Singapura telah mempertingkat langkah keselamatan, termasuk di pusat pemeriksaan, menyusuli serangan di Balai Polis Ulu Tiram yang disyaki dilakukan oleh seorang anggota Jemaah Islamiyah (JI).
Ini termasuk menambah rondaan dan mengadakan pemeriksaan terperinci ke atas pengangkutan dan individu yang keluar masuk di pusat pemeriksaan, kata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam kenyataannya pada 18 Mei.
“Memandangkan keadaan ancaman kini meningkat dan polis Malaysia sedang mencari beberapa anggota JI, kami, pada awal hari ini telah mempertingkat langkah keselamatan, termasuk di pusat pemeriksaan.
“Langkah ini termasuk menambah rondaan dan mengadakan pemeriksaan terperinci ke atas orang awam dan pengangkutan yang keluar masuk.
“Mereka yang menggunakan pusat pemeriksaan harus menjangka kegendalaan disebabkan pemeriksaan lebih terperinci, dan mengambil kira masa tambahan yang diperlukan untuk melepasi imigresen,” kata MHA.
MHA berkata Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) telah berhubungan dengan jabatan seangkatan di Malaysia berkaitan serangan di Balai Polis Ulu Tiram itu.
MHA juga sedang memantau perkembangan keselamatan sedunia dan di rantau ini, kata kenyataan itu.
Pada 17 Mei, dua pegawai polis di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, dibunuh seorang lelaki berusia 21 tahun yang menyerang balai polis tersebut.
Suspek ditembak mati oleh pegawai polis lain.
Seorang pegawai polis cedera dan sedang dirawat di hospital.
Buat masa ini, tujuh suspek sedang ditahan reman di Johor, termasuk lima anggota keluarga lelaki yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram.
Dalam kenyataannya, MHA mengingatkan warga Singapura supaya bersikap waspada dan melaporkan kepada polis jika terlihat individu yang berkelakuan mencurigakan atau kegiatan yang menimbulkan syak di Singapura atau di luar negara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg