MFA: Bawa pulang rakyat Spura dari Timur Tengah perlu kerjasama pelbagai pihak
MFA: Bawa pulang rakyat Spura dari Timur Tengah perlu kerjasama pelbagai pihak
Penting bagi rakyat Singapura untuk sedar akan risiko dalam proses penerbangan penghantaran pulang dari Timur Tengah, susulan serangan pada 28 Februari, kata Pegawai Konsular Kementerian Ehwal Luar (MFA), Encik Farhan Hamid.
Jelas beliau, ia tidak semudah “membeli tiket dan menghantar pesawat ke sana”, sebaliknya ia memerlukan kerjasama syarikat penerbangan dan penilaian risiko mereka terhadap keselamatan pesawat untuk berlepas, di samping memastikan keselamatan kru penerbangan.
“Saya lihat di media sosial ramai yang bertanya mengapa kita perlu membuat tinjauan, mengapa kita tidak hantar sahaja pesawat?
“Ia tidak semudah membuat keputusan, membeli tiket dan menghantar pesawat ke sana. Kita perlu memastikan rakyat Singapura sedar akan risiko yang terlibat.
“Selain itu, kami juga bekerjasama dengan syarikat penerbangan dan penilaian risiko mereka terhadap tahap keselamatan pesawat untuk terbang ke sana kerana keselamatan kru kabin juga amat penting,” ujar Encik Farhan.
Perkara itu dinyatakan oleh Encik Farhan dalam satu wawancara yang dikongsi bersama pihak media pada 9 Mac.
Awal sebelumnya pada 3 Mac, MFA dan misi luar negaranya di Timur Tengah memaklumkan mereka sedang meninjau minat rakyat Singapura untuk bantuan pulang dari rantau tersebut berikutan penutupan lapangan terbang yang berterusan.
Beberapa laluan yang sedang dipertimbangkan termasuk Dubai ke Muscat, Abu Dhabi ke Muscat, Doha ke Riyadh/Jeddah, dan Amman ke Jeddah.
Kos pengangkutan darat, tiket penerbangan, dokumen perjalanan, visa dan penginapan sementara, ditanggung oleh penumpang.
Sementara itu, oleh kerana panggilan meminta bantuan untuk meninggalkan rantau itu sangat tinggi, tambah Encik Farhan, MFA telah meningkatkan tenaga kerja bagi menyokong pusat respons konsularnya.
Beliau berkata, apabila serangan bersama Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran bermula, lebih 100 panggilan diterima sepanjang syif kerja lapan jam.
Justeru, pasukan pengendali talian hotline yang dahulunya sebesar dua orang, kini telah ditambah tenaga kerja daripada pegawai tunggu sedia agar dapat memberi bimbingan kepada rakyat Singapura.
Encik Farhan turut menjelaskan segelintir rakyat Singapura berjaya keluar dari Timur Tengah secara komersial, namun masih ramai berdepan dengan pembatalan penerbangan berulang kali.
“Permintaan adalah tinggi dan oleh itu, banyak pemerintah dan entiti swasta sedang cuba untuk menyewa penerbangan sewa khas ketika ini.
“Sudah tentu terdapat banyak kelulusan yang diperlukan. Kami perlu bekerjasama dengan kerajaan Oman yang telah menyegerakan kelulusan permit kami,” tambah beliau.
Encik Farhan berkata penerbangan penghantaran pulang dua kumpulan warga Singapura dari Muscat, Oman pada 7 dan 8 Mac adalah hasil kerja keras selama beberapa hari oleh pasukan MFA dan misi luar negaranya di Timur Tengah.
Berita Harian (BH) melaporkan seramai 152 rakyat Singapura termasuk ahli keluarga mereka selamat tiba di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi sekitar 9.20 malam menerusi pesawat Singapore Airlines SQ8001 pada 7 Mac.
Kumpulan kedua seramai 167 rakyat Singapura termasuk ahli keluarga mereka pula selamat tiba pada 8 Mac menaiki pesawat Singapore Airlines SQ8001.

