Topik diikuti
Pergi ke BHkuTaman Warisan Melayu ruang penyatu suara mapan, anak muda dalam lestari budaya
Taman Warisan Melayu ruang penyatu suara mapan, anak muda dalam lestari budaya
Pengerusi Yayasan Warisan Melayu harap TWM jadi jambatan gabung kreativiti belia dengan nilai mendalam sejarah demi masa depan warisan
Taman Warisan Melayu ruang penyatu suara mapan, anak muda dalam lestari budaya
Adalah penting untuk memastikan suara golongan muda didengar bagi mewujudkan titik tengah dalam perbincangan, yang membolehkan mereka bersuara dengan bebas sambil tetap menjaga kepentingan golongan mapan.
Titik tengah ini merupakan kedudukan di mana dua pihak yang berbeza pendapat dapat bersetuju untuk bertemu di tengah pandangan masing-masing agar tidak terjadi konflik ekstrem.
Justeru, ini akan membantu dalam usaha melestarikan warisan Melayu, kata Pengerusi Yayasan Warisan Melayu (MHF), Dr Norshahril Saat.
Beliau menambah peranan Taman Warisan Melayu (TWM) bukan untuk menguasai usaha pelestarian warisan Melayu atau menyekat kumpulan akar umbi, tetapi untuk bekerjasama rapat dengan masyarakat.
Dalam masa yang sama, usaha menarik orang ramai mengunjungi TWM dan Kampong Gelam tidak seharusnya dibuat secara paksaan atau terlalu mendesak kerana ia boleh menyebabkan mereka berasa terasing dan menjauhkan diri.
Beliau berkata demikian kepada Berita Harian (BH) sempena pembukaan semula TWM yang terletak di Istana Kampong Gelam pada 25 April.
Ketika ditemui BH di pejabatnya di Iseas-Institut Yusof Ishak pada 21 April, Zamil Utama (Principal Fellow) dan Penyelaras Program Sosial dan Budaya itu, berkata:
“Kalau kita ingin bincang tentang warisan, golongan mapan kadangkala lebih tertarik pada isu-isu sebelum kemerdekaan Singapura dan sejarahnya.
“Mereka seringkali membangkitkan isu seperti ‘Oh, kesusahan, kepayahan, keperitan kami semasa zaman berlakunya rusuhan kaum’.
“Golongan muda mungkin tidak faham perspektif tersebut dan mereka mempunyai cabaran berbeza masa kini tentang identiti mereka.
“Dengan ada ruang (untuk bersuara), tidak semestinya kita mahukan mereka bersetuju.
“Tapi inilah usaha untuk generasi yang berbeza berkongsi perspektif mereka berdasarkan keadaan sosial di mana mereka hidup.”
Oleh itu, keseimbangan antara dua generasi adalah kunci dalam melestarikan warisan.
Generasi muda perlu menghormati dan memahami nilai mendalam yang dipegang oleh golongan mapan, sementara golongan muda pula harus diberikan ruang menilai semula serta menyuntik kreativiti dalam warisan tersebut mengikut kesesuaian zaman, tambah beliau.
Dr Norshahril turut mengulas beberapa perkara lain termasuk penglibatan belia, usaha menarik semula golongan intelektual Melayu ke Kampong Gelam, serta keperluan menyeimbangkan antara pemuliharaan budaya dengan realiti sebagai ruang kongsi yang terbuka kepada semua.
Sejarah Projek Warisan Melayu
Menurut laporan arkib BH, pada 1999, Perdana Menteri ketika itu, Encik Goh Chok Tong, telah memberi idea bagi pusat warisan diwujudkan di Singapura agar pelbagai kaum di sini mempunyai pusat warisan dan sejarah masing-masing demi memelihara identiti dan nilai etnik mereka.
Pemuliharaan semula Istana Kampong Gelam sebagai TWM dan Gedung Kuning, di Sultan Gate itu, yang mempunyai keluasan 8,000 meter persegi, bermula pada 2000 dan telah mendapat sokongan padu pemerintah yang memberi sumbangan dalam bentuk geran sekitar $17 juta.
Istana Kampong Gelam merupakan kawasan kediaman keluarga Sultan Hussein Shah, Sultan terakhir Singapura, suatu ketika dahulu.
TWM akhirnya membuka pintu gerbangnya kepada orang ramai dengan majlis pembukaan tidak rasmi, yang dilancarkan oleh mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, pada November 2004.
TWM dirasmikan pada Jun 2005 dengan pameran yang memaparkan 59 hasil karya seni oleh 32 penggiat seni setempat termasuk Iskandar Jalil, Abdul Ghani Hamid, Mohammad Din Mohammad dan Hamidah Jalil.
Pada Mei 2011, TWM ditutup semula secara berperingkat bagi kerja-kerja pembangunan semula di muzium dan halamannya.
Ia dibuka sekali lagi pada September 2012.
Sebahagian besar dinding tinggi yang memisahkan pekarangan TWM dengan Kandahar Street telah dirobohkan dan sebuah gerbang luas yang dipasang dengan pagar hitam yang boleh dilipat secara automatik telah didirikan.
Bangunan TWM juga telah diberikan wajah baharu, dicat dengan warna kuning – lambang diraja Melayu – menggantikan warna putih sebelum ini.
Selain perubahan estetik, pameran di TWM pada 2012 juga diberikan nafas baharu dengan susunan enam galeri tetap baharu yang memberi tumpuan pada sejarah Kampong Gelam.
Rombakan terkini TWM dijalankan pada 30 Oktober 2022 dan akan dibuka semula pada 25 April 2026 dengan enam galeri tetap yang baharu.
Siapa penentu warisan Melayu
Apabila menyebut tentang warisan Melayu, Dr Norshahril menjelaskan terdapat pelbagai bentuk dan genre warisan.
Untuk menjawab persoalan yang tercetus tentang bentuk warisan yang dipilih untuk dipamerkan di TWM, beliau berkata masyarakat perlu faham TWM hanya sekadar satu ruang terhad.
Justeru, perlu ada satu naratif kukuh yang mengikat artifak yang dipamerkan dan ia boleh berubah mengikut peredaran zaman.
Selain memikirkan warisan sebagai objek nyata, ia juga boleh dilihat dari sudut khazanah yang tidak ketara.
“Tapi kalau kita nak lihat tentang aspek budaya dan warisan, itu luar daripada aspek ruang dan ini bukan hanya peranan TWM sahaja.
“Misalnya, warisan yang tidak ketara. Ramai yang mungkin tidak melihat aspek warisan ini dari aspek wacana.
“Kalau kita lihat kawasan TWM di Kampong Gelam, kita seringkali lihat bangunan ataupun artifak.
“Tapi kita lupa kita juga ada warisan intelektual di kawasan Kampong Gelam,” tambah beliau.
Justeru, Kampong Gelam dapat dijadikan sebagai satu kawasan yang boleh menghimpunkan cendekiawan Melayu, saran Dr Norshahril.
Tarikan organik bukan dipaksa
Menarik minat masyarakat yang kurang peka dalam hal ehwal warisan Melayu agar mengambil berat tentang perkara itu adalah sesuatu yang bukan mudah, luah Dr Norshahril.
Namun, beliau menekankan golongan yang kurang minat itu tidak boleh dipaksa, dan sebaliknya pendekatan lebih strategik perlu diambil.
Memberi contoh, beliau berkata kita tidak boleh memaksa pengunjung untuk ke TWM dan melihat artifak dengan cara ilmiah.
Sebagai ganti, jika seni persembahan yang mempunyai elemen hiburan dapat menarik perhatian mereka, langkah memperkenalkan unsur tersebut perlu dipertimbangkan.
Membolot warisan
Dalam sebarang aspek kehidupan, akan ada satu institusi yang diberikan tanggungjawab memimpin aspek tersebut, kata Dr Norshahril.
Begitu juga dengan TWM dan MHF, yang masing-masing mempunyai mandatnya sendiri.
Mandat MHF tertumpu pada kajian, penyelidikan dan pemahaman budaya, manakala mandat TWM ialah pendidikan, pameran dan penglibatan awam mengenai warisan Melayu.
Walaupun selari, kededuanya tidak boleh menguasai warisan Melayu dan menghalang, misalnya, golongan di luar untuk sama-sama mengembangkan warisan dan budaya dengan cara mereka tersendiri.
Jika terbuka peluang bagi institusi dan pertubuhan akar umbi untuk bekerjasama, maka ia boleh diteroka dengan lebih mendalam, tambah Dr Norshahril.
Apa yang baharu di TWM pada 2026
- Enam galeri tetap baharu – ‘We are Playing Relatives!; ‘An Era of Changing Kings’; ‘Journeying to Settling’; ‘City of Dreams: Making A Mark’; Galeri 5: ‘Our Living Heritage’; Galeri 6: ‘We+ Heritage’
- 279 artifak
- Lima karya seni tempahan khas artis Melayu tempatan – Tumadi Patri; Fazleen Karlan; Fyerool Darma; Mysara Aljaru; dan Bani Haykal
- Pesta Pembukaan Semula dari 25 April hingga 3 Mei
