Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) menyasarkan untuk mengumpul $300,000 melalui satu kempen pengumpulan dana dari 9 Mei hingga 30 Ogos, sempena sambutan Hari Kemerdekaan Singapura yang ke-60 (SG60).
Kempen tersebut bertujuan menyokong sehingga 5,000 isi rumah dengan memberikan baucar pasar raya bernilai $60, kata RLAF dalam satu kenyataan media pada 9 Mei.
Menurut badan itu, bantuan tersebut akan memberi sokongan praktikal bagi barangan keperluan keluarga sedemikian dan ia merupakan sebahagian daripada inisiatif ‘Blessings to All’ yang dimulakan pada 2021.
“Inisiatif kami sebelum ini telah menunjukkan bagaimana sokongan yang disasarkan seperti ini memberi kesan bermakna dalam kehidupan harian keluarga tersebut,” tambahnya.
RLAF menambah buat pertama kali, inisiatif tersebut akan berlangsung sepanjang 2025 dan bukan sekadar inisiatif sekali sahaja bagi meraikan SG60 tahun ini.
“Sedang Singapura meraikan detik penting ini, RLAF menyatukan masyarakat bagi menyokong keluarga yang memerlukan, sekali gus mencerminkan semangat ihsan dan keterangkuman berterusan negara kita,” ujarnya.
Ini akan dilakukan melalui sesi pengagihan dan keterlibatan seluruh Singapura oleh lebih 200 sukarelawan merentasi rangkaian badan itu, kata RLAF.
Pada masa yang sama, inisiatif itu menunjukkan semangat kerjasama antara masyarakat dan pertubuhan – termasuk Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra), kumpulan harmoni dan badan-badan keagamaan.
Pendekatan berbilang agensi itu membolehkan RLAF “mencapai masyarakat yang pelbagai secara berkesan”, di samping memupuk pemahaman dan kerjasama silang agama.
“Dengan penglibatan sukarelawan dan penerima bantuan daripada latar belakang berbeza, RLAF berhasrat memupuk persefahaman dan sifat empati bersama,” tambah kenyataan itu.
Orang ramai boleh membuat sumbangan menerusi pelbagai saluran:
– PayNow ke RLAF menerusi nombor UEN: 200910530Z dan catatkan ‘BTA2025’ di bawah kenyataan
– Laman web, Giving.SG di https://tinyurl.com/BTARLAF2025
– Laman web, GivePlease di https://tinyurl.com/RLAFBTA2025
– Pemindahan bank menerusi RLAF (Yayasan Rahmatan lil Alamin) ke akaun semasa OCBC di nombor 629069154001
– Hantar cek kepada RLAF dengan menulis nama penderma, nombor kontak serta ‘BTA2025’ ke alamat RLAF, Masjid Yusof Ishak, No 10, Woodlands Drive 17, Aras 4, Singapura 737740
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg