Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ruang hiburan ‘live’ bakal dibangun di sekitar Orchard Road

Dec 6, 2024 | 7:02 PM
Menurut Live Nation Entertainment, apabila lokasi hiburan muzik ‘live’ pertamanya di Asia Tenggara siap dibangunkan di Grange Road, dekat Orchard Road, penonton berpeluang menikmati kegiatan muzik dan kebudayaan secara langsung, sementara pelbagai ruang lain di situ dapat dijadikan lokasi mesyuarat, persidangan, pameran dan acara kemasyarakatan.
Menurut Live Nation Entertainment, apabila lokasi hiburan muzik ‘live’ pertamanya di Asia Tenggara siap dibangunkan di Grange Road, dekat Orchard Road, penonton berpeluang menikmati kegiatan muzik dan kebudayaan secara langsung, sementara pelbagai ruang lain di situ dapat dijadikan lokasi mesyuarat, persidangan, pameran dan acara kemasyarakatan. - Ilustrasi oleh LIVE NATION

Dewan muzik canggih baru yang dapat menampung hingga 3,000 penonton akan dibangunkan di tapak acara Grange Road, dekat kawasan Orchard Road, oleh syarikat penganjur acara hiburan Live Nation tidak lama lagi.

Kemudahan itu diusahakan dengan kerjasama syarikat dana amanah pelaburan Lendlease Global Commercial REIT (LREIT) dan sokongan Lembaga Pelancongan Singapura (STB) bagi mengendalikan konsert jelajah artis antarabangsa ternama dan Singapura.

Dalam satu kenyataan pada 6 Disember, Live Nation mengatakan penonton berpeluang menikmati kegiatan muzik ‘live’ dan kebudayaan di ruang itu, sementara pelbagai ruang lain di situ juga dapat dijadikan lokasi mesyuarat, persidangan, pameran dan acara kemasyarakatan.

Dengan adanya kemudahan seperti kafe, tempat itu dijangka menjadi hab tumpuan mereka yang ingin mengadakan acara berskala kecil sambil menikmati suasana penuh kesenian di sekeliling mereka.

Live Nation, ujar kenyataan itu, akan memanfaatkan pengalamannya mengendalikan acara global di serata dunia untuk mengusahakan hab seni dan hiburan bertaraf tinggi di samping menyediakan peluang pekerjaan lantas menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Singapura.

Bagaimanapun, ia belum memberi perincian lanjut bila kemudahan itu akan siap untuk beroperasi.

Naib Presiden Kanan (Pembangunan Lokasi) di Live Nation Asia, Encik Greg Gillin, berkata: “Live Nation gembira dapat memperluas pasaran muzik ‘live’ di Singapura dengan adanya lokasi baru ini.”

Penolong Ketua Eksekutif, Kumpulan Pembangunan Pengalaman, STB, Cik Jean Ng, pula berkata inisiatif itu memberi sumbangan besar kepada usaha penambahbaikan kawasan Orchard Road dengan memperluas gaya hidup dan meningkatkan daya tarikannya kepada masyarakat tempatan serta pelancong.

“Sungguh menarik melihat komitmen Live Nation Entertainment bersama LREIT dalam membangunkan ruang acara di Grange Road sebagai lokasi hiburan utama dan pertama di Asia.

“Inisiatif ini akan menyumbang secara penting kepada usaha berterusan menyegarkan Orchard Road, memperluas tawaran dari segi gaya hidup di daerah ini serta menjadikannya lebih menarik kepada penduduk tempatan dan pengunjung dari negara lain.

“Dengan bekerjasama rapat bersama rakan kerjasama industri, kami akan memperkukuh kedudukan Orchard Road sebagai destinasi gaya hidup wajib kunjung, di samping mengesahkan lagi reputasi Singapura sebagai ‘ibu kota’ hiburan ‘live’ serantau,” ujar Cik Ng.

Ketua Pegawai Eksekutif Lendlease Global Commercial Trust Management Pte Ltd, Encik Kelvin Chow, pula menambah pembangunan Grange Road sebagai ruang acara siang dan malam yang bertenaga akan memperkukuh lagi kehadiran LREIT di kawasan Somerset.

“Ini juga merupakan peluang besar bagi kami menyumbang kepada penambahbaikan Orchard Road dengan memperkenalkan lokasi hiburan ‘live’ di jalanan beli-belah bertaraf dunia itu.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg