Peguam Alex Yeo akan menggantikan Encik Sitoh Yih Pin sebagai calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) di SMC Potong Pasir dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Beliau akan bertanding dengan Setiausaha Agung Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR), Encik Lim Tean, yang juga setiausaha agung parti Suara Rakyat (PV).
PAR merupakan satu gabungan tiga parti politik – PV, Parti Pembaharuan (RP) dan Parti Progresif Demokratik (DPP).
Encik Sitoh sebelum ini telah berkhidmat selama tiga penggal sejak memenangi kerusi itu pada 2011.
Kemenangan beliau pada 2011 menamatkan cengkaman pembangkang selama 27 tahun di kawasan undi itu, yang sebelum itu merupakan kubu kuat Parti Rakyat Singapura (SPP) di bawah pimpinan veteran pembangkang, Encik Chiam See Tong.
Bagi GE2025 SPP meletakkan bendaharinya, Encik Williamson Lee, sebagai calon untuk cuba merampas semula kerusi itu daripada PAP.
Sehingga 1 Februari 2025, jumlah pengundi berdaftar di SMC Potong Pasir adalah seramai 30,897, meningkat daripada 19,731 pengundi pada tahun 2020.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg