Suasana di sekitar kawasan Kampong Gelam penuh meriah pada petang 25 April dengan pelbagai persembahan budaya ketika menyambut kedatangan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, ke Taman Warisan Melayu (TWM) bagi upacara pembukaan semulanya.

Encik Wong diarak dari Bussorah Street ke pintu masuk TWM di Sultan Gate, diiringi paluan kompang selama sekitar 15 minit tanpa henti.

Turut dipersembahkan dalam acara Perarakan Pecah Panggung itu, yang bermula dengan tiupan alat muzik tetuang, ialah tarian kuda kepang, kereta tolak yang memaparkan pelbagai suku kaum Melayu di Singapura dan bermacam lagi.

Perarakan Pecah Panggung antara lain menampilkan penari kuda kepang yang lengkap dengan kostum persembahan mereka.
Perarakan Pecah Panggung antara lain menampilkan penari kuda kepang yang lengkap dengan kostum persembahan mereka. - Foto BM oleh ADAM MIFZAL MD FAIZAL

Perarakan budaya pertama di kawasan Kampong Gelam itu mengambil masa hampir setahun untuk direalisasikan, kata Pengerusi Yayasan Warisan Melayu (MHF), Dr Norshahril Saat, dalam ucapannya yang disampaikan di halaman TWM.

“Perarakan ini bukan sahaja mencerminkan semangat kebersamaan dalam masyarakat kita, malah turut menyerlahkan keutuhan warisan dan budaya kita.

“Saya tersentuh dengan semangat, tenaga dan keghairahan para peserta perarakan,” kata Dr Norshahril.

Pengunjung ke TWM berpeluang melihat pelbagai persembahan budaya semasa  festival Pesta Pecah Panggung.
Pengunjung ke TWM berpeluang melihat pelbagai persembahan budaya semasa festival Pesta Pecah Panggung. - Foto BM oleh ADAM MIFZAL MD FAIZAL

Salah seorang pengunjung TWM pada 25 April ialah Cik Noor Hidayah Mohd Shah, 38 tahun, yang datang dari Jurong bersama tiga anak dan ibu bapanya.

Beliau, yang tiba sekitar 2 petang, menyaksikan perarakan itu apabila ia melangkah masuk ke pekarangan TWM, dan meluahkan rasa kagum melihat kepelbagaian budaya Melayu yang ditampilkan.

“Ia sangat meriah dan membuat saya berasa bangga menjadi orang Melayu.

“Melalui acara ini baru saya dapat tahu yang ada banyak suku kaum Melayu seperti Bugis dan Banjar,” kata Cik Noor Hidayah.

“Dalam dunia moden hari ini, ramai orang suka mengikuti cara dan budaya Barat.

“Jadi adalah penting untuk kita perkenalkan kepada anak-anak kita tentang warisan dan budaya kita,” tambahnya.

Halaman TWM meriah dan berwarna-warni dengan pelbagai persembahan budaya semasa festival Pesta Pecah Panggung yang dianjurkan bagi menyambut pembukaan semula TWM.
Halaman TWM meriah dan berwarna-warni dengan pelbagai persembahan budaya semasa festival Pesta Pecah Panggung yang dianjurkan bagi menyambut pembukaan semula TWM. - Foto BM oleh ADAM MIFZAL MD FAIZAL

Perarakan itu adalah antara acara dalam festival Pesta Pecah Panggung – Melangkaui Sempadan, yang dianjurkan bagi menyambut pembukaan semula TWM setelah ditutup selama tiga tahun untuk kerja baik pulih, ubah elok dan pembangunan semula secara menyeluruh.

Festival tersebut akan berlangsung selama sembilan hari hingga 3 Mei dan menawarkan lebih 50 program termasuk persembahan, bengkel dan pameran.

Ia dibahagikan kepada dua hujung minggu.

Hujung minggu pertama bertemakan ‘Meneroka Dunia Melayu’, mempamerkan kepelbagaian serta warisan bersama alam Melayu.

Hujung minggu kedua pula bertemakan ‘Rumah buat Masyarakat Kita’, mengupas secara mendalam makna identiti Melayu di Singapura.

Antara program yang ditawarkan ialah pementasan Kota Impian: Modern Women (Wanita Moden).

Ia meneroka kisah-kisah yang belum pernah diceritakan tentang wanita Melayu perintis Singapura yang membentuk identiti negara selepas Perang Dunia Kedua.

Pementasan ini boleh ditonton pada 1 dan 2 Mei.

Pada 3 Mei pula, orang ramai boleh menyaksikan Pentas Pusaka: Silat Fiesta Showcase, pameran pertama yang memaparkan pelbagai kumpulan silat di Singapura, serta menampilkan para guru silat perintis yang disegani.

Acara Santai Sampai Pagi: A Night Out at MHC pula boleh disertai pada 2 dan 3 Mei.

Program malam sampai pagi pertama di MHC ini menyajikan pelbagai kegiatan menarik seperti tayangan filem, bengkel tarian dan kegiatan menyepak bola takraw.

“Sedang kita memandang ke hadapan, pembukaan semula TWM bukan sekadar menandakan ia sudah kembali.

“Ia merupakan komitmen yang diperbaharui untuk meraikan dan memperkembangkan warisan bersama kita demi generasi akan datang.

“Ia juga merupakan sebuah ruang untuk semua warga Singapura belajar, berhubung dan mendapat inspirasi daripada kisah-kisah yang membentuk kita hari ini,” kata Dr Norshahril.

“Sedang kita memandang ke hadapan, pembukaan semula TWM bukan sekadar menandakan ia sudah kembali. Ia merupakan komitmen yang diperbaharui untuk meraikan dan memperkembangkan warisan bersama kita demi generasi akan datang.”
Dr Norshahril Saat, Pengerusi Yayasan Warisan Melayu (MHF).