Pasangan Muslim yang ingin melangsungkan pernikahan pada hujung minggu berpeluang berbuat demikian pada Sabtu, mulai Oktober 2025.
Pengumuman ini dibuat ketika pejabat Pendaftaran Perkahwinan (ROM) dan Pendaftaran Perkahwinan Islam (ROMM) memulakan operasi di tapak sementara (library@esplanade) di Esplanade Mall pada 14 April sementara premis di Canning Rise menjalani pembangunan semula dan dijangka siap pada 2028.
Buat masa ini, upacara pernikahan di ROMM hanya dijalankan dari Isnin hingga Jumaat, tidak termasuk cuti umum.
Langkah mengadakan majlis pernikahan pada hujung minggu pada Oktober nanti disifatkan sebagai langkah penting dalam usaha ROMM memberi lebih fleksibiliti kepada bakal pengantin, kata Pendaftar Perkahwinan Islam, Ustaz Nor Razak Bakar.
Menurutnya, proses penambahbaikan ini diperkenalkan sebagai respons kepada maklum balas orang ramai yang ingin meraikan hari bahagia mereka bersama anggota keluarga yang rapat.
“Sedang ROMM memulakan babak baru di Esplanade Mall, kami kekal komited pada keperluan masyarakat Islam,” katanya.
Slot perkahwinan boleh ditempah menerusi Portal Perjalanan Perkahwinan Kami (Our Marriage Journey).
Buat masa ini, ROMM menyediakan sekitar 18 slot nikah setiap minggu.
Ustaz Nor menambah permintaan bagi perkhidmatan nikah hujung minggu semakin meningkat dalam kalangan pasangan Islam.
Namun, pihak ROMM ingin menggalakkan pasangan Melayu/Islam untuk pertimbangkan ruang masyarakat seperti masjid bagi mengadakan pernikahan.
Ini disebabkan masjid adalah ruang membina mahligai yang melambangkan kesucian dan niat murni pasangan untuk mendirikan rumah tangga.
Walaupun beroperasi dari lokasi baru di Esplanade Mall, perkhidmatan utama seperti sesi akad nikah secara fizikal dan bimbingan perkahwinan tetap diteruskan seperti biasa.
Selain perkhidmatan fizikal, ROMM dan ROM terus menawarkan program persiapan perkahwinan seperti kuiz interaktif dan bahan bimbingan menerusi portal rasmi mereka, sebagai sebahagian usaha membantu pasangan membina rumah tangga yang kukuh dan berdaya tahan.
Cik Nur Sufieleenna Sari Muhamed Sufian Chay, 35 tahun, bersama tunangnya (yang enggan mendedahkan namanya), adalah antara pasangan pertama untuk mendaftar di lokasi baru ROMM.
Mereka berdua ditemani oleh ibu bapa Cik Nur Sufieleena, yang mencapai umur 70-an tahun.
Menurutnya, pemindahan operasi ROMM ke Esplanade tidak menyukarkan dan segalanya berjalan lancar.
“Lokasi baru ROMM kini lebih mudah diakses oleh mereka yang datang dengan menaiki MRT. Kami pun tidak terlalu jauh berjalan berbanding tempat sebelumnya (Canning Rise),” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg