Restoran nasi padang Mihrimah baru mengumumkan penutupan tetap yang berkuatkuasa pada 16 Disember dan tidak lagi beroperasi di lokasinya di 742 North Bridge Road.
Menurut catatan di akaun Instagram (IG) and Facebook (FB) pada 14 Disember, restoran itu sudah beroperasi sejak lapan tahun lalu. Hantaran video menunjukkan hari terakhir (15 Disember) restoran itu juga dikongsi di akaun FB dan IG mereka.
Pengurus restoran itu Encik Abdul Muiin Mohamed Johan yang pernah bercakap dengan wartawan Berita Harian (BH) pada 16 September lalu berkenaan kaitan restoran itu dengan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holding tidak dapat dihubungi semasa laporan ini dibuat.
Menurut laporan itu, laman rasmi GISB menyenaraikan Restoran Mihrimah sebagai salah satu cawangannya di seluruh dunia, namun Restoran Mihrimah mengeluarkan kenyataan media pada 15 September mendakwa GISB tidak mempunyai sebarang hubungan perniagaan secara langsung dengan restoran itu, selain sebagai penasihat niaga sahaja.
Memetik laporan itu, Encik Abdul Muiin mendakwa tidak melihat sebarang kesan ketara pada hasil jualannya walaupun ada desakan masyarakat di sini agar perniagaannya diboikot, meskipun beliau agak khuatir tentang reputasi restorannya selepas kes itu menjadi perbualan ramai berikutan kes penderaan kanak-kanak yang sedang disiasat di Malaysia.
Berdasarkan semakan BH di laman Acra, restoran itu adalah milik dua warga Singapura, Cik Kamaliah Ismail dan Cik Rodzanah Tolha sejak 23 Mac 2016.
Wartawan BH telah melawat rumah Cik Rodzanah pada 17 September lalu tetapi beliau enggan memberi sebarang komen atau bercakap dengan wartawan.
Sewaktu lawatan terkini ke restoran itu pada 20 Disember, restoran itu sudah ditutup sepenuhnya dan tidak ada seorang pun pekerja kelihatan. Kerosakan boleh dilihat pada persekitaran restoran itu, dan sebuah kontena mengumpul sampah diletakkan di tepi restoran berhadapan dengan Masjid Sultan.
Beberapa kedai sederetnya juga telah tutup. Seorang pekerja yang tidak mahu dikenali dari sebuah restoran yang berdepan dengan restoran nasi padang itu berkata beliau tidak tahu menahu tentang penutupan tersebut.
Meskipun restoran itu sudah ditutup, status entiti restoran itu masih hidup, menurut semakan BH dari laman Bizfile.
Restoran Mihrimah turut memberi penghargaan buat pelanggan setia mereka dalam catatan itu.
“Kami telah meraih banyak kenangan indah bersama anda, dan kami benar-benar akan rindu menjadi sebahagian daripada komuniti ini.
Terima kasih kerana memilih kami, kerana berkongsi detik anda dengan kami, dan kerana menjadi sebahagian penting dalam perjalanan kami.”
Seorang pengguna IG @chiongzee meninggalkan komen dan berkata:
“Tolong beritahu bila anda akan buka lagi, saya pelanggan tetap anda selama lapan tahun. Sekarang saya tidak tahu di mana saya akan makan pagi lagi.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg