Topik diikuti
Pergi ke BHkuRTS Link: Peniaga S’pura prihatin persaingan kos dengan peniaga Johor, akur perlu inovatif
Pengamat saran perniagaan setempat tawar produk, pengalaman unik; sokongan pemerintah juga disedia
Perniagaan di Singapura, terutamanya dalam sektor runcit dan makanan dan minuman (F&B) prihatin bahawa Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura akan meningkatkan persaingan harga dari Johor Bahru, khususnya bagi sektor yang sensitif harga seperti barang keperluan harian dan ubat-ubatan.
Meskipun para peniaga berharap dapat membezakan diri melalui mutu perkhidmatan dan tawaran yang unik, tekanan tenaga kerja dan kos yang berterusan membataskan keupayaan mereka untuk berinovasi dan berkembang, sekali gus meningkatkan pendedahan perusahaan kecil dan sederhana (SME) kepada risiko.
Ini menurut satu hasil kajian bersama Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Persatuan Restoran Singapura (RAS) dan Persatuan Peruncit Singapura (SRA) yang dikeluarkan pada 16 Julai.
Dalam kajian sama, SME khususnya menyatakan kebimbangan mereka dalam menyesuaikan diri sepantas perniagaan lebih besar, dan menggesa agar lebih banyak sokongan diberikan bagi mengukuhkan daya saing serta merebut peluang baharu daripada peningkatan aliran rentas sempadan.
Namun, pakar industri yang dihubungi oleh Berita Harian (BH) berkongsi walaupun cabaran terus wujud, RTS Link ini menyediakan peluang untuk menarik pengunjung ke Singapura dalam sektor seperti runcit premium, hiburan, dan acara gaya hidup berskala besar yang menarik orang ramai dari rantau ini.
Oleh itu, perniagaan tempatan dapat memanfaatkan peluang daripada laluan yang dijadual mula beroperasi awal 2027 itu, untuk “bertindak berani dan berinovasi dalam nilai tawaran mereka”, kata Profesor Madya Eugene Tan, daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU).
Berkongsi beberapa saranan, Dr Tan berkata:
“Pihak industri dan pemerintah harus merangsang perbelanjaan tempatan melalui tawaran baharu yang memperluas pilihan sedia ada yang lebih kukuh, terutama bagi kategori dan lokasi yang paling terdedah kepada peralihan (pasaran) rentas sempadan.
“Ini boleh dilaksanakan melalui dengan menganjurkan acara besar, memindahkan acara dari kawasan pusat bandar ke kawasan luar pusat atau kejiranan, merangka semula kegiatan malam, membolehkan tawaran rentas sempadan, serta memperluas bayaran balik cukai.”
DrTan menambah, perniagaan tempatan akan mendapati kesukaran untuk bersaing dari segi kos semata-mata.
“Mereka perlu menunjukkan bahawa mereka menawarkan nilai yang berbaloi walaupun produk atau perkhidmatan mereka lebih mahal.
“Dengan ini, mereka boleh membezakan diri melalui mutu produk atau perkhidmatan, pengalaman pelanggan yang unik, dan tawaran yang tersendiri,” ujar Dr Tan.
Dalam pada itu, Penolong Profesor dalam Ekonomi di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Profesor Chua Yeow Hwee, berkata beliau menjangka manfaat yang bakal diraih melalui pembukaan Laluan RTS adalah lebih besar daripada cabarannya.
“Keterhubungan yang lebih baik memperluaskan pasaran efektif yang sedia ada untuk perniagaan dan membolehkan Singapura serta Johor memanfaatkan kelebihan masing-masing.
“Namun, kesannya tidak sama rata. Sesetengah perniagaan di Singapura akan mendapat manfaat daripada pasaran yang lebih besar, manakala sebahagian lagi akan menghadapi persaingan lebih sengit dan perlu membuat penyesuaian,” kongsi Dr Chua.
Akur dengan kebimbangan para peniaga, pemerintah telah melancarkan beberapa skim bagi menyokong SME dan perniagaan kejiranan menyesuaikan diri, di samping menerima sokongan bersasar.
“Meskipun perniagaan telah menyuarakan kebimbangan, mereka turut mengiktiraf peluang yang ditawarkan oleh laluan RTS.
“Sebagai contoh, dengan kesesakan yang berkurangan di Tambak Johor, kos pengangkutan dan import mungkin akan menurun.
“Di samping itu, keterhubungan yang bertambah baik juga akan menarik lebih ramai pengunjung dari Malaysia ke Singapura untuk riadah, hiburan, makan minum, membeli-belah dan kegiatan lain, sekali gus menambah kemeriahan di kawasan kejiranan kita,” kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.
Beliau berkata demikian dalam satu jawapan bertulis kepada soalan Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar dan AP GRC Chua Chu Kang, Dr Choo Pei Ling, di Parlimen pada 4 Ogos.
Cik Mariam dan Dr Choo mengutarakan soalan mengenai kesan laluan RTS ke atas perniagaan serta langkah sokongan yang disediakan untuk membantu perniagaan, khususnya SME, kekal berdaya saing.
Antara lain, pemerintah menyediakan Geran Meningkatkan Daya Penghasilan (PSG) dan Geran Pembangunan Perusahaan (EDG), Program Pembarangan Visual yang dipertingkat.
Terdapat juga peraduan Retail Maverick Challenge, yang dilancarkan Enterprise Singapore (EnterpriseSG) dan pengurus aset, CapitaLand Investment (CLI), bagi menyasarkan jenama tempatan yang mampu memperkenalkan konsep runcit paling inovatif.
Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menambah, bahawa Pasukan Petugas Laluan RTS akan berkongsi dapatan dan cadangan mereka dengan lebih terperinci pada lewat 2026.
“
“Pihak industri dan pemerintah harus merangsang perbelanjaan tempatan melalui tawaran baharu yang memperluas pilihan sedia ada yang lebih kukuh, terutama bagi kategori dan lokasi yang paling terdedah kepada peralihan (pasaran) rentas sempadan.“
“Keterhubungan yang lebih baik memperluaskan pasaran efektif yang sedia ada untuk perniagaan dan membolehkan Singapura serta Johor memanfaatkan kelebihan masing-masing.”