Topik diikuti
Pergi ke BHkuRSN lancar kapal peronda baru berupaya tangani ancaman tanpa pemandu
RSN lancar kapal peronda baru berupaya tangani ancaman tanpa pemandu
Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) telah melancarkan kapal peronda pertama daripada armada baharunya, yang berukuran hampir seganda panjang berbanding model sebelum ini serta boleh disesuaikan bagi pelbagai misi keselamatan maritim.
Kapal Peronda Lepas Pantai (OPV) kelas Sentinel yang dibangunkan oleh syarikat pembinaan kapal Jerman, Fassmer, dilancarkan pada 1 Oktober dalam satu majlis di Berne, sebuah perbandaran di Jerman.
Kapal baharu dinamakan Sentinel itu merupakan yang pertama daripada empat OPV yang bakal menggantikan empat Kapal Respons Maritim dan Keselamatan (MSRV) kelas Sentinel bagi operasi keselamatan maritim serta melindungi perairan Singapura.
OPV berkenaan, yang berkeupayaan menangani ancaman tanpa pemandu, akan beroperasi di bawah Flotila Respons Maritim dan Keselamatan RSN.
Majlis pelancaran yang diadakan di limbungan kapal Fassmer itu turut dihadiri Menteri Pertahanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing.
Beliau berkata OPV baharu itu mencerminkan komitmen Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dengan bersiap siaga bukan sahaja bagi cabaran hari ini, malah cabaran masa depan, memandangkan kapal itu mempunyai keupayaan tambahan bagi menangani ancaman baharu dan memuncul.
Beliau berkata projek itu menyerlahkan hubungan mendalam antara Singapura dengan Jerman serta antara tentera laut kedua-dua negara, sambil menambah bahawa Republik itu menganggap negara Eropah berkenaan sebagai rakan kongsi dipercayai di tengah-tengah pergolakan global.
Reka bentuk OPV berkenaan bukan sesuatu yang statik “di mana kita sekadar berpuas hati dengan apa yang telah kita reka dan bina bersama”, kata Encik Chan.
Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Pertahanan Persekutuan Jerman, Encik Boris Pistorius; Ketua Tentera Laut Jerman, Laksamana Madya Wilhelm Tobias Abry; dan Panglima Tentera Laut Singapura, Laksamana Muda Sean Wat.
OPV Sentinel akan menjalani siri ujian penerimaan platform dan ujian laut bagi mengesahkan sistem serta prestasi kapal itu sebelum ia tiba di Singapura.
Kapal berkenaan bakal diserahkan dan mula beroperasi secara berperingkat dari 2028.
Baki tiga OPV selebihnya masih dalam pembinaan, menurut Kementerian Pertahanan (Mindef).
OPV baharu yang berukuran 94.85 meter panjang itu jauh lebih besar berbanding MSRV yang berukuran 55 meter panjang.
Ia juga mempunyai kelebaran 15.2 meter dan penyesaran (displacement) 2,700 tan, berbanding MSRV yang mempunyai kelebaran 8.6 meter dan penyesaran 525 tan.
Keupayaan dan saiz lebih besar ini memberi daya tahan lebih tinggi di laut serta lebih banyak pilihan untuk melaksanakan teknologi termaju, “sekaligus menandakan lonjakan ketara dalam keupayaan secara keseluruhan”, kata Timbalan Pengarah di Pejabat Projek OPV bagi Kumpulan Pembinaan Kapal RSN, Leftenan Kolonel Kanan (SLTC) Jackson Hong.
Meskipun saiz kapal berkenaan lebih besar, SLTC Hong berkata ia direka khusus untuk persekitaran maritim Singapura yang padat dan sangat aktif, mudah dikendalikan serta mempunyai fleksibiliti operasi yang tinggi untuk beroperasi secara selamat dan berkesan.
“Mengambil pelajaran daripada konflik di seluruh dunia dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kami juga mereka bentuk kapal ini agar bersedia menghadapi ancaman daripada dron,” kata SLTC Hong.
OPV itu dilengkapi dengan penderia canggih dan senjata berlapis, termasuk meriam berpandu Strales, yang mampu menangani ancaman tanpa pemandu dalam sektor maritim.