Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ruang masyarakat sokong bekas pesalah, keluarga dilancar

Aug 23, 2025 | 9:30 PM
Faishal, ruang, masyarakat
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri) (dua dari kiri) yang ditemani anggota Perkhidmatan Masyarakat HCSA, melihat ruang masyarakat pertama yang secara khusus menyokong integrasi semula dan memperkukuh ikatan bekas pesalah dan keluarga mereka, pada 23 Ogos. - Foto BM oleh DESMOND WEE

Ruang masyarakat pertama yang secara khusus menyokong integrasi semula dan memperkukuh ikatan bekas pesalah dan keluarga mereka telah dilancarkan pada 23 Ogos.

Dijangka memberi manfaat kepada 130 alumni Rumah Peralihan HCSA Highpoint, ruang dinamakan AIMSpace yang terletak di bangunan Perkhidmatan Masyarakat HCSA di Lorong 23 Geylang, berfungsi sebagai hab bagi sesi terapi, bengkel latihan dan kegiatan masyarakat.

Pelancaran itu bertepatan dengan ulang tahun keenam AIMS, kumpulan sokongan alumni Perkhidmatan Masyarakat HCSA.

Di majlis pelancaran AIMS pada 23 Ogos, Ketua Pegawai Eksekutif HCSA, Cik Kim Lang Khalil, berkata AIMSpace adalah lebih daripada sekadar ruang fizikal.

“Ia merupakan ruang yang mengalu-alukan ahli AIMS dan keluarga mereka, tempat mereka boleh berkumpul, berhubung dan membina hubungan yang lebih mendalam dan berkekalan dalam masyarakat yang menyokong.

“Ia juga merupakan hab masyarakat khusus di mana rakan kongsi kami boleh menganjurkan inisiatif yang menyokong perjalanan penjagaan susulan dan penyepaduan semula ahli AIMS kami,” katanya.

Turut hadir ialah 160 tetamu termasuk Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri) serta Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah.

Ditubuhkan dengan sokongan daripada penderma, rakan kongsi dan dana yang diperoleh daripada kempen tahunan Everesting for Second Chances, hab tersebut juga bertujuan mempererat ikatan keluarga dengan menyediakan peluang untuk dialog terbuka, perkongsian pengalaman dan proses pemulihan.

Sebagai sebahagian daripada kempen Everesting for Second Chances, para peserta berbasikal hingga secara kumulatif ‘meraih’ peningkatan ketinggian 8,848 meter (dijejak menggunakan aplikasi latihan fizikal) iaitu bersamaan dengan ketinggian Gunung Everest atau setinggi 3,160 tingkat flat HDB.

Kempen yang telah berlangsung dari 1 Jun hingga 31 Julai berjaya mengumpul lebih daripada $215,000, dengan derma masih diterima hingga 31 Ogos.

Dana yang dikumpul akan digunakan untuk menjalankan program HCSA melalui HCSA Highpoint, dan HCSA Academy, yang menyediakan latihan vokasional dan kemahiran untuk mendapatkan pekerjaan.

Justeru, hab yang dikendalikan oleh kakitangan HCSA itu berharap dapat memperkasakan bekas pesalah dan keluarga mereka melalui lima tonggak penyepaduan semula di bawah rangka kerja PATHS - pertumbuhan peribadi, pencapaian dalam keluarga, berkembang dalam kerjaya, kestabilan perumahan dan masyarakat yang teguh.

Antara kakitangan yang mengendalikan hab itu ialah Encik Mohammed Feroz Haron, 60 tahun, yang juga membantu menubuhkan AIMS.

“Selepas meninggalkan rumah peralihan, ada masanya terasa seolah-olah kami perlu mengharungi perjalanan seterusnya seorang diri, tetapi hakikatnya tidak begitu.

AIMS telah membantu saya menemukan kestabilan dan rasa kebersamaan yang sejati. Ia lebih daripada sekadar kumpulan sokongan, kami ibarat sebuah keluarga.

“Dengan adanya AIMSpace, kami kini mempunyai tempat yang selamat untuk berkumpul, berkembang, dan saling menyokong antara satu sama lain,” kata Encik Feroz.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg