Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) telah melancarkan kempen Bantuan Banjir Kecemasan Asia 2025 bagi menyokong usaha kemanusiaan mendesak di Indonesia dan Sri Lanka.
Usaha mengumpul dana akan dilakukan dengan kerjasama badan bantuan kemanusiaan Mercy Relief serta Palang Merah Singapura.
Kempen tersebut dibuat susulan banjir serta tanah runtuh teruk yang melanda kededua negara pada akhir November dan awal Disember.
Justeru, kempen pengumpulan dana tersebut berlangsung dari 17 Disember hingga 31 Disember, dengan kutipan derma di masjid seluruh Singapura dijadualkan dari 19 Disember hingga 25 Disember.
Ketua Pegawai Eksekutif RLAF, Encik Adnan Abdul Hamid, menggesa masyarakat tampil menghulurkan bantuan demi meringankan penderitaan mangsa.
“Kemusnahan meluas yang berlaku di Indonesia dan Sri Lanka memerlukan perhatian dengan segera.
“Ketika negara jiran kita berdepan dengan kesedihan serta ketidaktentuan, kami menyeru masyarakat agar bersatu dengan penuh ihsan dan tampil menyumbang bagi menyokong usaha bantuan yang memenuhi keperluan asas serta keselamatan keluarga terjejas,” katanya.
Di Indonesia, hujan lebat berterusan selama beberapa minggu telah mencetuskan banjir dan tanah runtuh teruk di wilayah Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat.
Bencana itu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,390 nyawa, manakala lebih 330 orang masih hilang, dengan lebih 770,000 penduduk terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara.
Keadaan itu turut diburukkan lagi dengan kemusnahan pada jalan raya dan jambatan.
Ini menyebabkan masyarakat terputus hubungan dan sekali gus menyukarkan usaha bantuan.
Sementara itu di Sri Lanka, Taufan Ditwah bersama keadaan monsun yang semakin buruk telah mengakibatkan banjir dan tanah runtuh sejak 28 November.
Bencana tersebut telah meragut hampir 200 nyawa dan memaksa lebih 100,000 penduduk berpindah, selain memusnahkan lebih 20,000 rumah di seluruh negara.
“Mangsa amat memerlukan perlindungan kecemasan, bekalan air bersih, makanan, rawatan perubatan serta langkah pencegahan penyakit, khususnya di pusat pemindahan yang sesak,” kata RLAF menerusi satu kenyataan pada 18 Disember.
Sebanyak $150,000 diperlukan untuk menyokong usaha membantu mangsa itu, tambah RLAF.
Orang ramai boleh membuat sumbangan menerusi pelbagai saluran:
– PayNow ke RLAF menerusi nombor UEN 200910530ZRLA dan catatkan ‘INDOSRILANKAFLOODS2025’ di bawah kenyataan
– Laman web, Giving.SG di https://tinyurl.com/floodrelief2025
– Laman web, RLAF di https://tinyurl.com/asianfloodrelief25
– Pemindahan bank menerusi RLAF (Yayasan Rahmatan Lil Alamin) ke akaun semasa OCBC di nombor 601313315001
– Hantar cek kepada RLAF dengan menulis nama penderma, nombor telefon serta ‘BTA2025’ ke alamat RLAF, Masjid Yusof Ishak, No 10, Woodlands Drive 17, Aras 4, Singapura 737740.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg