Pejabat Pendaftaran Perkahwinan (ROM) dan Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) bakal berpindah ke Esplanade Mall, sementara pejabat asal di 7 Canning Rise melalui pembangunan semula, dari 2025 hingga 2028.
ROM dan ROMM akan menghentikan operasi di Canning Rise pada 11 April dan menyediakan khidmat di tingkat tiga, Esplanade Mall, bekas lokasi perpustakaan library@esplanade, mulai 14 April.
Untuk memudahkan pemindahan itu, tiada janji temu dan majlis perkahwinan akan dikendalikan di ROM pada 12 April dan 13 April.
Namun, upacara perkahwinan yang diadakan di lokasi luar, termasuk melalui pautan video, tidak akan terjejas.
Bagi janji temu atau majlis perkahwinan yang telah dibuat di 7 Canning Rise pada 12-13 April, ROM bakal menghubungi pasangan berkenaan untuk membuat aturan lain.
Bagi ROMM, tiada pasangan yang terjejas pada 12-13 April.
Semua janji temu dan majlis perkahwinan yang dijadualkan di ROM/ROMM dari 14 April secara automatik akan dipindahkan ke lokasi baru di Esplanade.
Pasangan yang terjejas akan dihubungi dan akan diberi penjelasan tentang perubahan ini.
Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dalam satu kenyataannya pada 14 Januari berkata bangunan yang bakal diubah suai akan memenuhi keperluan setiap pasangan yang akan memulakan perkahwinan mereka dengan lebih lengkap.
ROM/ROMM mula beroperasi di pejabat 7 Canning Rise pada Ogos 1983.
Bangunan tersebut juga menampilkan bumbung yang dianggap ikonik.
Selama lebih empat dekad, pejabat Canning Rise merupakan lokasi yang dihargai ramai pasangan yang memulakan perjalanan perkahwinan mereka dengan seni binanya yang unik.
Pejabat di Canning Rise hanya mempunyai satu bilik perkahwinan yang boleh memuatkan 20 orang sahaja, termasuk pasangan dan dua saksi.
Bangunan baru kelak diharap menjadi tempat pilihan bagi lebih ramai pasangan untuk meraikan perkahwinan mereka.
Antara ciri utama yang akan ditampilkan di bangunan baru itu termasuk bumbung tirus yang akan direka semula dan pelbagai lokasi pernikahan yang moden seperti kawasan atas bumbung.
Ia juga akan mempunyai ruang hijau dan tempat mengambil gambar luaran dan dalaman.
Selain pengubahsuaian tempat tersebut, kelestarian alam juga menjadi satu keutamaan.
Sistem pengurusan bangunan yang cekap tenaga dan bahan lestari akan digunakan dalam bangunan yang baru.
Maklumat lanjut mengenai bangunan baru ROM/ROMM akan diumumkan kemudian.
Sementara waktu peralihan itu, pasangan dianjurkan mengunjungi laman Our Marriage Journey (OMJ) di https://www.marriage.gov.sg untuk maklumat terkini.
Orang ramai juga boleh hubungi talian ROM di 6338-7808 dan ROMM di 6337-0207 untuk penjelasan lanjut mengenai pemindahan ke Esplanade Mall.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg