Topik diikuti
Pergi ke BHkuRLAF beri geran $128,000 untuk perkasa belia; serah cek $240,000 untuk Nepal
RLAF beri geran $128,000 untuk perkasa belia; serah cek $240,000 untuk Nepal
Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) menyampaikan geran bernilai $128,000 pada 17 Oktober untuk menyokong 13 inisiatif masyarakat pimpinan belia.
Dalam majlis yang sama, RLAF juga menyerahkan cek simbolik sebanyak $240,000 kepada Palang Merah Singapura (SRC) untuk menyokong masyarakat yang terjejas akibat banjir di Nepal.
Dalam satu kenyataan media, yayasan itu berkata Geran Masyarakat RLAF menyokong projek diterajui belia di peringkat akar umbi yang menangani keperluan masyarakat, mempromosikan perpaduan sosial dan memupuk semangat sukarelawan.
Geran itu menyediakan sumber dan peluang untuk belia merangka, memimpin serta melaksanakan projek yang membawa perubahan nyata kepada kehidupan orang lain.
Program tersebut juga bermatlamat untuk memupuk sifat empati, tanggungjawab sivik dan kepimpinan dalam kalangan belia.
Pada 2026, RLAF sejauh ini meluluskan 20 projek bernilai lebih $192,000 secara keseluruhan.
Sebagai perbandingan, pada 2025, RLAF meluluskan 28 permohonan dengan nilai geran masyarakat kira-kira $256,318, yang berpotensi membawa kesan sosial kepada lebih 40,000 penerima manfaat, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Dalam usaha membantu masyarakat yang terjejas akibat banjir di Nepal pula, RLAF berjaya mengumpul $240,000 menerusi kempen pengumpulan dana kemanusiaan selama 14 hari yang diadakan dari 1 hingga 14 September lalu.
RLAF berkata kempen tersebut menerima sumbangan daripada orang awam, 70 masjid, pelbagai perniagaan, serta anggota masyarakat India Muslim Singapura.
Usaha tersebut membuktikan bagaimana masyarakat daripada pelbagai latar belakang dapat bersatu padu demi menyokong matlamat kemanusiaan yang sama, kata RLAF.
Dana tersebut akan disalurkan melalui SRC bagi menyokong usaha pemulihan di kawasan yang dilanda banjir di Nepal.
Usaha tersebut merangkumi penyediaan bantuan kecemasan, tempat perlindungan, sokongan perubatan dan kit kebersihan.
Majlis penyerahan cek pada 17 Oktober itu dihadiri Menteri Negara (Kementerian Ehwal Luar merangkap Kementerian Dalam Negeri), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, selaku tetamu terhormat.
Mengulas tentang dana bagi menyokong bantuan kemanusiaan di Nepal serta projek masyarakat untuk belia, Encik Zhulkarnain berkata: “Ia amat menggembirakan melihat masyarakat kita bersatu hati untuk menyokong mereka yang terjejas akibat banjir di Nepal, sambil memperkasa belia kita untuk membawa perubahan positif melalui Geran Masyarakat RLAF dan penyertaan sukarelawan.
“Usaha-usaha ini mencerminkan semangat belas ihsan dan perpaduan yang menjadikan Singapura teguh.
“Saya berharap lebih ramai rakyat Singapura, terutamanya belia kita, akan terdorong untuk tampil berbakti dan memartabatkan masyarakat, sama ada di dalam mahupun di luar negara.”
Acara tersebut menyatukan penderma, rakan masyarakat, pemimpin belia dan sukarelawan dalam satu sambutan tindakan kolektif.
RLAF berkata kekal komited dalam memupuk generasi pemimpin muda yang prihatin, di samping terus berkongsi rezeki bersama masyarakat yang memerlukan di peringkat tempatan dan global.