Tengah dan Afrika, akan diperluas, termasuk dalam perjanjian ekonomi digital dan hijau.
Singapura juga akan terus bekerjasama dengan rakan berfikiran serupa untuk menyokong sistem perdagangan berasaskan peraturan dan pembaharuan di Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO).
MAS pula akan terus kekal berwaspada terhadap kesan perkembangan global ke atas pertumbuhan dan inflasi, serta memastikan respons dasar kewangan yang tepat pada masanya dan sesuai jika keadaan ekonomi kitaran menjadi lemah secara tidak dijangka dalam tempoh ini.
MOM akan menyokong kecelikan dan penggunaan AI merentas tenaga kerja melalui Semakan Strategi Ekonomi dan Strategi AI Nasional.
Ia juga akan memacu inisiatif Kesihatan Kerjaya SG, sebagai sebahagian daripada gerakan SkillsFuture, untuk membantu rakyat Singapura mengharungi pasaran pekerjaan yang pesat berubah.
Perikatan untuk Bertindak (AfA) dalam Memajukan Khidmat Kerjaya dan Pekerjaan juga telah dilancarkan untuk membangunkan bersama huraian inovatif dengan sektor swasta.
MTI pula akan bekerjasama dengan syarikat, kesatuan, persatuan perdagangan dan dewan perniagaan, serta MOM dan Kementerian Pendidikan (MOE) untuk melengkapi rakyat dengan kemahiran masa depan dan relevan dengan industri.
Kementerian itu juga akan mempermudahkan peralihan kerjaya ke sektor pertumbuhan.
MTI akan mengembangkan kumpulan Perusahaan Global Singapura dengan membantu perusahaan setempat menebarkan sayap ke luar negara dan berkembang menjadi pemimpin rantau atau global.
Firma juga akan dibantu dalam peralihan ke ekonomi rendah karbon, sementara melindungi keselamatan tenaga dan mengekalkan daya saing.
MOM pula akan menyokong perniagaan membina bakat dalam tiga cara – mengambil pekerja dengan mengutamakan kemahiran; mewujudkan peluang pembangunan dan kemaraan kerjaya dalam firma untuk kekalkan bakat; dan mempertingkat kerjaya sumber manusia.
Dalam usaha ini, kementerian itu telah melancarkan Kumpulan Kerja Tiga Pihak mengenai Pembangunan Keupayaan Modal Insan dan memperkenalkan Pakej Transformasi Tenaga Kerja Perusahaan.
Rakyat Singapura yang ingin mendapatkan pendedahan global bagi pembangunan profesional dan kepimpinan masa depan juga disokong melalui program seperti Program Penyerapan Pasaran Luar Negara.
Di samping itu, MOM akan memperhalusi dasar tenaga kerja asing supaya perniagaan boleh membawa masuk bakat yang melengkapkan teras Singapura, dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan dan peluang untuk rakyat.
Dengan rakyat Singapura dijangka hidup lebih lama, kerjaya mereka juga dijangka meliputi berbilang peringkat.
Kumpulan Kerja Tiga Pihak mengenai Pekerjaan Warga Senja akan membayangkan semula cara memacu panjang umur kerjaya, mendekati rakyat mengenai aspirasi mereka, dan bekerjasama dengan majikan untuk mewujudkan bersama pekerjaan mesra usia dan huraian tempat kerja berbilang generasi yang inovatif.
Sistem Tabung Simpanan Pekerja (CPF) juga akan terus diperkukuh, termasuk meningkatkan Jumlah Persaraan Asas (BRS) bagi kohort masa depan untuk bantu rakyat simpan lebih banyak wang bagi persaraan.
Mereka yang tidak dapat mengetepikan simpanan yang mencukupi akan dibantu melalui skim seperti Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS), Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan (MRSS), dan Skim Ihsan Senja.
MOM akan meningkatkan standard bagi pertumbuhan terangkum melalui Akta Keadilan di Tempat Kerja untuk memastikan pekerja dan pencari kerja menerima layanan adil.
Antara lain, Akta Pekerjaan akan dikemaskini supaya terdapat perlindungan yang mencukupi bagi golongan pekerja yang berbeza, untuk mengikuti trend tempat kerja dan teknologi baru, sambil memperkemas pematuhan untuk perniagaan.
Sementara itu, pekerja bergaji rendah pula boleh menerima peningkatan gaji di bawah Model Gaji Progresif dan lebih banyak sokongan untuk mempertingkat kemahiran melalui Sokongan Kemahiran Daya Kerja.
MAS akan terus bekerjasama dengan industri kewangan dan agensi pemerintah untuk melindungi sistem kewangan negara ini daripada kegiatan haram, termasuk penipuan.
Ia juga akan terus memperdalam keupayaan dalam kelas aset utama, seperti perbankan, pertukaran asing, insurans, pengurusan aset dan kekayaan, serta pembayaran, dengan kerjasama institusi kewangan.
Antara lain, ia akan menyokong pembangunan keupayaan AI dalam khidmat kewangan melalui Skim Geran Teknologi dan Inovasi Sektor Kewangan dan program Pathfinder.
NRF berkata RIE 2025 telah menunjukkan kemajuan baik, dengan mutu bakat dan penyelidikan terus meningkat – hasil Field-Weighted Citation Impact (satu ukuran bagi mutu penyelidikan) untuk Singapura tumbuh daripada 1.47 pada 2014 kepada 1.74 pada 2024, iaitu 74 peratus melebihi purata global.
Dalam usaha terus membina di atas kejayaan ini, Singapura akan mengekalkan keupayaan penyelidikan asas, bakat dan infrastruktur pada tahap terkini dalam RIE2030.
Selain itu, program R&D silang seperti RIE Flagships dan RIE Grand Challenges akan dimulakan untuk memacu hasil lebih kukuh dalam bidang ekonomi utama dan keutamaan negara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg