Selamat petang dan assalamualaikum,

Selamat datang diucapkan kepada tetamu terhormat kami, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, serta hadirin sekalian yang meluangkan masa untuk bersama dengan kami hari ini sempena majlis makan tengah hari Rahat Tahunan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) yang ke-21.

Selama lebih dua dekad, perhimpunan tahunan ini telah menjadi satu tradisi yang amat dihargai – sebuah detik istimewa bagi anggota RRG dan keluarga mereka untuk kembali bertemu, sekali gus memperkukuh hubungan sesama kami.

Ini adalah detik yang sentiasa kami nantikan setiap tahun.

Malah ketika berdepan cabaran pandemik Covid-19, di mana sekatan ketat dan penjarakan sosial dilaksanakan, komitmen kami tidak pernah luntur.

Walaupun sekatan tersebut memaksa kami untuk berhenti seketika pada 2021, kami pantas menyesuaikan diri dengan beralih kepada seminar hibrid bagi memastikan hubungan kami tetap utuh.

Lebih daripada sekadar tradisi, rahat ini merupakan pencapaian penting dalam kalendar RRG.

Ia berfungsi sebagai wadah tahunan untuk kami merenung semula, menilai pencapaian dan memperbaharui komitmen terhadap perjuangan kami. 

Ia memberi ruang khusus kepada para anggota untuk meneliti pencapaian, memahami cabaran kami, serta merangka strategi untuk terus melangkah lebih baik pada tahun mendatang.

Tema rahat pada tahun ini, Membina Ketahanan Belia Menangani Radikalisasi, adalah sangat tepat pada masanya dan membawa kepentingan amat mendalam.

Di peringkat tempatan, trend penuaan penduduk yang pesat bermakna golongan belia kini merupakan aset yang jauh lebih berharga untuk kami lindungi.

Hal ini berlaku di tengah-tengah masyarakat global yang sedang berdepan dengan cabaran keselamatan yang berubah-ubah.

Cabaran ini, termasuk ideologi ekstremis, akan menular dan memberi kesan kepada golongan muda dengan lebih cepat, lebih mendalam, serta melalui cara yang lebih halus daripada sebelumnya.

Ini kerana sebahagian besar naratif ekstrem ini menular di ruang digital – wadah popular dan mempunyai pengaruh besar dalam kalangan belia kami.

Kami menyedari hakikat ini: Untuk sentiasa berada selangkah di depan dalam menghadapi ancaman yang kian berubah, tiada satu formula khusus yang boleh digunakan, melainkan meneruskan pembelajaran dalam pelbagai bidang baru yang sangat penting buat masa ini.

Oleh itu, dalam Seminar Rahat hari ini, anggota RRG telah mengadakan perbincangan dengan para akademik dan pakar terkemuka, bagi mendapatkan perspektif terkini mengenai radikalisasi, tingkah laku belia, serta ketahanan psikologi.

Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dr Zora Sukabdi daripada Universitas Indonesia atas kesudian berkongsi kepakaran beliau dalam bidang psikologi forensik.

Pandangan beliau mengenai corak tingkah laku, pembentukan identiti, serta laluan ke arah radikalisasi memberi pemahaman penting yang boleh memperkukuh usaha pencegahan dan pemulihan kami.

Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Cik Farah Jaffar daripada Persatuan Kanak-Kanak Singapura kerana berkongsi pengalaman beliau dalam bekerja dengan golongan belia dan keluarga.

Sumbangan beliau memperingatkan kami ketahanan lazimnya dibina bukan sahaja melalui peranan institusi, bahkan menerusi kepercayaan, empati, serta jalinan hubungan yang saling menyokong di dalam keluarga dan masyarakat.

Kami turut ingin melahirkan penghargaan kepada Dr Narayanan Ganapathy daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Encik Jeff Salleh daripada Oracle.

Menjelang rahat ini, mereka telah berkongsi pandangan amat berharga bersama anggota RRG, masing-masing mengenai topik Youth Path to Crime (Laluan Belia ke Arah Jenayah) dan The World of AI (Dunia Kecerdasan Buatan).

Sumbangan daripada mereka berdua telah memperkaya sesi perbincangan kami, sekali gus mendalami lagi pemahaman kami dalam berdepan cabaran yang terus berkembang ini.

Dalam kami mempertingkat ilmu pengetahuan, kami juga harus memodenkan wadah komunikasi.

Jika ancaman tersebut telah beralih ke ruang digital, maka usaha mendekati masyarakat dan kehadiran kami juga mesti berada di ruang yang sama.

Kami tidak boleh mengharapkan golongan belia untuk mencari kami melalui kaedah tradisional sekiranya kami sendiri tidak mengambil inisiatif untuk mendekati mereka di wadah yang digunakan mereka. 

Jejak digital kami mencerminkan komitmen yang terus berkembang ini.

Sejak laman web RRG dilancarkan pada 2007, kami telah menerima lebih 200,000 pengunjung dalam talian.

Menyedari peralihan dalam trend penggunaan media, kami memperluas jangkauan ke platform Facebook pada 2011, yang kini menghubungkan kami dengan 49,000 pengikut.

Pada 2019, kami mula hadir di Instagram yang kini mempunyai seramai 13,000 pengikut, dan paling terkini, pelancaran akaun TikTok kami pada 2023 telah berjaya menarik 12,000 pengikut dengan pantas.

Angka ini bukan sekadar statistik semata-mata; ia mewakili pencapaian dalam usaha berterusan kami untuk meneroka cara terbaik bagi berhubung dengan masyarakat, dan yang paling utama, untuk memastikan kami mudah diakses oleh mereka yang amat memerlukan bantuan kami.

Pada pertengahan Mei 2026, RRG telah melancarkan saluran WhatsApp rasmi.

Dalam era digital ini, tempoh tumpuan manusia semakin singkat, manakala maklumat palsu pula terus berleluasa.

Bagi menangani cabaran ini, kami berharap saluran WhatsApp RRG akan berfungsi sebagai platform yang mudah disertai, mudah diakses dan dipercayai.

Langkah ini membolehkan kami menyalurkan kandungan sahih, sederhana dan melindungi, terus ke dalam genggaman tangan masyarakat.

Ia menjadikan interaksi bersama RRG sesuatu yang semula jadi dan pantas.

Memandang ke hadapan, cabaran yang menanti kami sememangnya rumit, namun tekad kami kekal utuh.

Rahat RRG ke-21 ini menandakan kematangan pertubuhan kami – kematangan yang menghargai asas tradisi kami dalam pemulihan teologi, sambil pada masa yang sama, berani menerapkan kefahaman psikologi serta inovasi digital.

Encik Shanmugam, terima kasih atas kehadiran anda pada hari ini; ia menjadi suntikan semangat amat besar buat semua hadirin di dalam dewan ini.

Ucapan terima kasih mendalam turut kami rakamkan kepada para penceramah, rakan strategik kami daripada Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), pihak media, serta setiap daripada anda yang hadir pada hari ini.

Marilah kita terus menggembleng tenaga bersama-sama – agensi pemerintah, pertubuhan masyarakat, para pendidik, ibu bapa dan belia kita – demi membina sebuah Singapura di mana kepelbagaian menjadi kekuatan kita, ihsan mengatasi kebencian dan kebijaksanaan menundukkan ekstremisme.

Ayuh kita melangkah ke depan dengan penuh keyakinan, inovasi, serta dengan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi terhadap misi bersama kita.

Sekian, terima kasih dan selamat meluangkan masa pada petang ini serta menjamu hidangan tengah hari yang disediakan. Wassalamualaikum.