Perairan Singapura akan lebih terpelihara dalam beberapa tahun dengan pelancaran kapal tempur “terbesar dan paling kompleks” oleh Angkatan Laut Republik Singapura (RSN).
RSN melancarkan Kapal Tempur Pelbagai Peranan (MRCV) pertamanya, yang dinamakan Victory, pada 21 Oktober di Limbungan Benoi ST Engineering.
Dilengkapi dengan sensor canggih, senjata dan keupayaan menggunakan kenderaan udara, permukaan dan bawah air tanpa pemandu, MRCV itu menggabungkan keupayaan tempur sebuah frigat moden dengan kapasiti dan teknologi untuk berfungsi sebagai ‘kapal induk’ bagi pelbagai sistem tanpa pemandu.
Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef), MRCV itu akan meningkatkan keupayaan Singapura melindungi jalur komunikasi laut dan menyumbang kepada keselamatan serantau serta usaha antarabangsa untuk memastikan akses ke laut kekal tanpa halangan.
Berita Harian (BH) berpeluang menyaksikan majlis pelancaran MRCV itu, yang dirasmikan oleh Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing.
MRCV tersebut adalah kapal pertama daripada enam kapal serupa, yang akan menggantikan Korvet Peluru Berpandu kelas Victory (MCV) yang sudah beroperasi sejak 1989.
Sebagai penghormatan kepada MCV kelas Victory itu, MRCV akan mengekalkan nama dan nombor kapal tersebut.
Dalam ucapannya, Encik Chan menekankan bagaimana “cabaran yang bakal kita hadapi akan berkembang dan menjadi lebih sukar, dan mungkin lebih berbahaya”.
“Dulu, peranan angkatan laut mungkin hanya tertumpu kepada mempertahankan perairan yang berdekatan dengan kita.
“Kini, laluan perhubungan strategik kita sudah berkembang lebih jauh, dan sebab itulah kita perlukan keupayaan baru, yang juga bersepadu dengan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) untuk mempertahankan dan menjamin keselamatan laluan perhubungan laut kita,” jelas Encik Chan.
Beliau menambah, kapal MRCV itu “tidak seperti kapal yang telah dibina sebelum ini” dan ia akan dilengkapkan dengan teknologi dan alat-alat untuk menepati pelbagai keperluan pertahanan pada masa depan.
Mengikut tradisi lama angkatan laut, kapal tersebut telah dilancarkan oleh Penaung Wanita, iaitu isteri Encik Chan.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Menteri Negara (Pertahanan), Encik Desmond Choo; Panglima Pasukan Pertahanan Laksamana Madya, Aaron Beng; Panglima Tentera Laut Laksamana Muda, Sean Wat; serta pegawai kanan pertahanan daripada Mindef, SAF dan Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA).
Kapal itu dibina melalui kerjasama yang diketuai oleh DSTA, serta Makmal Nasional Pertubuhan Sains Pertahanan (DSO), ST Engineering dan rakan-rakan antarabangsa.
Dengan panjang 150 meter, MRCV dua kali ganda lebih panjang daripada MCV (62 meter).
Julat operasi MRCV juga melebihi 7,000 batu nautika – dua kali ganda daripada frigat kelas Formidable – dan mampu belayar selama lebih 21 hari sebelum memerlukan bekalan semula.
Ia juga mampu belayar pada kelajuan lebih 22 knots atau hampir 41 kilometer sejam.
“Kapal MRCV menggabungkan ciri terbaik sebuah kapal tempur, seperti kuasa serangan yang sepenuhnya dan sebesar 8,000 tan.
“Ia juga merupakan kapal induk tanpa pemandu, yang mampu mengendalikan pesawat tanpa pemandu (UAV), kenderaan permukaan tanpa pemandu (USV) dan kenderaan dalam laut berautonomi (AUV),” jelas Pegawai Pemerintah (Yang Dilantik) MRCV Victory Flotila Kelapan, Leftenan Kolonel (LTC), Karl Su.
Menurut beliau, ciri tersebut “membolehkan kapal itu melakukan lebih banyak fungsi berbanding apa yang mampu dilakukan oleh satu sahaja kapal secara tradisional”.
MRCV itu juga akan dilengkapi dengan sensor canggih dan sistem senjata, seperti meriam terpandu STRALES 76 milimeter (mm) dan pelbagai misil permukaan ke udara, untuk menangani pelbagai ancaman dan berfungsi sebagai kapal markas.
Ini termasuk Sistem Pengurusan Tempur (CMS) terkini, yang diterajui oleh DSTA.
Teknologi automasi itu juga bermakna kapal MRCV boleh dikendalikan oleh saiz kru yang lebih kecil, jika berbanding dengan kapal tempur yang mempunyai kebesaran yang sama.
Misalnya, jambatan MRCV, atau kokpit kapal, boleh dikendalikan oleh dua anggota kru sahaja berbanding dengan lima; manakala pusat kawalan kejuruteraan hanya memerlukan seorang kakitangan berbanding empat untuk memantau sistem kapal.
Kapal MRCV turut boleh menempatkan lapan modul kontena dalam ruang misi, sekali gus membolehkan kapal itu diubahsuai untuk menepati pelbagai jenis misi dalam tempoh masa yang singkat.
Misalnya, kapal MRCV boleh dilengkapkan dengan kontena bertindak sebagai klinik, untuk memperkukuhkan misi bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana.
Menurut LTC Su, MRCV dikuasakan oleh sistem jana kuasa elektrik baru yang mampu membekalkan tenaga kepada sekitar 50,000 flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Bekalan tenaga itu juga memastikan kapal MRCV mampu menampung teknologi dan senjata yang baru pada masa depan.
MRCV Victory akan dibawa ke Gul Yard untuk menjalani proses pemasangan peralatan, integrasi sistem platform dan sistem tempur, serta ujian penerimaan.
ST Engineering dijadual menghantar kapal-kapal MRCV kepada RSN secara berperingkat mulai 2028.
Sementara itu, kru perintis MRCV juga akan memulakan latihan untuk bersedia mengendalikan kapal tersebut.
“Keutamaan saya dan kru saya adalah untuk menguasai semua sistem baru, dengan semua anggota menyumbang idea terbaik untuk mencipta pendekatan baru yang terbaik,” ujar LTC Su.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg