Pensyarah Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Melayu, Institut Pendidikan Nasional (NIE)-Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Roszalina Rawi, telah dilantik sebagai pengerusi Yayasan Warisan Melayu (MHF) pada 1 Ogos.

Dr Roszalina mengambil alih jawatan itu daripada Zamil Utama dan Penyelaras Program Sosial dan Budaya di Iseas-Institut Yusof Ishak dan Penyelaras Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau, Dr Norshahril Saat.

Beliau akan memegang jawatan sebagai pengerusi MHF dari 1 Ogos 2026 hingga 31 Julai 2027.

Sebelum ini, Dr Norshahril telah menggalas peranan sebagai naib pengerusi MHF dari Ogos 2017 hingga Julai 2018 sebelum dilantik sebagai pengerusi MHF pada Ogos 2018 dan berkhidmat sehingga Julai 2026.

Dihubungi Berita Harian (BH) pada 3 Ogos, Dr Roszalina berkata bahawa beliau berasa amat bersyukur dan terharu atas peluang yang diberikan untuk menyumbang kepada masyarakat.

“Sebagai seorang pendidik yang juga merupakan anak seni yang pernah terlibat dalam dikir barat, tarian dan angklung, warisan Melayu begitu dekat di hati saya dan menjadi sebahagian penting daripada naluri serta jati diri saya,” kata beliau.

Sementara itu, meskipun telah meletak jawatan sebagai pengerusi MHF, Dr Norshahril kekal menggalas jawatan sebagai pengerusi unit penyelidikan Taman Warisan Melayu (TWM) yang ditubuhkan untuk membina badan ilmu dan repositori mengenai budaya dan warisan Melayu Singapura.

Unit penyelidikan itu kali pertama diumumkan semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) mengenai ehwal masyarakat Islam di Parlimen pada 5 Mac.

Selaku pengerusi baharu MHF, Dr Roszalina berkongsi bahawa beliau ingin memperluaskan jangkauan yayasan itu kepada segenap lapisan masyarakat Melayu, khususnya generasi muda.

Apabila dihubungi BH, beliau berkata lembaga pengarah baharu akan terus meneroka cara untuk menjadikan MHF lebih mudah didekati dan melibatkan masyarakat yang lebih luas.

“Antara perkara yang boleh diterokai termasuk mengadakan lebih banyak program yang melibatkan kepimpinan dan pementoran belia, kerjasama penyelidikan, pendokumentasian sejarah masyarakat, serta sokongan yang boleh diberikan kepada penggiat budaya.

“Ini terutamanya golongan muda yang ingin menceburi bidang seni warisan serta projek-projek akar umbi.

“Saya berharap MHF dapat terus menyediakan lebih banyak ruang untuk golongan muda kita mengenali sejarah, budaya dan identiti mereka sebagai orang Melayu Singapura, di samping melibatkan mereka secara aktif dalam penciptaan program-program warisan, wacana, penyelidikan serta kegiatan-kegiatan seni dan budaya,” kata Dr Roszalina, 47 tahun.

Menjawab pertanyaan berhubung rancangan MHF untuk kekal relevan dalam landskap masyarakat yang semakin berubah, Dr Roszalina menjelaskan bahawa generasi hari ini menerima maklumat, membina identiti dan berhubung dengan masyarakat melalui pelbagai saluran, termasuk ruang digital.

Justeru, beliau menekankan kepentingan untuk terus berpegang pada asas dan tujuan penubuhan MHF, di samping menyesuaikan pendekatan yayasan itu melalui program pendidikan yang lebih interaktif, penggunaan wadah digital, kerjasama dengan sekolah, institusi pengajian tinggi, badan-badan masyarakat dan para penggiat seni.

MHF ditubuhkan pada 28 Julai 1999 bagi menggalakkan pengajian, penyelidikan serta meningkatkan pemahaman dan pengetahuan orang ramai mengenai perkembangan sejarah dan sosiobudaya masyarakat Melayu di Singapura, menerusi TWM dan pelbagai usaha lain yang berkaitan.

Dalam pada itu, Dr Roszalina turut berkata bahawa MHF memainkan peranan besar sebagai penggerak wacana tentang warisan.

Menurutnya, perbincangan tentang warisan boleh dikaitkan dengan persoalan identiti, bahasa, pendidikan, kesenian, kehidupan bermasyarakat dan sumbangan masyarakat Melayu kepada Singapura.

“Oleh itu, kita harus memastikan ilmu tentang warisan kita dapat menjadi wahana yang mempererat silaturahim dan persefahaman antara masyarakat berbilang bangsa di Singapura,” tambah beliau lagi.

Dr Roszalina melahirkan penghargaan beliau terhadap kepimpinan sebelumnya yang membina asas kukuh bagi MHF.

Ini termasuk Dr Norshahril, yang telah banyak berkongsi pengalaman dan pandangan sepanjang proses peralihan kepimpinan, kata beliau.

Dr Roszalina berkata:

“Antara perkara yang paling saya hargai adalah penekanan beliau tentang pentingnya memahami tanggungjawab dan amanah MHF secara menyeluruh, mendengar pandangan anggota lembaga serta masyarakat, dan tidak terburu-buru melakukan perubahan sebelum benar-benar memahami kekuatan serta cabaran organisasi.”

Lantas, tanggungjawab lembaga pengarah MHF sekarang adalah untuk menjaga asas yang dibina dengan baik sambil melangkah ke fasa seterusnya, ujar beliau.

Berikut senarai anggota lembaga pengarah MHF yang baru:

Pengerusi: Pensyarah Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Melayu, NIE-NTU, Dr Roszalina Rawi

Naib pengerusi: Editor Berita BH, Encik Nazri Hadi Saparin

Anggota lain:

  1. Pengarah Galeri, Pameran dan Muzium HeritageSG, Cik Asmah Alias
  2. Pengarah Kumpulan, Lembaga Warisan Negara, Encik Low Sze Wee
  3. Pendidik Fakulti Teater, Sekolah Seni Singapura (Sota), Encik Mohd Fared Jainal
  4. Penolong Pengarah Kanan, Kementerian Undang-Undang, Encik Muhammad Taufiq Suraidi
  5. Pengurus Projek, Far East Organization, Encik Nassar Mohamad Zain
  6. Editor Bersekutu, The Straits Times, Syed Zakir Hussain
  7. Pustakawan Utama (Bahasa Melayu) Perancangan dan Pembangunan Koleksi, Lembaga Perpustakaan Negara, Cik Zubaidah Mohsen
  8. Pengerusi, Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (Mesra), Persatuan Rakyat, Cik Amatul Jameel Suhani Sujari
  9. Pengarah, Orkestra Sri Temasek, Encik Hanafi Idrus
  10. Felo, Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau serta Program Pengajian Indonesia ISEAS – Institut Yusof Ishak, Dr Irna Nurlina Masron
  11. Pengurus Portfolio Utama Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Encik Nizam Mohd Idris